Nafas baru Ramadhan
Pada bulan Mac 2011 yang lalu, genaplah enam belas tahun sejak mula-mula fatwa mengharamkan merokok dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995 lalu. Tetapi ulang tahun ke-16 ini akan terus disambut dengan begitu dingin sekali kerana rata-rata masih ramai orang Islam khasnya tidak mengetahui atau buat-buat tidak tahu tentang wujudnya fatwa tersebut.
Oleh yang demikian tabiat merokok semakin berleluasa walaupun kerajaan berusaha untuk membasmi tabiat yang tidak baik di kalangan warganegara ini. Kedinginan hebahan fatwa ini perlu diperbaiki segera sekiranya orang-orang Islam khasnya yang perihatin tentang kedudukan ummah terutama sekali di kalangan kaum remaja.
Seorang ulama Fiqh Hanafi, Sheikh Muhammad al-Aini yang menyatakan pengharaman merokok adalah berdasarkan kepada empat perkara.
- Merokok membahayakan kesihatan (membunuh) seperti yang dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan.
- Rokok mengandungi bahan dadah yang ditegah seperti yang diberikan oleh hadith Nabi Muhammad SAW.
- Asap rokok bukan sahaja menyakiti diri perokok bahkan mengganggu orang-orang tidak merokok terutamanya di tempat-tempat awam seperti di tempat-tempat solat di samping menyakiti para malaikat. Kajian perubatan juga mendapati bahawa bayi yang ada dalam kandungan ibu yang menjadi teman hidup perokok juga terkesan dengan kesalahan ini.
- Merokok menyebabkan pembaziran yang sangat-sangat dilarang oleh Rasulullah SAW. (Sesungguhnya membazir adalah saudara syaitan – Surah al-Israa’ ayat 27)
Fatwa yang memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram merupakan langkah permulaan yang amat baik. Malangnya usaha murni ini seolah-olah tidak berkecapaian. Perlaksanaannya terbengkalai sebegitu lama dan tidak menampakkan apa-apa tindak tanduk yang sistematik dalam memperkenalkannya kepada masyarakat Islam khasnya. Suara-suara sumbang telah mula kedengaran agar fatwa ini ditimbang semula.
Bulan Ramadhan, bulan tarbiyah yang amat baik, tidak seharusnya berlalu begitu saja tanpa sebarang kesungguhan untuk mengajak lebih ramai lagi perokok mengambil kesempatan bulan yang penuh berkat itu supaya berhenti daripada satu bentuk kemungkaran iaitu pembaziran sekurang-kurangnya.
Kalau kita selalu diperingatkan tentang jangan membazir makanan semasa berbuka puasa dan pembaziran itu adalah amalan syaitan; tetapi pembaziran akibat tabiat merokok tidak dititikberatkan langsung. Apa lagi pembaziran merokok diiringi dengan berbagai kemudaratan yang membunuh. Dalam hal ini ramai di antara kita rasanya telah bersubahat tanpa disedari atau tidak.
Syarikat-syarikat rokok adalah sebahagian daripada syarikat-syarikat gergasi di dunia yang memberikan sumbangan ekonomi secara langsung dan tidak langsung kepada Israel. Mengeluarkan duit untuk membeli rokok bererti menyumbang dan bersubahat dengan kekejaman serta kezaliman Israel terhadap rakyat dan negara Palestin.
Ini adalah satu konflik paling besar yang mesti kita selesaikan bersama. Soalnya berapa lama lagi kita sanggup bersubahat untuk ‘membunuh’ masyarakat dan saudara kita secara halus?
Di antara fatwa dan taqwa!
Jom… Nafas baru Ramadhan
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik
Blog: Peduli Ummah
0 komen:
Post a Comment