.

Saturday, 2 July 2011

Syarat Universal Bagi Sebuah Kebanggaan

Sesiapa saja pasti berbangga jika mempunyai hubungan dengan peribadi yang mulia dan dihormati ramai. Begitu juga dengan organisasi yang hebat. Orang berlumba-lumba untuk mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat besar dan ternama. Ini kerana identiti syarikat yang unggul itu akan menjadi pengenalan peribadi. 

Baru-baru ini saya menghadiri satu kursus di Kuala Lumpur. Apabila tiga orang peserta daripada syarikat Microsoft memperkenalkan diri ketika sesi taaruf, mereka mendapat tumpuan lebih daripada jurulatih dan para peserta lain. Ia tidak lain dan tidak bukan kerana reputasi Microsoft, walaupun yang hadir itu hanyalah daripada bahagian pemasaran bagi zon Asia Pasifik sahaja.

Bagaimanapun, pada pagi hari kedua, tiga peserta itu tidak menghadirkan diri. Jurulatih memberitahu kami bahawa mereka dipanggil balik ke ibupejabat di Singapura kerana ada mesyuarat tergempar. Pada sebelah petang mereka muncul dengan wajah yang sugul kerana syarikat kerugian berjuta ringgit.

Suatu hakikat yang pasti, mereka tidak akan diambil bekerja dengan syarikat yang hebat, kecuali kerana mereka membawa nilai-nilai yang didokong oleh syarikat tersebut. Nilai syarikat itu ada pada peribadi mereka. Keselarian nilai peribadi dan organisasi ini membentuk satu potensi bagi “meletupkan” prestasi syarikat. 

Bagaimanapun, itu sahaja tidak mencukupi. Mereka dituntut agar bekerja keras untuk membawa pembaharuan dan inovasi, seterusnya keuntungan. Pendek kata, kebanggaan dinasabkan dengan organisasi berprestij tinggi perlu dibayar dengan kesetiaan pada nilai-nilai yang didokong oleh organisasi terbabit dan kerja keras memajukan organisasi. Tiada inovasi, tiada kemajuan. Jika tidak, “you are fired”.

Islam bukan sekadar unggul, bahkan yang lebih tepat ia agama yang benar, satu-satunya agama yang benar. Bagaimanapun kebenaran mutlak yang bersandarkan kepada kebenaran Allah Taala itu tidak dapat mengekalkan kedudukan agama Islam sebagai penguasa unggul dunia ini suatu masa lalu. 

Allah Taala telah menetapkan undang-undang bahawa agama Islam hanya akan unggul di persada dunia jika ia dianuti oleh umat yang bekerja keras untuk agama suci ini, berpaksikan nilai-nilai tetap Islam dari sudut akidah dan akhlak.

Kemuliaan dan kebanggaan menjadi umat Islam adalah milik mereka yang mempunyai nilai-nilai peribadi yang ditetapkan oleh Islam dan mereka juga bekerja keras berijtihad, melakukan inovasi mengembangkan satu-satunya agama yang suci ini. 

Hari ini kita lihat ramai peribadi muslim yang tidak menepati nilai-nilai yang dikehendaki Islam, jauh lagi mahu bersusah payah untuk berijtihad dan membawa pembaharuan bagi tujuan mencapai kedudukan unggul Islam di persada dunia. Allah itu Maha Pengasih dan tidak ada istilah “you are fired” dalam hal ini. Tetapi kita juga tidak mahu kebanggaan sebagai muslim hanya tinggal kebanggaan kosong.

Ikhwan Muslimin adalah gerakan Islam yang hebat. Dikaitkan dengan jamaah bersejarah ini merupakan suatu yang membungakan hati kebanyakan pengikut gerakan Islam, tidak kira perkaitan itu dilihat dari sudut apa sekalipun. Bagaimanapun harus diingat bahawa syarat-syarat yang sama juga terpakai. Pegangan kukuh pada nilai-nilai “asolah” dakwah dan berijtihad melakukan inovasi, mencari jalan ke arah pengembangan, pembaharuan dan kemajuan. Dan seterusnya mengalahkan pesaing dari kalangan gerakan sekularisme, liberalisme, pluralisme, ajaran sesat dan sebagainya. Itulah batu tanda pencapaian dan pengenalan diri. Jika tidak, kebanggaan hanya tinggal kebanggaan.

Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman,
Ketua Biro Latihan Kepimpinan,
Ikatan Muslimin Malaysia
 

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.