KUALA PILAH – “Terbaik, mantap, dan menyeronokkan”. Itulah antara ungkapan yang dilafazkan oleh sebahagian peserta sebaik selesai menyertai Perkhemahan Anak-Anak ISMA (PRISMA) 2011. PRISMA adalah program tahunan peringkat nasional anjuran Biro Tarbiyyah ISMA khusus buat anak-anak ahli ISMA yang berumur 13 hingga 15 tahun.
Program ini telah dilaksanakan secara berasingan bagi peserta putera dan puteri. Dengan format perkhemahan badan beruniform dan tema ”Siap Siaga Menghadapi Cabaran”, pengisian PRISMA 2011 bagi peserta putera memberikan penekanan terhadap pelbagai kemahiran seperti kemahiran membuat ikatan dan gajet, memasak dalam hutan, kawad kaki asas dan pertolongan cemas.
Para peserta turut diberikan pengisian-pengisian ilmu sebagai bekalan kepada mereka untuk memikul tugasan sebagai pendakwah remaja di medan masing-masing. Aspek kerohanian seperti solat berjemaah, bacaan mathurat dan bacaan al-Quran juga amat ditekankan.
Tidak ketinggalan, mereka turut diberi peluang untuk menonjolkan bakat kepemimpinan, pengucapan awam dan bakat seni menerusi slot tugasan berkumpulan, slot motivasi pagi dan slot Malam Kesenian Islam. Satu lagi slot iaitu slot Bicara Umat turut menguji kemampuan berdakwah para peserta di mana slot tersebut dijalankan secara simulasi bagaimana cara terbaik menasihati lima watak remaja bermasalah masakini.
Majlis penutup PRISMA 2011 bagi peserta putera telah dirasmikan oleh Encik Zaim Shaari wakil kepada Naib Presiden ISMA. Sebelum itu, beliau telah sudi untuk memeriksa perbarisan penutup para peserta.
Sumber : ISMA Web
0 komen:
Post a Comment