.

Tuesday 14 June 2011

Membangun kebertanggungjawaban kita pada umat ini

Ikhwah fillah..

Marilah kita aturkan segala kesyukuran tidak terhingga atas limpahan nikmat yang diberikan Allah Azzawajalla ke atas kita. Marilah kita sentiasa bertahmid atas nikmat keberadaan kita di atas jalan dakwah ini. Kita diberikan at-thabat wal istiqomah, al-izzi wal masuliyyah untuk kita mengambil tugas dan peranan yang telah kita warisi dari para anbiya’ dan mursalin.

Hari ini kita telah melangkah ke period baru dari fasa-fasa dakwah kita. Dari mehwar ta’sis (pengasasan) ke mehwar infitah (terbuka). Fasa-fasa ini lebih menuntut kepada kesungguhan, keseriusan dan daya kompetatif yang tinggi - fastabiqul khairat. Kita mula mengungkap sejarah bangsa, menggali akar umbi kekuatan bangsa lalu kita hamparkan ia dengan semangat baru. Kita adalah ruh baru yang mengalir di tengah-tengah umat ini. Kita bentangkan gagasan Melayu Sepakat Islam Berdaulat, ia adalah manifestasi keterbukaan amal dakwah kita dan tanda mawaddah wa rahmah kita pada umat ini.


Namun ini bukanlah bermakna kita terus larut dan cair dengan agenda mengangkat kemuliaan umat ini sehingga mengabaikan asolatud ad-dakwah, menekankan peri penting amal tarbawi dan langkah-langkah pembinaan ustaziyatul alam berdasarkan maratib al-amal.

Keprihatinan kita membicarakan soal umat  ini adalah sebahagian dari agenda dakwah kita yang terangkum makna ihtimam dan masuliyah (rasa kebertanggungjawaban). Masuliyah dalam makna kita bukan sahaja menjadi kader jamaah tapi kader umat untuk mengeluarkan mereka dari keterupukan ini, saat umat menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, saat umat diinjak-injak dengan segala kezaliman, kehinaan dan seribu satu makar.

Ayyuhal Ikhwah!

Bila kita ditanya untuk apa kita berhabis-habisan membicarakan soal kepincangan umat, soal kesatuan umat ini, soal masa depan umat ini. Lalu kita bingkas menjawab kepada mereka dengan penuh rasa kasih sayang, rasa tanggungjawab, rasa integriti, rasa soladiriti bahawa kita peduli dan santuni umat ini kerana ia adalah :

a) Masuliyah Robbaniyah.

Dakwah yang kita pikul ini ialah dakwah mengeluarkan umat dari rasa hina, rendah diri hingga mereka menjadi umat yang memiliki karamah dan izzah. Rasa tanggungjawab ini akan diperhitungkan di hadapan Allah sebagaimana Allah menyebut ‘wa kuli’malu fasayarallahu ‘ammalakum warasuluhu wal mukminun..’.

Allah akan menjadi saksi atas apa yang kita laksanakan, Allah akan menilai, memantau, melihat. Begitu juga para rasulNya dan orang-orang beriman akan memantau kualiti dakwah dan tarbiyah yang kita lakukan. Maka apa sahaja yang kita lakukan nanti semestinya mengikut standard Robbani, berpaksikan manhaj Robbani yang nantinya akan direfleksi di akhirat nanti.

Tugas kita ialah mengangkat umat ini, bangsa kita ke tahap kemuliaan, memiliki izzah dan risalah. Kita adalah kader umat, berjuang sehingga menjadi kebanggaan umat, meningkatkan izzah bangsa kita kepada Islam dan Umat Islam. Kita menjadi mubassyir wa munzir pada bangsa kita dan mengingatkan mereka akan bahaya humanisme dan liberalisme. Tugas kita meningkatkan karomatul islam wal muslimin. Kita tidak sekadar menambahkan bilangan para kader kita tetapi membesarnya dakwah kita bererti membesarnya entiti umat ini, membesarnya kekuatan umat ini sehingga umat ini memiliki izzah, harga diri dan kemulian.


Kita adalah kader robbaniy sebagaimana Allah menukilkannya di dalam al-Quran – “kunu rabbaniyin bima kuntum tu’allimunal kitab wa bima kuntum tadrusuun..”. Kita kader yang dicelup dengan acuan robbaniy, beramal atas manhaj robbaniy dan mengikuti jejak generasi robbaniy.

b) Masuliyah Dakwah (Tanggungjawab Dakwah)

Ayyuhal ikhwah..

Kita berhempas pulas membangunkan nuansa umat ini kerana ia adalah satu pertanggungjawaban dakwah. Kita adalah jamaah dakwah dan qudwah. Kita perlu menampilkan watak Sang Daie Qudwah buat umat ini. Dakwah adalah jantung hidup kita, dulu, kini dan selama-lamanya biar pun ada kesulitannya.

Kita telah deklarasikan bahawa kita adalah Abna’ al-Harokah Islamiyah (anak-anak gerakan Islam), kita adalah Junud dakwah (tentera dakwah) sehingga terpatri kalimah kita adalah jund fikroh wal harokah ( menjadi tentera untuk fikroh dan harokah) ini.

Sudah tentu masuliyah dakwah ini cukup besar. Dakwah yang terangkum makna amar makruf dan nahi mungkar. Tugas ini tidak mungkin kita langsaikan , kalau kita tidak memiliki rasa izzah, rasa syajaah (keberanian) dan berpaksikan pada akidah dan idealism yang kuat. Kita adalah manusia-manusia daie yang berjiwa besar, proaktif dan Sohib ar-Risalah.

Dakwah kita yang kita bawa adalah usaha menggerak dan membangunkan kekuatan positif yang ada pada batang tubuh umat ini, memobilisasikan usaha menebar segala kemakrufan dan kebaikan. Manakala nahi mungkar pula, kita mempersempitkan potensi negatif yang ada pada umat dan bangsa kita. Kita juga mengecilkan potensi yang boleh membawa perpecahan, perselisihan dan kerosakan umat dan bangsa dengan agenda ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Kebenaran harus dan wajib ditampilkan sehingga hilang dan lenyap  segala potensi kebatilan.. Jaa al-Haq wa Zahaqal al- Batil.. Jangan ada dari kita terus ragu-ragu, bersikap culas atau menyendiri. Ayuh kita singsing tangan berganding bahu memikul amanah dan masuliyah ad-dakwah ini dengan segala kekuatan sebagaimana firman Allah pada Nabi Musa A.S ‘khuzzil kitab ba biquwwah..’ (pikul dan tanggung amanah risalah ini dengan penuh kekuatan).

c) Masuliyah Wathoniyah (Tanggungjawab Nasional)

Ayyuhal ikhwah..

Kita adalah sebahagian dari umat ini, bangsa ini. Tugas kita adalah menjaga kesatuan umat, kesatuan bangsa serta membangunkan kualit umat khususnya umat Melayu Islam. Sejak dulu lagi umat kita diancam dan terhakis ketuanan mereka. Kita hilang sedikit demi sedikit kekuatan bangsa kita dek kerana kita sering berpecah dalam soal politik, merebut jawatan dan memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Lihatlah berapa banyak tanah-tanah kita tergadai, berapa banyak kes kerosakan moral dan akhlak dari kalangan bangsa kita, berapa banyak kekayaan negara dibolot oleh orang lain. Sejauh mana pula  pencapaian ekuiti bumiputra kita? Bagaimana denga kedudukan agama Islam, bagaimana dengan ancaman liberalisme, humanisme, kristianisasi dan gugatan terhadap sendi-sendi kekuatan bangsa.

Kita boleh menukar kerajaan dan pemerintahan, namun nasib bangsa dan umat Islam sebagai bangsa majoriti tidak boleh ditukar ganti.

Inilah rasa tanggungjawab kita pada umat ini. Kita tidak mahu menjadi bangsa minoriti di negara sendiri, kita tidak mahu menjadi pengemis di negara sendiri, kita tidak mahu kesatuan dan perpaduan kita dirobek-robek orang lain yang cuba mengambil kesempatan  melalui provokasi murahan.

Kita wajib mempertahankan Huwiyah (identiti) bangsa ini dengan penuh keinsafan, kesedaran dan secara penuh solid. Semua yang kita lakukan ini atas maksud mencapai Maqasid Syarak bagi menjaga ketuanan maqasid yang paling tertinggi   iaitu Hifz ad-Deen (menjaga, mengangkat dan memartabatkan kekuatan agama).

Jangan kita biarkan kekuatan umat ini hancur atas nama kepentingan politik, atas nama provokasi, atas nama fitnah menfitnah, atas nama mengejar pangkat dan darjat supaya nanti kita tidak menjadi ‘menang sorak kampong tergadai’, ‘untung secupak rugi segantang..’.

Ayuh para kader-kader dakwah, kita terus memberikan segala sumbangan kita pada umat  ini, kita kerahkan segala daya dan upaya membangunkan kekuatan umat ini, kita tebarkan amal dakwah dan amal tarbiyah ini sehingga segala kemuliaan umat terbangun dan terbina. Kita adalah ar-Ruhul al-Jadid (ruh baru) yang menjalar di dada umat ini sebagaimana kata-kata Imam al-Banna. Kita berterusan membangun, membina dan memimpin umat sehingga lahir bangsa yang memilki izzah dan risalah.

d) Masuliyah Alamiyah (Tanggungjawab Antarabangsa)

Ikhwati fillah..

Dunia hari ini memperlihatkan segala bentuk kezaliman dan penindasan. Kita melihat keangkuhan rejim AS dan sekutunya yang didalangi Yahudi Laknatullah. Kita lihat perlakuan jahat dan hodoh yang telah mereka lakukan pada umat ini khususnya dunia Islam.

Kita sebagai kader dakwah, harus optimistik terhadap masa depan Islam (almustaqbal li haza ad-Deen). Allah sentiasa  mengingatkan kita bahawa sebanyak mana usaha jahat mereka untuk memadamkan cahaya Allah, Allah pasti akan memenangkan risalahNya (yuriduu na liyutfiuu nurollahi bi afwahihim wallohu mutimmunurihi walau karihal kafirun..).


Kita harus menampilkan sosok diri di arena umat, menggungguli isu umat, menyantuni kesusahan mereka, kepayahan mereka seperti umat di Palestin, umat di Aceh, Iraq, Afghanistan, Yaman, Mesir kerana  kita adalah satu batang tubuh, jika ada yang sakit seluruh yang lain prihatin terhadapnya.

Kita wajib membebaskan umat ini dari segala kediktatoran, segala kezaliman, segala tipu daya barat agar umat ini nanti menjadi khaira ummah, umat yang akan menjadi ustaziyatul alam.

e) Masuliyah Insaniyah (Tanggungjawab Kemanusiaan)

Ayyuhal ikhwah rahimakumullah..

Dakwah dan tarbiyah yang kita adunkan ini bukan untuk kita semata-mata. Tapi untuk semua bangsa tanpa mengira warna kulit. Bak kata Bapak Ustaz Helmi pengasas dakwah di Indonesia, kita lahir untuk menebar rahmah wal mawaddah, kita lahir untuk mengembalikan izzah dan karomah umat, juga kita lahir untuk memikul amanah dan masuliyah.

Memang dakwah dan tarbiyah kita mengajar kita untuk simpati dan empati kepada sesiapa sahaja. Segala program, aktiviti dan agenda kita menjurus kepada merasai tanggungjawab keinsanan kita semua orang.

Dakwah kita tidak mengenal warna kulit dan rupa paras. Kita terus menghulurkan segala sumbangan, keprihatan kita dengan rasa rohmah dan mawaddah agar ia menjadi pintu-pintu manusia memperolehi hidayah Allah. Jika kita ingin menjadi bangsa besar, jamaah besar, kita harus memiliki masuliyah insaniyah.

Ikhwah rohimakumullah..

Marilah kita sedari bahawa kita adalah sebahagian dari umat ini, mari kita cipta momentum ini, mari kita membina generasi harapan ini, mari kita lakarkan sejarah buat umat ini. Kita bangunkan kekuatan diri kita dengan amal tarbawi yang sistematik, bermarhalah, berterusan agar kita mampu menjadi agen perubah umat ini, menjadi kader dan murobbi umat ini.

Moga tidak ada kepenatan dan keputusasaan dalam perjuangan. Mari kita tadabburi firman Allah buat murobbi teragung kita Rasulullah SAW saat beliau menghadapi seribu satu macam kesulitan.. kata Allah ‘mawadda’ka robbuka wa ma qoola..’ Allah tidak akan membiarkan Muhammad SAW keseorangan di dalam mengemudi perjuangan membangunkan umat ini, bahkan ganjaran dan habuan akhiratlah yang menjadikan baginda berterusan optimistik – walal akhiratu khairul laka minal ulaa. Pasti nanti Allah akan memberikan selaut kemenangan dan kejayaan risalahNya.. walasau fayu’tika robbuka fa tardho…

Yakinlah! Selagi kita istiqomah atas jalan dakwah, selagi kita konsisten dengan manhaj tarbiyah, selagi kita thabat di dalam kafilah dakwah ini, selagi itulah Allah tetap bersama kita dan tidak meninggalkan kita. Selagi itulah kita akan dikurniakan kejayaan, kemenangan dan pertolongan Allah. Maka marilah kita terus menyukuri atas nikmat yang tidak terhingga ini yang Allah berikan pada kita semua.. Faamma binikmatika robbika fahaddis.. dengan nikmat ini kita sebar dan tebarkan risalah ini.. sebarkan kebaikan untuk umat ini.. Moga kesyukuran ini,  Allah akan meluaskan kemudahanNya pada jamaah ini dan pada umat ini.

Ameen Ya Roobal ‘Alamin.

Photobucket
Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Naib YDP ISMA Seremban

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.