.

Thursday 23 June 2011

Seminar Kerjaya 2011 di SMK Taman Desa Skudai



SKUDAI, 19 Jun – Bertempat di Makmal Bahasa Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Skudai, Kelab Remaja ISMA Johor (KRIM) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Johor (PEMBINA) telah berjaya mengadakan Seminar Kerjaya untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 dari pelbagai sekolah dari serata Johor. Antara sekolah yang menyertai seminar ini  adalah dari SMK Taman Desa Skudai, SMK Dato' Penggawa Barat,  Sekolah Tun Fatimah, SMK Tun Habab, SMKA Johor Bahru, SMK Sri Saujana, SMK Kota Masai 2, SMI Hidayah, SMK Taman Kota Jaya, SMK Benut dan SMK Tasik Utara. 

Ucapan Pengetua SMKTDS
Seminar yang memfokuskan kepada pelbagai bidang seperti arkitek, jurutera, doktor, guru dan juga beberapa bidang lain ini telah berjaya menarik minat lebih 90 pelajar untuk menyertainya. Seminar bermula dengan slot perasmian bersama barisan tetamu VIP iaitu, Pn Hjh Fouziah Abdul Hamid, Pengetua SMK Taman Desa Skudai, En Bariman Yasimin, wakil Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Johor, dan En Ahmad Nazmi Roslan, Pengarah Seminar Kerjaya. Selepas acara perasmian, program diteruskan pula dengan ceramah yang bertajuk ‘Matlamat Hidup, Kerjaya dan Anda’.
 
Ceramah Matlamat Hidup, Kerjaya dan Anda’
Forum ”Dari Bangku Sekolah ke Alam Kerjaya”
Selepas berhenti rehat untuk sesi minum pagi, seminar diteruskan dengan sesi forum dan perkongsian pengalaman yang diberi tajuk ”Dari Bangku Sekolah ke Alam Kerjaya”. Forum ini mendapat sambutan yang hangat daripada para peserta. Pelbagai soalan menarik telah dibincangkan dengan baik oleh para panelis yang terdiri daripada En Mohd Izzul Hafizuddin (Jurutera Elektrik), Pn Siti Soraya Lin (Guru) dan Cik Siti Khatijah Salleh (Jurutera Sistem). Sesi forum yang telah dipengerusikan oleh En Hairul Anuar (Jurutera Perunding) ini berakhir pada jam 1.00 tengahari untuk makan tengahari dan solat Zohor.

Pameran sedang berlangsung
Setelah itu pameran kerjaya pula diadakan dengan melibatkan 6 booth pameran yang terdiri daripada pelbagai bidang. Antaranya adalah bidang senibina, kejuruteraan, sains dan teknologi, perubatan, perniagaan, dan perguruan. Setelah selesai sesi pameran, seminar diteruskan dengan acara penutup, penyampaian cenderahati dan sijil untuk pihak sekolah dan peserta. Acara penutup ini telah dirasmikan oleh guru kaunselor SMK Tmn Desa Skudai, Pn Asiah dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pengarah Program, En Ahmad Nazmi Roslan.

Antara peserta seminar
“Sepanjang program ini, saya tidak merasa bosan dari pagi hingga ke petang. Saya seronok dengan program ini dan membuka mata saya mengenai kerjaya yang sesuai untuk merancang matlamat hidup saya akan datang. Saya sangat bersyukur kerana mendapat perkongsian pengalaman daripada kakak-kakak dan abang-abang disini,” kata Nurfarahin, peserta dan wakil pelajar dari SMK Taman Desa Skudai. Wakil peserta yang lain, Nurul Amalina Mohd Yani dari SMK Tasek Utara pula menyatakan perasaan gembira beliau kerana dapat membuka matanya mengenai kerjaya yang hendak dipilih. Sebelum ini beliau merasa seperti tiada hala tuju yang jelas, tetapi dengan hadirnya beliau ke seminar ini telah menyedarkannya bahawa matlamat hidup perlu dijelaskan ketika masih belajar lagi.

Berdasarkan maklum balas daripada pihak sekolah dan para pelajar, pihak penganjur merasakan bahawa seminar ini telah berjaya mecapai objektif utamanya iaitu untuk memperkenalkan beberapa bidang kerjaya, prospektif dan sumbangan kepada masyarakat. Menurut kaunselor SMK Taman Desa Skudai, Puan Asiah, beliau menyambut baik seminar ini dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Disamping itu, guru-guru pengiring juga berpuas hati dan memuji program ini kerana sedikit sebanyak dapat membantu para peserta untuk mengenalpasti kerjaya pilihan masing-masing.

Ahmad Nazmi beramah mesra bersama Pengetua SMKTDS
Sementara itu, En Ahmad Nazmi Roslan selaku Pengarah Seminar Kerjaya 2011, ketika ditemui mengucapkan rasa syukur beliau kerana program yang julung-julung kalinya diadakan ini berjalan dengan lancar mengikut perancangan dan mencapai objektif program dalam memberi peluang kepada para remaja untuk memahami dan meneliti bidang-bidang kerjaya dan memupuk para remaja bercita-cita tinggi berpandukan sebuah matlamat hidup yang jelas. Katanya lagi, program ini diharapkan dapat membuka ruang pengenalan dan merapatkan ukhuwah Islamiah di kalangan para peserta yang hadir. Ketika ditanya tentang harapan beliau, beliau mengharapkan agar program ini dapat membantu pelajar dalam membentuk minat dan cita-cita remaja untuk berusaha ke arah sesuatu yang menyumbang kepada diri sendiri dan masyarakat serta dapat membentuk jatidiri muslim yang unggul dimasa hadapan.

 Gambar sekitar program..


Sesi penerangan bidang perubatan


Penerangan bidang sains & teknologi


Peserta seminar


Penerangan bidang kejuruteraan


Pameran kerjaya


Lagi gambar peserta


En Bariman Yasimin bersama Puan Hajjah Fouziah
Wartawan,
Media ISMA Johor



0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.