Oleh: Azrul Azly Zarul Fuad, Perubatan, Tahun 5, Universiti Mansurah
Kisah-kisah di dalam Al-Quran merupakan kisah yang terbaik. Allah SWT menceritakan kisah-kisah ini bukanlah sekadar pengisahan seperti kisah-kisah penglipur lara. Banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik kisah-kisah ini yang hanya dapat kita cungkil dengan tadabbur dan penelitian yang mendalam.
“Kami menceritakan kepadamu (Muhammad) kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui.” Surah Yusuf: 3
Teknik penyampaian pengajaran melalui kaedah bercerita sebenarnya akan lebih sampai ke dalam hati. Hal ini kerana segala teori dan pengajaran yang ingin disampaikan telah dipaparkan secara realiti melalui watak dan peristiwa yang diceritakan.
Pembaca atau pendengar akan lebih mudah untuk menangkap mesej yang ingin disampaikan dan memahaminya sekaligus mengingatinya. Justeru, kisah-kisah di dalam Al-Quran menjadi sangat dekat dengan hati umat Islam bagi menanam nilai dan kefahaman agama ini di dalam diri setiap umatnya.
Umat Islam seharusnya tidak memandang kisah-kisah ini seperti mereka memandang kisah-kisah lain iaitu dengan pandangan hiburan kosong. Kisah-kisah di dalam Al-Quran merupakan kisah daripada Allah untuk diambil perhatian dan pengajarannya oleh hamba-Nya.
Kalaupun kisah-kisah di dalam Al-Quran menjadi hiburan, kisah ini merupakan hiburan kepada nabi dan para sahabat. Hiburan buat hati yang duka dan sempit ketika berdakwah dan menghadapi tentangan daripada musuh-musuh mereka. Allah menghiburkan mereka dengan kisah-kisah dakwah rasul-rasul dan umat terdahulu, keadaan mereka yang turut menghadapi kesusahan sehingga akhirnya janji Allah tiba.
“Dan semua kisah rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu (Muhammad); agar dengan kisah itu kami teguhkan hatimu; dan di dalamnya telah diberikan kepadamu (segala) kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang yang beriman.” Surah Hud: 120
Allah turut mengungkap semula kisah umat terdahulu yang ingkar seperti kaum Tsamud, kaum nabi Nuh, kaum nabi Lut, Firaun, Qarun dan sebagainya. Bagaimana penghujung hayat mereka ialah kemusnahan dan penyesalan. Mudah-mudahan, mereka yang mendengar kisah itu menjadi gerun dan insaf akan perbuatannya sendiri.
“Itu adalah sebahagian daripada berita-berita negeri (yang telah dibinasakan) yang kami ceritakan kepadamu (Muhammad); di antara negeri-negeri itu sebahagiannya masih ada bekas-bekasnya dan ada (pula) yang telah musnah.” Surah Hud: 100
Turut diceritakan kisah hamba-hambanya yang saleh yang diselamatkan oleh Allah daripada azab dan dianugerahkan oleh Allah nikmat yang besar atas keteguhan mereka berjalan di atas jalannya.
Kisah-kisah di dalam Al-quran ada yang menceritakan tentang kisah lampau ataupun yang telah berlalu. Contohnya, kisah rasul-rasul, kisah orang saleh seperti kisah pemuda gua, kisah Luqmanul Hakim dan sebagainya. Terdapat juga kisah-kisah di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kisah masa depan. Contohnya, kisah peristiwa hari kiamat, kisah syurga dan neraka. Keunikan ini hanya boleh didapati di dalam Al-Quran kerana Al-Quran ialah wahyu Allah SWT. Keunikan ini juga menyebabkan kisah-kisah Al-Quran melampaui zaman dan sentiasa relevan sehingga hari kiamat.
Akhirnya, kisah di dalam Al-Quran semuanya diceritakan bukan sekadar penceritaan biasa, ada tujuan yang sebenar yang ingin dicapai yang sepatutnya akan terhasil selepas didengari oleh manusia.
“Sungguh, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman.” Surah Yusuf: 111
Berikut ialah antara tujuan penceritaan di dalam Al-Quran:
- Pengetahuan (Surah Yusuf: 3)
- Nasihat dan peringatan (Surah Hud: 120)
- Hiburan (Surah Hud: 120)
- Hujah atau dalil (Surah Yusuf: 111)
0 komen:
Post a Comment