.

Showing posts with label ISMA. Show all posts
Showing posts with label ISMA. Show all posts

Friday, 10 September 2010

Perutusan Presiden ISMA Sempena Eidul Fitri 1431H




Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah s.a.w., waba’du.

Muslimin Muslimat yang berbahagia,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Hari ini 10 September 2010 bersamaan 1 Syaawal 1431H, umat Islam di seluruh dunia menyambut hari yang dibesarkan oleh Allah s.w.t yang dipanggil Hari Raya Eidul Fitri.

Setelah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda mendapati penduduknya menjadikan 2 hari tertentu sebagai hari kebesaran, lalu bertanya, “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak Zaman Jahiliyyah lagi”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda,“Sesungguhnya Allah telah menggantikan 2 hari tersebut bagi kamu dengan 2 hari yang lebih baik iaitu Hari (Raya Aidil) Adha dan Hari (Raya Aidil) Fitri” (riwayat Abu Daud).


Tuesday, 3 August 2010

KONWANIS 2010


Negeri Sembilan, 24 Julai 2010- Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson telah menjadi saksi berlangsungnya Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) 2010. Bertemakan ‘Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden’,  KONWANIS pada kali ini telah dihadiri oleh lebih daripada 1000 orang peserta dari seluruh Malaysia.

Thursday, 15 April 2010

SKBA Zon Selatan : Memberansangkan

11 April 2010, Johor Bahru-  Sekretariat Antara Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Negeri Johor telah berhasil menjayakan program Selangkah Ke Bumi Anbiya’ (SKBA) zon selatan di Dewan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Program yang julung kalinya diadakan di Zon Selatan ini mendapat sambutan yang menggalakkan di mana 30 bakal mahasiswa Al-Azhar menyertai program yang dijalankan dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang ini.



Seiring dengan tema program “Ukhuwwah disemai, thiqah dicapai”, semua peserta kelihatan sangat mesra antara satu sama lain walaupun terdapat sebahagiannya yang baru pertama kali bersua muka.Ikatan ukhuwwah yang terjalin di samping minat peserta terhadap suasana pembelajaran di timur tengah seiring dengan objektif program menjadikan program SKBA zon selatan ini berjalan lancar dan rancak.
Bermula Jam 8 pagi, para peserta mula mendaftarkan diri di di meja pendaftaran lalu mengambil tempat di dalam Dewan.  Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan ucapan perasmian oleh Tuan Hj. Tahir, Pengerusi ISMA cawangan negeri Johor. Program diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Al-Fadhil Ustaz Alauddin B. Kamal, wakil Sekretariat Antarabangsa ISMA ( SEKTAR) bagi menerangkan serba sedikit tentang program yang julung kalinya diadakan di Johor ini sekaligus merungkai 1001 pertanyaan yang tersirat dalam diri peserta.
Sekitar jam 9.15 pagi, agenda seterusnya dimulakan dengan penerangan jurusan dan kuliah di Universiti Al-Azhar. Ustaz Salman B. Abdul Rahman sebagai pembentang pertama telah menerangkan tentang kuliah Syariah selari dengan ijazah pertama beliau yang baru sahaja tamat tahun lepas. Menariknya, para peserta disajikan dengan tayangan clip video  lagu arab yang sangat menyentuh perasaan peserta untuk menyedari peranan diri.

Selepas berehat 10 minit sambil menikmati teh dan kuih, sesi penerangan Kuliah Usuluddin bermula dengan disampaikan oleh Ustazah Nazihah Bte Abdul Rahman.
Beliau yang baru menamatkan pengajian Ijazah Pertama Kuliah Usuluddin telah Berjaya menarik minat peserta dengan penerangan yang jelas tentang kuliah tersebur diselitkan juga dengan perkongsian pengalaman menghadapi susah payah menghadapi subjek-subjek yang mencabar dalam kuliah Usuluddin yang sedia maklum lebih banyak subjek pembelajarannya berbanding kuliah syariah.

Kemudian, agenda diteruskan dengan penyampaian ustaz Muhd Jauhar B. Azmi berkaitan dengan Kuliah Lughah ‘Arabiah. Kuliah yang terkenal dengan kepayahan ini walaubagaimanapun turut menarik minat peserta kerana kelainan yang dibawa oleh penceramah yang berkongsi beberapa ilmu menarik seperti balaghah dalam Al-Quran, perkataan arab yang unik dan lain-lain yang jarang sekali didengari.

Seterusnya, peserta disajikan pula dengan penyampaian menarik dari Ustazah Susilawati bte Samat, penyarah Intitut Tahfiz dan Qiraat Tampines, Singapura. Selari dengan bidangnya, penceramah yang baru saja menamatkan pengajian Tahfiz dan Qiraat tahun lepas, telah berkongsi pelbagai pengalaman sebagai mahasiswa kuliah Qiraat, Universiti Al-Azhar di samping menerangkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di kuliah di mana suasananya lebih fokus dan istimewa disebabkan setiap kelas terhad untuk beberap pelajar sahaja.

Sesi terakhir sebelum makan tengahari pula ialah penerangan tentang Universiti di Timur Tengah selain Mesir. Di sini, para peserta juga dapat mengetahui serba sedikit perkara berkaitan universiti selain Al-Azhar sebagai membuka mata supaya tidak hanya mengetahui tentang ‘dunia sendiri’
Selepas itu, para peserta disajikan dengan masakan enak oleh Catering Masjid Jamek Bandar Baru Uda sebelum merehatkan diri dengan mendirikan solat Fardhu Zohor.


Tepat jam 2.15 petang, para peserta kembali mengambil tempat untuk mendengarkan sesi perkongsian dan pengalaman yang disampaikan oleh 2 graduan Universiti Al-Azhar ,Mesir. Kedua-dua panel iaitu Ustaz Safizan bin. Zakaria dan  Ustazah Susilawati telah memberikan gambaran yang luar biasa di Bumi Kinanah Mesir yang banyak peserta tidak ketahui sebelum in. Ini telah menarik minat dan meyakinkan lagi para peserta untuk melanjutkan pelajaran di Bumi Anbiya’ dengan penuh semangat.
Para peserta juga didedahkan dengan cabaran-cabaran yang bakal berlaku sekalu mahasiswa/i di mesir dan juga peranan yang patut dimainkan untuk menghadapi segala rintangan dengan jayanya sekaligus menjadi pelajar yang cemerlang di university.

Sekitar jam 3.45 petang, agenda diteruskan dengan sesi perancangan ke Bumi Anbiya’ dan Pakej penerbangan bersama ISMA. Di samping mengetahui segala macam persiapan untuk mengembara jauh ke bumi Anbiya’, para peserta juga turut mendapat maklumat tentang pakej penerbangan MUMTAZ yang disediakan ISMA yang amat murah dan berpatutan harganya. Hal ini serta merta menyebabkan beberapa peserta terus berminat dan berazam mahu mengambil pakej ini kerana pelbagai keistimewaan yang boleh didapati seperti diuruskan penerbangan seawal mungkin dan juga dapat mengikuti kelas intensif bahasa arab selama 2 bulan atau lebih sebelum memulakan pengajian sebenar di Universiti Al-Azhar.

Program SKBA zon selatan diakhiri dengan ucapan oleh En. Azman Bakri, wakil tuan rumah, ISMA Johor. Beliau berbesar hati dan bersyukur kerana Program SKBA ini dapat dijalankan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan terutama dari pelajar lepasan STAM Maahad Johor yang sedang mengikuti daurah 6 bulan di MARSAH. Beliau berharap agar peserta semua  lebih bersiap sedia untuk melangkah ke bumi anbiya’ dan juga berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Jam 4.30 petang, program berakhir dan para peserta dan AJK program sempat menikmati kuih muih serta the sambil beramah mesra sesama mereka selepas sesi fotografi bersama. Rata-rata peserta berpuas hati dengan seharian program yang penuh dengan informasi baru dan membantu mereka untuk lebih jelas dalam mengharungi fasa akan datang sebagai mahasiswa dan mahasiswi agama.

 
 peserta lelaki bersama AJK program

 
peserta wanita bersama AJK program

Thursday, 8 April 2010

Dakwah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)


Islam dan dakwah
Islam adalah Ad-Deen yang bersifat universal dan sejagat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107:2. Maksudnya:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.                                                             
(Surah al-Anbiya’ 21:107)
Berdasarkan kepada ayat di atas iaitu rahmat bagi sekalian alam kesannya ialah keperluan kepada tersebarnya Islam ke seluruh dunia melalui jalan dakwah. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104:3. Maksudnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu sekalian satu umat yang menyeru (manusia) kepada kebaikan dan menyuruh dengan ma’aruf (kebaikan) dan melarang dari mungkar (kejahatan) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.                      
(Surah Ali-Imran 3:104)

Menyebut  tentang dakwah, seringkali aktiviti ini kita kaitkan dengan aktiviti-aktiviti konvensional seperti memberi ceramah, seminar, syarahan dan sebagainya di tempat-tempat yang khusus seperti di masjid-masjid dan surau-surau, yang kebanyakannya berbentuk lisan. Secara tidak langsung, persepsi di atas menyebabkan kepada kita menghadkan jumlah pendakwah kepada hanya segelintir individu-individu tertentu yang mempunyai kepakaran di dalam sesuatu bidang agama seperti Syariah, Usuluddin, Tafsir dan sebagainya, walhal tugas sebagai pendakwah adalah tanggungjawab bersama seluruh umat Islam di muka bumi ini.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 5: 67 maksudnya:
Wahai Rasulullah s.a.w.! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka (bermakna) tidaklah engkau menyampaikan perutusannya-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.                                                                                          
(Surah al-Maidah 5:67)
Berdasarkan ayat di atas, semua umat Islam juga diperintahkan supaya melaksanakan tanggungjawab dakwah tersebut kerana ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara khusus hanya untuk Nabi Muhammad SAW sahaja.
Pendekatan dakwah dan kesesuaiannya di setiap zaman
Apabila kita menyoroti sejarah mengenai bagaimana dakwah Islam mampu tersebar dan disampaikan kepada umat manusia di zaman Nabi Musa a.s., kita akan dapati bahawa baginda menggunakan cara dan pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa pada ketika itu. Pada zaman Nabi Musa a.s, baginda dianugerahkan oleh Allah SWT dengan mukjizat ‘tongkat sakti’ bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh baginda pada zaman tersebut. Ini disebabkan kepakaran di bidang sihir merupakan di antara ciri-ciri kekuatan yang menjadi pelindung kepada kezaliman yang dilakukan oleh penguasa Mesir atau Fir’aun  pada masa tersebut.
Bertitik tolak daripada pengajaran di atas dan melihat kepada realiti era globalisasi pada masa kini, ruang dakwah serta penyebaran maklumat Islam dengan lebih pantas dan berkesan kini terbuka lebih luas melalui penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Namun begitu, di dalam membicarakan tentang kecanggihan dan kepesatan teknologi, khususnya ICT, kita masih tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam boleh difahami oleh manusia. Ini kerana kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu Islam itu bukan hanya terletak pada kehebatan teknologi tetapi terletak pada mutu kandungan serta cara atau kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan ilmu tersebut masuk ke dalam jiwa manusia.
Hakikatnya, masyarakat kita pada masa kini amat mudah terpengaruh dengan apa jua yang ditayangkan di media massa melalui teknologi maklumat dan komunikasi ICT pada masa sekarang. Justeru, sebagai seorang Muslim yang prihatin, ia membuka peluang kepada para pendakwah teknologi menggunakan kepakaran di dalam bidang masing-masing, bagi memainkan peranan memikul tanggungjawab dakwah. Ruang dan kepakaran itu haruslah dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat dengan nilai murni yang universal. Antara perkara yang perlu digarapkan adalah penghasilan kandungan, drama, filem, iklan serta kandungan digital atau animasi yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam di dalam setiap produk.
Disinilah bermulanya pendidikan secara tidak langsung mengenai Islam kepada masyarakat yang kini sebenarnya sedang dahagakan kandungan alternatif bagi mem’variasi’kan tontonan mereka, lebih-lebih lagi kepada anak-anak mereka yang sedang membesar.
 
Peluang berdakwah melalui ICT di Malaysia
Pada 24 Mac 2010 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Negara atau National Broadband Initiative (NBI) serta perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi  atau High Speed Broadband (HSBB) sebagai usaha beliau untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. Dengan adanya perkhidmatan HSBB, pengguna kini boleh mendapat akses kepada Internet dengan kelajuan di antara 5 Megabit setiap saat (Mbps) hingga ke 20 Mbps.
Inisiatif ini dilihat penting bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara, keyakinan pelabur luar untuk melabur di dalam negara serta menggalakkan pemikiran yang lebih inovatif dan kreatif. Bagi kebanyakan negara membangun, capaian kepada sambungan Internet berkelajuan tinggi kini menjadi salah satu daripada kemudahan asas harian sama seperti kemudahan asas air dan elektrik.
Dengan adanya HSBB, maklumat dan kandungan tempatan boleh dicapai dengan lebih mudah dan pantas serta dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Usaha ini sangat bertepatan dengan hasrat negara yang sedang berusaha untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di Negara ini.  Namun, pada masa yang sama wujud keperluan baru kepada adanya maklumat dan kandungan tempatan yang mencukupi, khususnya maklumat atau kandungan yang dihasilkan dari dalam negara oleh orang tempatan, melalui pelbagai infrastruktur ICT yang dibina.
Setiap orang, dari peminat filem kepada pengguna Internet, pelajar, jurutera serta ahli perniagaan akan terbentuk sebagai di antara beberapa kelompok masyarakat yang menyebabkan wujudnya permintaan kepada maklumat dan kandungan tempatan, merangkumi pelbagai aspek-aspek seperti maklumat, pembelajaran, pembangunan kemahiran, hiburan, telekomunikasi, berita dan sebagainya. Hasilnya, bukan sahaja terdapat permintaan yang tinggi terhadap pelbagai jenis maklumat dan kandungan kreatif tempatan, malah boleh mewujudkan peluang kepada terbentuknya tekno-usahawan di bidang ini yang potensinya bukan hanya di dalam negara tapi juga boleh diekspot ke luar negara.

Pembangunan Industri Kreatif Tempatan sebagai peluang untuk berdakwah melalui ICT
Menyedari kepentingan pembangunan bidang industri kreatif tempatan, Kerajaan, melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang merangka Dasar Industri Kreatif bagi meletakkan asas dan halatuju strategik negara di bidang ini. Pada masa yang sama,  Kerajaan, melalui Perbadanan Kemajuan Multimedia atau Multimedia Development Corporation (MDeC) menjangka pasaran industri kreatif dan kandungan digital tempatan akan berkembang sebanyak 36% pada tahun 2010 ini. Pada tahun lepas sahaja, segmen industri kandungan kreatif multimedia telah menyumbang sebanyak RM3.2 billion dari jumlah keseluruhan pendapatan MSC Malaysia dan sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 syarikat MSC Malaysia yang terlibat di bidang ‘post-production’, animasi, pembangunan ‘games’, e-learning serta kandungan mudah alih dan interaktif. Syarikat-syarikat ini telah berjaya mewujudkan 7,000 pekerjaan dengan pendapatan tahunan melebih RM678 juta.
Ini termasuklah syarikat MSC Malaysia, Les Copaque’ yang terkenal dengan karakter animasinya ‘Upin dan Ipin’ yang telah berjaya melahirkan filem animasi Melayu ‘Geng’ telah berjaya memperoleh RM6 juta dari aspek tayangan filem sahaja (tidak termasuk pendapatan dari hasil-hasil ‘merchandise’ seperti baju, topi dan sebagainya.Adalah dianggarkan nilai Industri Kandungan Digital Kreatif di peringkat global adalah sekitar USD752 bilion pada tahun 2011. Oleh yang demikian, melihat kepada potensi dan peluang yang ada dalam industri ini, Malaysia sedang merancang strategi dan pelan tindakan bagi memenuhi persaingan yang semakin berkembang dan mengenal pasti niche area agar dapat memaksimumkan nilai eksport produk kandungan digital negara ke pasaran global.
Menyedari hakikat ini, Y.A.B. Perdana Menteri telah melancarkan Inisiatif Kandungan Kreatif Multimedia MSC Malaysia  (MSC Malaysia Creative Multimedia Content Initiative – M-CMCI) pada 10 April 2006. Inisiatif ini adalah bagi membangunkan sektor Animasi dan Kandungan Kreatif secara lebih berkesan. Pihak Kerajaan juga telah memperuntukan dana eContent sebanyak lebih kurang RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi membantu industri tempatan di dalam meningkatkan hasil produksi animasi dan kandungan kreatif agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM200 juta melalui Bank Simpanan Nasional, khusus untuk syarikat industri kreatif multimedia semasa pembentangan Bajet 2010.
Sebelum ini, bagi merealisasikan peluang ini, Y.A.B. Perdana Menteri, di dalam ucapan Bajet 2008 telah menyatakan tentang penubuhan sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia di Cyberjaya iaitu (Malaysia Animation Creative Content Centre – MaC³) untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut. MaC3 ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh MDeC dan akan merupakan pusat digital kreatif serenti bagi pembangunan kandungan digital di Malaysia di mana bidang keutamaan (focus area) yang dikenal pasti di bawah MaC³ ini adalah Animation, Games, Visual Effects dan Mobile Content. Penubuhan MaCsebagai satu entiti milik penuh MDeC adalah bagi memastikan fokus terhadap usaha-usaha pembangunan sektor ini dapat dijayakan dan menjadi satu sumber ekonomi negara di masa hadapan.
Bagi menjayakan sektor ini, MaC3 menjalinkan hubungan dengan beberapa pusat-pusat animasi di negara-negara lain serta membuka peluang pasaran bagi syarikat-syarikat animasi tempatan melalui strategi promosi dan co-production dengan syarikat animasi bertaraf dunia, di samping menggiatkan usaha-usaha membangunkan kepakaran tempatan (human capital) di dalam sektor ini.  MaC³ juga berfungsi sebagai satu pusat pembangunan kandungan serenti yang dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan seperti Makmal Animasi; Studio Suntingan Bunyi; Pusat Sumber  dan Perpustakaan Animasi; Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi; Pusat Latihan Digital Kreatif; Digital Asset Management Centre; dan Kemudahan Screening dan Presentation. Dengan tertubuhnya MaC³ ini, ia akan dijangka dapat memberi impak yang besar kepada usaha Malaysia bagi menjadikan industri digital kreatif ini sebagai satu industri penyumbang utama kepada ekonomi negara di masa hadapan. Persoalan kini ialah, sejauhmanakah kita semua, serta pertubuhan-pertubuhan Islam atau NGO lain termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cuba memanfaatkan segala ruang dan peluang yang terbuka kini bagi melahirkan para tekno-murabbi dan tekno-usahawan industry kreatif di dalam konteks melaksanakan dakwah serta pembangunan ummah melalui ICT?
Sama-samalah kita renungkan.
Dr Amirudin Wahab
Yang Dipertua
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Cawangan Shah Alam & Klang

Thursday, 25 March 2010

Ayuh, Sertai SKBA Zon Selatan !

Wednesday, 26 August 2009

Assalamualaikum..

Perutusan Presiden ISMA sempena Bulan Kemerdekaan yang ke-52

Wednesday, 12 September 2007

Ramadhan Menuju Taqwa

RAMADAN MENUJU TAQWA

Utama
Bulan Ramadan sekali lagi tiba kepada kita dengan penuh keberkatan, rahmat, keampunan dan ganjaran menuju balasan baik dan keredhaan Tuhan yang menciptakan kita. ISMA mengucapkan kepada sekelian rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam seluruh dunia amnya selamat menjalani ibadah di bulan Ramadan kearah menuju taqwa dan keredhaan Allah swt.

Di dalam bulan ini diwajibkan berpuasa sejak Tahun 2 Hijrah. Ramadan adalah bulan puasa yang merupakan tanda ketaqwaan dan perisai bagi kaum yang beriman. Ia adalah bulan Al-Quran yang merupakan kalam Allah swt yang menerangkan kepada manusia erti petunjuk dan dengannya dibezakan diantara kebenaran dengan kebatilan. Di dalam bulan Ramadan, dilipatgandakan pahala setiap amalan kita, diringankan jiwa dan anggota kita untuk beribadat kepadanya. Kesemua ini adalah ke arah menjadikan kita insan bertaqwa, mengerjakan apa yang diperintahNya dan menjauhi apa yang dilarangNya.

Firman Allah swt. bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa” (surah Al-Baqarah).

Dari Salman Al-Farisi r.a. berkata, “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami di hari akhir dalam bulan Syaaban dengan sabdanya : Wahai manusia! Telah datang kepada kamu bulan yang hebat, bulan yang diberkati, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang Allah wajibkan berpuasa di siang harinya, menjadikan solat Tarawih sebagai sunat di malamnya. Sesiapa yang bertaqarrub (mendekatkan dirinya kepada Allah) dengan mengerjakan salah satu amalan kebaikan yang fardhu maka Allah menggandakan pahalanya sebanyak 70 kali amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mengerjakan amalan sunat maka pahalanya seperti mengerjakan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Ramadan adalah bulan sabar, sedang balasan bagi sabar adalah Syurga. Ramadan adalah bulan muwasaah, bulan yang di dalamnya ditambah rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang berbuka puasa, maka amalan itu merupakan pengampunan bagi dosa-dosanya, menyelamatkan dirinya dari api neraka dan baginya sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Tidak semua dari kami mampu untuk memberi orang untuk berbuka puasa”. Rasulullah saw menjawab, “Allah memberi pahala tersebut (walaupun) kepada seseorang yang memberi buka puasa kepada seseorang yang berpuasa (walaupun) dengan sebiji buah kurma, secawan air kosong atau seteguk susu. Sesungguhnya Ramadan adalah bulan dimana awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka. Perbanyakkanlah di dalam bulan Ramadan 4 perkara. Dua perkara darinya menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu. Dua perkara lagi kamu sangat memerlukannya. Dua perkara yang menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu ialah kamu (mengucapkan) mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu meminta keampunan dariNya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya iala kamu memohon Syurga dari Allah dan kamu memohon dariNya supaya dijauhkan dari Neraka” (hadis riwayat Ibnu Khazimah).

Oleh itu bagi orang-orang yang beriman, bulan Ramadan mempunyai pengajaran, pengalaman, keseronokan, suasana dan kenangannya yang tersendiri menguatkan jiwa-jiwa dan menghiasi hati-hati yang benar-benar ikhlas beribadat dan mengharapkan ganjaran dariNya semata-mata.

Sebagai persediaan memasuki Ramadan, kita boleh gariskan beberapa objektif diantaranya adalah seperti berikut:

1. Melipatandakan amal ibadah samada ibadah khusus seperti solat, tilawah Al-Quran, qiyamullail (ibadah malam), puasa dan ibadah umum seperti membuat kebajikan, menyumbang kepada kemajuan umat dan Negara dan sebagainya.
2. Mendapatkan pengajaran dari hikmah puasa seperti mengembalikan kesihatan dan menyembuhkan penyakit-penyakit. Sebaiknya hendaklah direncana pemakanan sepanjang bulan ini.
3. Meningkatkan akhlak yang banyak dibentuk dengan berpuasa seperti akhlak Al-Hilm (sopan santun) dan amanah.
4. Meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dalam dua bidang khusus iaitu fiqh Puasa dan seerah Rasulullah saw. Ini diperolehi dengan membaca buku-buku fekah dan ringkasan sejarah Nabi saw.
5. Belajar berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian.
6. Menyemat dan menguatkan rukun Iman dalam diri dengan membaca Al-Quran, tadabbur ayat-ayatnya, berzikir dan menambah ilmu.
7. Menitikberat melakukan ibadat-ibadat dengan kualiti yang tinggi seperti khusyuk di dalam solat, berpuasa anggota dan hati dan sebagainya dan bukan berpada sekadar ibadah melalui aktiviti anggota luaran semata-mata.
8. Melatih melawan jiwa yang telah sebati dengan adat kebiasaan yang melalaikan. Ini boleh dicapai dengan mengerjakan Qiyamullail dan menahan kemarahan.
9. Menjaga waktu, tidak mensia-siakannya di depan televisyen, bersembang kosong dan sebagainya. Sebaiknya di dalam bulan Ramadan ini televisyen ditutup, tidak duduk bersama seseorang tanpa sebarang tujuan atau faedah, membersih rumah dan tidak ke kedai atau pasar setiap hari supaya masa dapat dimaksimakan kearah ibadat.
10. Membiasakan diri dengan kehidupan yang teratur seperti mengambil berat susunan dalam rumah dan menyediakan makanan pada masanya.
11. Menggunakan kesempatan bulan dimana hati-hati manusia terbuka kearah kebaikan dengan cara mengajak masyarakat mentaati Allah swt seperti menutup aurat dan mendirikan solat pada waktunya.

Sebaiknya kita membuat persediaan di bulan Syaaban seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Ini adalah supaya seseorang tidak memasuki bulan Ramadan dalam keadaan sulit. Sekiranya dia telah membiasakan dirinya berpuasa dalam sebahagian bulan Syaaban, maka dia lebih bersedia berpuasa sepenuhnya di bulan Ramadan. Sekiranya dia membiasakan diri membaca Al-Quran di bulan Syaaban, maka lebih mudah dia mengkhatamnya di bulan Ramadan.

Hadis dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami hendak berkata Baginda tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami berkata Baginda tidak berpuasa. Aku tidak melihat Raslullah saw menyempurnakan puasanya dalam satu bulan melainkan dalam bulan Ramadan. Aku tidak melihat banyaknya Baginda berpuasa melainkan dalam bulan Syaaban” (hadis riwayat Al-Bukhari). Dari Usamah bin Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sehebat) engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah saw menjawab, “Bulan (Syaaban) itu ramai yang kurang memperdulikannya, (terletak) diantara Rejab dan Ramadan, sedang ia adalah bulan yang didalamnya di angkat pahala amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Aku ingin amalan ku diangkat ketika aku sedang berpuasa” (hadis riwayat Imam An-Nasaie).

Anas bin Malik ra berkata, “Dulu orang-orang Islam apabila masuk bulan Syaaban mereka akan sering membaca Al-Quran, mambayar zakat dari harta mereka agar dapat menguatkan orang-orang tua dan miskin untuk berpuasa di bulan Ramadan”.

Ayuh kita contohilah pula doa yang dibaca oleh Rasulullah saw, “Ya Allah, berkatilah untuk kami bulan Rejab dan Syaaban. Berkatilah untuk kami bulan Ramadan”. (hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya).

Kita menyeru kepada sekelian pembaca agar mengambil sebaik-baik peluang sepanjang sebulan Ramadan ini untuk meningkatkan taqwa kepada Allah swt. Jadikanlah prestasi kita dibulan Ramadan tahun ini lebih baik dari bulan Ramadan di tahun-tahun sebelum ini. Jika umat kita mencapai taqwa yang sejati, maka akan terbuka pula segala nikmat dan keberkatan dari Allah swt di mana urusan kita menjadi mudah, mendapat kecukupan dari Allah swt, tidak boleh diganggu gugat oleh apa sahaja perancangan musuh kafir dan munafiqin, dicurahkan rezeki dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka dan sebagainya.

Firman Allah swt bermaksud, “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka itu sudah cukup baginya. Allah akan mencapai (menyempurnakan) urusanNya. Sungguh Allah menjadikan tiap sesuatu itu dengan kadarnya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, dijadikan mudah setiap urusannya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, diberi jalan keluar baginya. Allah memberinya rezeki dari sumber yang tidak dia sangka” (Al-Quran). “Jika kamu bersabar dan bertaqwa, perancangan mereka tidak akan memudharatkan kamu sedikit pun” (Al-Quran).

Tuan puan, Saudara saudari sekelian,

Jika nikmat dan anugerah di atas disempurnakan pemberiannya kepada kita, maka bukan sahaja kita hidup dengan sejahtera di dunia dan akhirat, tetapi juga Allah akan mengembalikan kepada kita umat Islam kepimpinan dan contoh tauladan kepada dunia sejagat. Ini tidak mustahil sekiranya umayt Islam bersungguh-sungguh mencapai matlamat beramal ibadah di bulan Ramadan.

Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan.
Ya Allah, terimalah amal ibadah kami di bulan Ramadan.




Di ambil dari Ismaweb.net
Oleh,
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah,

Naib Presiden ISMA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.