Thursday, 18 June 2009


Isnin, Jun 15, 2009

6-9 JUN 2009 : JAMBORI REMAJA MUSLIM NASIONAL DI ULU BENDUL, NEGERI SEMBILAN - PENGALAMAN BERHARGA AHLI & AKTIVIS KRIM JOHOR



Saturday, 16 May 2009

Perjumpaan Nazim 2/09


Ahad, 17 Mei 2009 - Perjumpaan kedua Nazim telah diadakan di Rumah Ukhtie Nor Azah dengan tajuk perbincangan Allah sebagai Pencipta. Anak-anak diberikan peralatan melukis untuk melukiskan makhluk penciptaan Allah dan kemudian tazkirah tentang Allah sebagai Pencipta disampaikan oleh Ukhtie Sharipah.
Aktiviti menyediakan "ice blended" menjadi acara yang menarik semua peserta kerana selain belajar menyediakannya, menikmati "ice blended" merupakan perkara yang ditunggu-tunggu semua yang hadir.


Friday, 15 May 2009

SELAMAT HARI GURU

Guru Memimpin Perubahan Menyongsong Kebangkitan


Photobucket

Tanggal 16 Mei setiap tahun, para guru dan warga pendidik akan merayakan hari bertuah ini iaitu Hari Guru. Tidak dinafikan bahawa guru telah memainkan peranan penting di dalam negara dan masyarakat. Guru merupakan agen perubah dan pembangun generasi yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara dan umat melalui wadah pendidikan.

Sumbangan dan jasa guru di pelbagai institusi samada di peringkat tadika, sekolah atau universiti tidak ternilai harganya. Merekalah merupakan tulang belakang kemajuan dan keutuhan negara. Di atas pundak merekalah lahirnya para tokoh, para figur, para teknokrat, para usahawan, pekerja dan rakyat yang berjiwa mulia dan luhur.

Wednesday, 13 May 2009

Logo rasmi NAZIM selamat dilancarkan


Shah Alam, 1 Mei - Nadi Ashbal wa Zahrawat ISMA Malaysia (NAZIM) kini melangkah setapak lagi dengan pelancaran logo rasminya baru-baru ini. Pelancaran telah berlangsung sempena Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) anjuran Biro Wanita ISMA di INTEKMA Resort & Convention Centre, Shah Alam.

Logo yang dilancarkan telah dipilih melalui pertandingan membuat logo NAZIM di antara ahli-ahli NAZIM dari seluruh Malaysia. Pemenangnya telah jatuh kepada adik Abdul Mubin Zainuddin dari NAZIM Shah Alam. Tahniah buat adik Abdul Mubin.

Photobucket


Semoga NAZIM akan menjadi wadah yang unggul di kalangan anak-anak di negara ini sebagai medan untuk mencungkil bakat dan potensi mereka di samping aktiviti serta pengalaman yang boleh ditimba bersama rakan-rakan di sini.

Diharapkan NAZIM akan terus mara ke hadapan bersama semangat jitu yang terpancar melalui slogannya: beriman, bijak, berani dan cergas. Wajah singa yang serius melambangkan sifat-sifat yang tersebut di atas yang mesti dimiliki oleh anak-anak lelaki. Manakala bunga yang kembang mekar pula melambangkan keperibadian anak-anak perempuan.

Sunday, 10 May 2009

Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis

Isu Palestin Terus Dijulang


Photobucket


Kuala Lumpur, 9 Mei – Usaha memperjuangkan isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia kini melalui dimensi yang baru dengan penganjuran 'Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis' hari ini. Syabas diucapkan kepada Aman Palestin Berhad dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) atas kejayaan membawa agenda ummah ini ke pentas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Konvensyen ini adalah manifestasi keyakinan dan kesatuan umat Islam dalam berhadapan dengan agenda musuh yang sedang munuju detik-detik kehancuran. Demikian tegas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Pengerusi Aman Palestin dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), semasa berucap di hadapan lebih 3000 peserta yang hadir dari seluruh pelosok tanahair.

Majlis perasmian 'Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis' ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dr Juanda bin Jaya, Mufti Negeri Perlis. Beliau juga sempat merakamkan penghargaan kepada Aman Palestin dan PEMBINA atas inisiatif untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan belia akan kepentingan Palestin di sisi umat Islam.



Kesungguhan pihak penganjur terbukti dengan kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa dalam isu Palestin ini iaitu Dr. Mohsen Saleh (Pengarah Institute of Islamic Political Thought, London), Dr. Azzam al-Tamimi (Pengarah Besar, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Az-Zaytouna, Lubnan) dan Dr. Roslan bin Mohd Nor (Penerima Anugerah Akademik Institut Al-Makhtoum 2003 & 2006, PhD in ‘Islamic Jerusalem Studies’, Aberdeen University Scotland). Pembentangan kertas kerja yang cukup menarik dan informatif membuatkan para hadirin enggan berganjak dari tempat duduk masing-masing sehinggalah ke petang.

ISMA mengucapkan tahniah kepada Aman Palestin dan PEMBINA atas kejayaan menganjurkan 'Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis' ini. Semoga konvensyen ini berhasil membuka perspektif baru dalam mengarus perdanakan agenda perjuangan isu Palestin di kalangan rakyat Malaysia.

Thursday, 7 May 2009

Jom ke Jambori Remaja Muslim Nasional

Tarikh:

6 – 9 Jun 2009

Tempat:

Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah Negeri 9

Yuran:

RM 70.00 shj.

Penyertaan:

Remaja Lelaki 13 – 17 tahun shj.

Berminat Hubungi:

En. Nazri: :: 019-231 0935 :: syazrain@yahoo.com

En. Helmi: :: 019 -244 5736 :: ibnujamil@yahoo.com

En. Mursyidi: :: 013-207 0696 :: syidi971@yahoo.com

Maklumat lanjut:

Friday, 24 April 2009

Fikrah ISMA Perlu Dipromosikan Secara Meluas Kepada Masyarakat


Ahli-ahli ISMA perlu berani mempromosikan fikrah dan imej ISMA kepada masyarakat seiring dengan konsep penggarapan umum yang diwar-warkan, lebih-lebih lagi ISMA membawa agenda yang unik dalam mengemukakan penyelesaian-penyelesaian kepada masalah yang dideritai umat hari ini. Demikian amanat yang ditegaskan oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA dalam ’Muzakarah JKP-YDP’ yang telah berlangsung pada 11 April 2009 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Beliau berkata, sejajar dengan konsep penggarapan umum, mengiklan dan mempromosi fikrah bukanlah suatu yang baru tetapi merupakan sebahagian sunnah dalam perjuangan dakwah Islam. Allah swt sendiri menyuruh Rasulullah saw supaya ”mengisytiharkan” dakwah baginda kepada masyarakat apabila tiba masa yang sesuai melalui firmanNya yang bermaksud ”Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu)” (Al-Hijr:94).

Siri muzakarah pertama untuk sesi 2009 ini menghimpunkan ahli-ahli ISMA yang terdiri daripada barisan kepimpinan Jawatankuasa Pusat (JKP), YDP-YDP dan AJK-AJK cawangan-cawangan ISMA dari seluruh negara. Muzakarah bertujuan untuk melihat semula pencapaian ISMA sepanjang tempoh 2006-2010 dan membentangkan strategi-strategi yang telah dirangka untuk mencapai matlamat tersebut, di samping memberi ruang untuk pimpinan-pimpinan ISMA di setiap cawangan berdialog dengan Presiden ISMA dan AJK-AJK Pusat yang lain.



Dalam perutusan beliau kepada ahli-ahli ISMA, Ustaz Abdullah Zaik turut menggariskan pendekatan-pendekatan unik ISMA yang disandarkan kepada landasan-landasan fiqhi yang difahami dan terjemahan terhadap fikrah kesyumulan Islam dalam waqie Malaysia. Pendekatan-pendekatan tersebut adalah:

• Menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa dakwah yang memiliki risalah dan bercita-cita memimpin manusia ke arah pengabdian semata-mata kepada Allah swt.
• Berpegang bahawa hubungan kaum dalam konteks Malaysia berasaskan ketuanan Islam/Melayu.
• Menganggap bahawa perpaduan Islam adalah agenda utama dalam gerak kerja ISMA.
• Berpegang dengan manhaj yang jamik dalam masalah fiqh, sederhana dan mudah tanpa mempermudah-mudah dari segi iltizam dengan disiplin ilmu.

Hubungan ketuanan Melayu dengan perjuangan memartabatkan Islam juga menjadi salah satu mesej utama Presiden. Sepertimana Quraisyiah (kebangsaan Quraisy) merupakan unsur tunggak dalam projek islah Rasulullah saw di tanah Arab, begitu juga dengan ketuanan Melayu di rantau ini. Kefahaman ini menuntut bangsa Melayu menjadi bangsa risalah yang memimpin manusia ke arah mendaulatkan dakwah Islam. Justeru ISMA memperjuangkan penegakan Islam dengan memperkasa kedudukan dan membangunkan jatidiri keislaman bangsa Melayu serta mengaitkan mereka kepada sejarah kegemilangan lampau.

Naib Presiden II ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni kemudiannya membentangkan pencapaian objektif-objektif ISMA untuk tempoh 2006-2010 yang secara keseluruhannya memuaskan walaupun masih terdapat ruang-ruang yang boleh diperbaiki oleh semua ahli. Berdasarkan analisa pencapaian tersebut, JKP ISMA telah menggariskan beberapa strategi untuk melonjakkan ISMA melalui usaha mempromosi fikrah secara agresif kepada umum, pemantapan sistem penyampaian maklumat dalaman dan luaran organisasi, pembangunan potensi kepimpinan dan tokoh serta pembangunan ekonomi.

Sesi petang muzakarah disambung dengan perkongsian pengalaman oleh dua cawangan ISMA yang terkehadapan dalam konteks penggarapan umum iaitu ISMA Seremban dan ISMA Hulu Langat. Wakil ISMA Seremban, saudara Omar Kassim dan wakil ISMA Hulu Langat, saudara Mohd Noor Azib menceritakan pengalaman mereka dalam menggarap masyarakat di kawasan masing-masing dari segi peluang-peluang yang tersedia, faktor-faktor kejayaan, cabaran-cabaran, ruang untuk penambahbaikan dan nasihat untuk ahli-ahli ISMA di cawangan-cawangan lain.

Muzakarah JKP-YDP kali ini diakhiri dengan sesi dialog antara JKP ISMA dengan ahli-ahli yang tidak melepaskan peluang untuk melontarkan sebarang kemusykilan, kebimbangan dan pelbagai cadangan untuk memantapkan lagi keseluruhan gerak kerja ISMA. Diharapkan agar semua YDP dan ahli yang hadir dapat menggarap sepenuhnya amanat dan pembentangan yang disampaikan sepanjang muzakarah ini untuk dibawa balik dan diterjemahkan kepada amal di kawasan masing-masing, insya Allah.


Mohd Firdaus Sabturani
Ketua Wartawan
Media ISMA