.

Wednesday 21 May 2008

Syarat-syarat untuk bermaksiat.. ..


Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya."

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?"

"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya? "

"Yang kedua," kata Ibrahim, "Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!"

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya? "

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu.

Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab,"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!"

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh."

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku? "

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"

Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah Datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya. "

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.
Wallahua'lam
......
waktu ana mula-mula baca email ini, bergetar jiwa ketika membaca syarat-syarat yang ditetapkan terutamanya syarat yang kelima. moga ikhwah2 juga rasa sedemikian dan dapat menghayati kisah ini dengan lebih mendalam.
perkara remeh tetapi kita sering abaikan dan mengambil tidak peduli dengan menganggap maksiat adalah perkara kecil yang mampu ditebus dengan sekadar beristingfar. lebih-lebih lagi salah faham kita bahawa maksiat itu hanyalah pada perkara-perkara seperti minum arak, mencuri, berzina, bunuh dan sebagainya. namun, banyak lagi perkara-perkara yang kita terlepas pandang seperti membuang masa, mengumpat, sengaja melambatkan solat, tidak menjalankan amanah, tidak bercakap benar, poteng kelas (bagi student) dan mengulat sewaktu berkerja (bagi yang sudah bekerja). banyak lagi sebenarnya, ana rasa anda semua mampu bermuhasabah diri tentang maksiat-maksiat yang kita lakukan yang mungkin kita terlepas pandang ataupun tidak sedar. harap kita dalam keadaan sentiasa bertaubat. moga nanti malaikat Ridhwan yang menjemput dan mengiringi kita ke syurga.

Wallahu Ghafuurur Rahiim
Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
Wallahu'alam

Yazid_Mus'ab

Monday 19 May 2008

Perlawanan Persahabatan Bolasepak 9 Sebelah

Sabtu, 18 Mei - Satu perlawanan bolasepak persahabatan bagi meningkatkan ukhuwah antara sesama ahli Kelab Remaja ISMA negeri Johor serta sebagai persiapan untuk Kejohanan Bolasepak 9 sebelah peringkat nasional antara KRIM Johor Bahru menentang KRIM Simpang Renggam telah berlangsung di Padang SMK Bandar Baru Ibrahim Majid pada pukul 6.00 petang. Keputusan perlawanan KRIM JB 4 , KRIM Simpang Renggam 0.


Sebaik selesai perlawanan, semua pemain telah bersolat Maghrib secara berjemaah di Surau BB Ibrahim Majid dan Cikgu Tumin telah memberikan tazkirah ringkas sebelum jamuan makan malam.

Thursday 15 May 2008

60 Tahun al-Nakba

60 Tahun Penjajahan Israel

(15/5/1948-2008)

Pada hari Khamis 15/5/2008 ini, genap 60 tahun umat Islam belum dapat membebaskan bumi berkat Palestin dari penjajahan Yahudi. Ini sekaligus tanda yang jelas betapa umat Islam hari ini berada di dalam keadaan yang paling lemah dalam sejarah 1400 tahunnya yang panjang.

Pelarian Palestin 1948. Hari ini kanak-kanak tersebut berumur 70an di kem pelarian luar Palestin atau telah meninggal dunia tanpa sempat pulang ke kampung halaman mereka yang asal. Bagi kebanyakan mereka tiada harapan melainkan kepada Allah dan Gerakan HAMAS (Ikhwan Muslimin cawangan Palestin) untuk mereka pulang. Adapun kebanyakan pemimpin dan umat Islam lain di dunia, mereka sedang dibuai mimpi atau takut hilang kerusi.


Penjajah British yang mula menawan Palestin pada tahun 1917, setelah membuat penghijrahan Yahudi secara terancang masuk membanjiri Palestin, akhirnya menyerahkan bumi Islam ini kepada pendatang Yahudi pada tahun 1947 dan tertubuhlah negara haram “Israel”. PBB mengiktiraf “Israel” pada tahun 1948. Peristiwa pedih bersejarah ini dikenali sebagai “An-Nakbah” bermakna malapetaka, berlaku pada 15/5/1948. Selepas itu bagi memastikan bilangan pendatang Yahudi mengatasi bilangan pribumi Palestin, pembunuhan dan pengusiran beramai-ramai dilakukan seperti tragedi Dier Yassin, Shabra Shatila dan banyak lagi. Hasilnya hari ini, 6 juta pelarian Palestin merempat di negara-negara jiran seperti Jordan, Lubnan, Syria dan di merata dunia termasuk negara-negara Barat.

Sudah jatuh ditimpa tangga, setelah menguatkan kedudukannya 20 tahun di Palestin sejak 1948, pada tahun 1967 Israel menyerang dan menawan Bukit Golan milik Syria, Tebing Barat milik Jordan dan Gaza milik Mesir dan masih mencengkamnya sehingga ke hari ini. Berbagai sidang damai diadakan dari dulu hingga kini, namun isu Pelarian Palestin untuk kembali ke tanahair mereka, isu Golan, Tebing Barat dan Gaza sedikitpun tidak dihiraukan oleh Israel.

Selepas 30 tahun penubuhannya untuk membebaskan Palestin, PLO akhirnya telah berdamai dan mengiktiraf “Israel” dalam Perjanjian Oslo 1993 tanpa mendapat apa-apa pulangan selain elaun bulanan dari Amerika dan Eropah. Umat Palestin beralih kepada HAMAS yang masih utuh dengan prinsip membebaskan Palestin dan tidak mengiktiraf “Israel”. Dalam Pilihanraya Umum Palestin 25/1/2006, HAMAS menang lalu Israel, Amerika, Eropah, banyak Negara-negara Arab dan Islam mengikut arahan Barat mengadakan sekatan minyak, makanan, kewangan dan sebagainya terhadap 1.5 juta penduduk Gaza, Palestin hingga ke hari ini sebagai hukuman kerana memilih HAMAS untuk memimpin mereka dalam proses “Demokrasi” yang kononnya diperjuangkan oleh Barat.

Gaza, 6km x 25km, kem tahanan terbesar Abad 21. Bekalan bahanapi dan makanan tidak dibenarkan masuk melalui sempadan 2 negara jiran, Israel dan Mesir.


Dengan ini setelah 60 tahun merana dibawah kezaliman Yahudi, mereka juga perit disebabkan kebanyakan ketua negara-negara umat Islam tidak membantu kerana takut kepada Amerika dan Negara-negara Barat yang lain. Padah tali gantung yang diterima Saddam Hussein yang pernah cuba mencabar Israel dan Amerika dengan peluru berpandu Scudnya masih menghantui ramai pemimpin negara umat Islam.

Isteri dan 4 anaknya mati dibom ketika sedang bersarapan.


Moga umat Islam akan segera sedar dari lamunan mereka. Dihari umat terjaga dan bangkit, pastinya penderitaan umat Palestin selepas peristiwa An-Nakbah sehingga ke hari ini akan segera berakhir. Ameen.




Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Naib Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Inijalanku
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.