.

Wednesday 28 November 2007

Sengaja Melengahkan Jalan dan Natijah Dakwah!!


Utama
Sejak dua bulan yang lalu, saya kerap menerima panggilan telefon dari syarikat tele-marketing yang menawarkan penginapan percuma selama dua malam di hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur dan dua tempat lagi dengan syarat mendengar penerangan mereka selama 45 minit serta dengan janji mereka tanpa sebarang ‘obligation’. Setelah pelbagai alasan diberi untuk tidak mahu pergi berjumpa di pejabat mereka di City Plaza, Johor Bahru, akhirnya pada petang Ahad lepas, saya dan isteri pergi ke sana.

Sebaik sampai ke pejabat mereka, hati saya terus tawar bila tertera perkataan ‘vacation company’, tapi alang-alang sudah datang dan sesat tiga kali, kami pun masuk.

Kami diberitahu status gah dan hebat syarikat ini yang beribu pejabat di Kuala Lumpur dan syarikut induknya merupakan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Dalam fikiran saya yang sudah sedia ada ‘mental block’ kerana pernah berpengalaman membeli kad-kad percutian ini dan tidak pernah digunakan.

Kami cuma pasang telinga dan mendengar penerangan mereka. Dalam hati, bagus strategi syarikat ini menyuruh bakal pelanggan mereka datang sendiri ke pejabat mereka dan diminta supaya berlapang dada dulu sebelum mendengar ‘celoteh’ mereka dengan menjanjikan boucer percuma penginapan itu.

Apa yang menarik perhatian ialah mereka meminta jawapan ya atau tidak bersetuju selepas mendengar penerangan mereka untuk membeli pakej percutian syarikat mereka. Di akhir sesi penerangan, saya sengaja mengeluarkan kenyataan untuk balik dahulu dan berfikir. Lalu mereka terus menjawab, prosedur syarikat mereka ialah pelanggan mesti membuat keputusan pada hari ini juga dan tidak diberi peluang untuk balik dan berfikir semula. Dengan nadanya yang tegas, kami pun bertegas mengatakan tidak kepada pakej mereka. Inilah pengalaman pertama saya bertemu dengan peniaga yang kelihatan seperti ‘sombong’. Walau bagaimana pun, mereka masih cuba melobi, jawapannya tetap tidak!!

Tentunya mereka kecewa dan kami juga rasa kecewa dengan membuang masa berjumpa mereka apatah lagi isteri saya yang sepatutnya menyiapkan laporan segera kesihatan pesakitnya.

Pengajaran

Bagi saya, terdapat dua perkara yang boleh dipelajari dari peristiwa ini iaitu untuk bersantai dan bersenang-senang pun manusia merancang dan perkara kedua ialah tiada peluang kedua serta perlukan jawapan segera dan tepat.

Dalam dunia perniagaan, pelanggan adalah segala-galanya kepada peniaga dan mereka tahu siapa sasaran pelanggan mereka. Saya yakin, bakal pelanggan yang sudi hadir ke pejabat pakej percutian tadi merupakan pelanggan yang sudah meletakkan sebelah kaki dan dengan kebijaksanaan penjual untuk menarik sebelah kaki pelanggan tadi. Tetapi syarikat tadi memilih jalan memeningkan bakal pelanggannya! Mengapa begitu tegas mereka berurus niaga? Mungkin di luar sana masih ramai lagi pelanggan mereka yang berpotensi, sedangkan saya sendiri bertemu mereka setelah lebih 10 kali dihubungi! Walaupun mereka tidak rugi apa-apa kerana pelanggan yang kena mengadap mereka dan berapalah sangat nilai boucer percuma itu, kerana menginap di hotel ini perkara biasa kepada bakal pelanggan mereka. Penulis masih mencari kata kunci konsep perniagaan mereka dan anda juga boleh memikirkannya..

Rukun, displin, terma dan kondisi

Apa yang ingin dikongsikan disini dari sketsa di atas, di dalam kehidupan kita agaknya dalam keadaan yang bagaimana kita berhadapan situasi sebegini ? Iaitu tidak diberi peluang berfikir lama dan perlu ketegasan jawapan dengan serta merta, ya atau tidak!!

Berkata “Ya!”, bermakna anda bersama dan berkata “Tidak!”, anda akan terkeluar. Di antaranya situasi yang boleh disamakan ialah bertindak terhadap sesuatu yang ‘urgent’ dan sangat penting. Seperti arahan bos kepada kaki tangannya atau arahan ibu bapa kepada anaknya atau arahan pegawai tentera kepada anggota bawahannya atau doktor dengan pesakit kritikal dan lain-lain yang boleh anda fikirkan.

Bolehkah dikatakan mematuhi sesuatu rukun,displin, terma atau kondisi yang sedia ada itu sesuatu yang bersifat ‘jangan difikir lagi’, terus buat dan dipatuhi?! Umpamanya, jika tidak mematuhi rukun wajib ibadah pasti berdosa dan menerima hukuman bila engkar. Berkata “Ya!” kepada rukun wajib, bermakna kita bersama Islam. Kita tidak diberi peluang langsung untuk berfikir tidak mentaatinya dan tiada peluang untuk berkata tidak.

Reflek penting akan rukun, displin, terma dan kondisi ini yang ingin dibincangkan disini ialah bagi seorang rukun, displin atau terma serta kondisi seorang duat. Bila sudah ada aku janji meletakkan diri pada barisan pendokong Islam, tentu ada terma dan kondisinya atau dengan kata lain ada rukun dan displinnya. Dengan terma dan kondisi seorang duat inilah, Islam tersebar dari generasi ke satu generasi sehinggalah ke zaman penuh dengan fitnah ketika ini.

Terma dan kondisi seorang menjadi daie ini merupakan mauduk yang besar tetapi cukuplah saya ingin tegaskan di sini iaitu unggkapan dakwah sebagai kerjaya dan mewakafkan diri untuk dakwah bukanlah sesuatu yang mudah. Saya yakin, anda para duat biasa melafazkan kata-kata ’keramat’ ini sedangkan amal sebenarnya tidak sekeramat kata-kata itu. Anda tentu tahu makna kerjaya dan wakaf!! Ianya satu kerja dan berjaya, bila sudah diwakafkan, tiada lagi istilah ’tarik balik’ serta menjadi hak penerima wakaf, dengan kata lain sudah menjadi hak jemaah.

Satu kiasan yang biasa kita dengar, penjual tiket menarik perhatian penumpang untuk membeli tiket ke sesuatu destinasi, tetapi dia sendiri dia tidak ke destinasi itu. Samalah juga pendakwah yang juga ’penjual’ yang mempromosi dan mengajak ke destinasi Islam kepada individu atau khalayak, sedangkan dia sendiri tidak ke destinasi Islam.

Adakah tiada tolak ansur dalam rukun dan displin dakwah ini kepada semua peringkat duat? Bolehkah dikatakan jika tidak mematuhi terma dan kondisi seorang daie, anda sebenarnya belum bersama saf? Sebagai contoh mudah, jika anda tidak menyempurnakan amalan asas seorang daie , seperti tidak mewajibkan diri sentiasa solat berjemaah, tidak wajibkan diri khatam Al-Qur’an sekali dalam 2 bulan atau lebih awal, tidak wajibkan diri sentiasa menghafal al-Qur’an, tidak wajibkan diri berpuasa sunat mingguan, tidak wajibkan qiyam mingguan, tidak wajibkan diri sentiasa berdoa untuk dakwah, tidak wajibkan diri menjaga fizikal badan supaya cergas dan segar serta wajibkan diri supaya tidak 3G ( gempal, gebu, gemuk) dan 2L (lembik, lesu), tidak wajibkan diri membaca secara istiqamah ilmu yang bermanfaat, tidak wajibkan diri mesra dan ramah dengan jiran, orang terdekat atau qariah? Atau ada tolak ansur mengikut cita rasa dan pilihan duat tadi!!

“Orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, Ingatlah HANYA dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”, - Arr-a’d:13

Yakinlah tiada tolak ansur dan jalan singkat dalam memartabatkan ruhi seorang duat. Ruh yang hidup akan bersegera mencari dunianya, ruh yang mantap peka dengan pengorbanan masa dan wang ringgit, ruh yang hebat sentiasa merancang tiap tindakannya, ruh yang berbeza akan berbeza fizikal badannya supaya aktif-cergas, ruh yang terpelihara akan tahu membezakan amal qawi dan amal dhaif dan dengan ruh yang dinamik berkomunikasi dengan Allah, seorang duat akan berbeza, akan luar biasa dan akan tersendiri DALAM BANYAK PERKARA dari mereka yang bukan daie atau seorang abid.

Duat juga memahami kesemua rukun, displin, terma dan kondisi diatas adalah untuk menjurus keseimbangan LIMA PAKSI yang biasa di sebut iaitu paksi ruh, paksi jasad badan, paksi jasad harta benda, paksi minda dan paksi emosi. Sehingga mampu memaksimakan SEIMBANG DALAM SEIMBANG iaitu yang membawa maksud dalam setiap satu paksi tadi juga WAJIB diseimbangkan. Inilah akar umbi sebagai individu duat dan hasil penyatuan para-para duat yang sedemikian rupa tarbawinya, maka lompong-lompong yang cacat akan ditutup dan dakwah akan lancar serta akan kemas pembentukan dan berlaku peningkatan.

Satu perkongsian, berlaku di luar negara kita, ada beberapa duat yang berselisih pendapat dalam sesuatu perkara sehingga keadaannya agak ’tegang’. Satu pertemuan diatur, dan sesuatu yang sangat menarik ialah bila pihak yang ’menjawab persoalan’ bertanya kepada pihak yang ’ingin mempersoal’ . Begini lebih kurang soalannya, ” Sebelum kita mulakan perbincangan, ana ingin ingatkan diri ana dan anta, adakah antum sudah solat dhuha pagi ini, sudah berapa juzuk tadarus Al-Qur’an pada minggu ini, adakah bangun qiyam dan sudah berpuasa sunat pada minggu ini? Kita ingin berbincang secara ruh dan bukan akal semata-mata. Jika sudah alhamdulillah, kita terus perbincangan, jika belum, elok kita berbincang lain kali sahaja”. Keadaannya senyap sepi, pihak yang ’ingin menyoal’ tadi awal-awal lagi sudah gagal dalam perbincangan dan terus melupakan isu tersebut serta menyesal sudahnya.

Dalam konteks lain, penulis pernah juga mendengar ada di kalangan kita yang sanggup mengangkat jari dan menuding, ”Anta ni nak bawa perpecahan ke? Juga terdengar ada yang menengking dan menepuk meja bila mahu menegakkan hujah!! Rasanya elok kita aplikasi kaedah ikhwah di atas sebelum berhujah atau agaknya bagaimana amal fardi si penunding jari, si penepuk meja dan si penengking tadi tadi??

Masih teringat kata-kata seorang daie ini, "Duat yang sentiasa merancang solat dhuha pada setiap pagi, bermakna sudah merancang akan kejayaan pekerjaannya pada hari itu".

Berbalik semula kepada tajuk perbincangan asal, adakah boleh dikatakan, jika berlaku perlanggaran dan ingkar dengan terma dan kondisi seperti di atas, anda sebenarnya daei tidak bersama dakwah ini? Dimana secara tegas inilah antara penyelewenagan duat dalam dakwahnya yang dimaksudkan oleh Shiekh Mustafa Mashyur di dalam bukunya, Jalan Dakwah-Antara Keaslian Dan Penyelewengan, di mana beliau sangat tegas menyebut pada halaman 59, katanya ”Sesungguhnya tidak wajar bagi sesiapa pun dari Ikhwan mengemukakan pemikiran penyelewengan dan tidak sah untuk berada dalam saf jamaah”.

Dimaafkan dan ada kelonggaran?

Timbul persoalan iaitu bolehkah dimaafkan dalam beberapa perkara dalam beramal seorang duat. Seperti contoh mudah iaitu dimaafkan bila duat yang nampak hebat merancang strategi dakwah, mantap fiqh dakwahnya atau duat ini yang berjenama Haji, Hajjah, Imam, Ustaz-ustazah yang biasa meneraju pimpinan tetapi tidak bersifat terbuka membincangkan sesuatu perkara disebabkan kecetekan maklumat atau terfokus kepada kepakarannya sahaja ? Atau bila dilihat pada bentuk badannya, jelas ketara suka kepada santapan, gagal berzuhud dengan makanan atau lesu kerana malas beriadhah? Adakah duat seperti ini dimaafkan kerana kehebatan ilmunya, ketokohannya dan kepakarannya, dimana soal sikap dan kesihatan itu satu bab yang berbeza!!

Atau dimaafkan kepada duat yang berhujah tetapi kelihatan ilmunya tidak mengikut perkembangan semasa, dalilnya lebih kepada logik akal dan sukar pula menerima teguran atau merasakan teguran itu untuk orang lain, bukan untuk dirinya?

Bila banyak diberi kemaafan dan kelonggaran maka lahirlah duat yang cakapnya atau isi ucapannya tiada roh walaupun cakapnya bersemangat! Tentulah tidak sama cakap orang yang sentiasa hampir dengan Allah, yang berkualiti ibadahnya, berkuantiti ibadahnya, yang dinamik ibadahnya berbanding dengan duat yang sekadar menanam tebu dibibir.

Juga bila mudah beri kelonggran, program yang berahdafkan (objektif) fizikal tetapi menjadi program santai, mukhaiyamnya santai, dimana bertukar berobjektifkan latihan minda, sebabnya mudah sahaja kerana sudah berusia dan badan tidak bersedia. Semoga anda boleh ingat lagi kisah yang pernah ditulis bagaimana seorang warga emas yang juga seorang duat, 65 tahun berbasikal mengelilingi Malaysia tanpa henti selama hampir 3 minggu pada beberapa bulan yang lepas. Atau program fizikal ini terpisah dari tarbawi spiritual!

Malah jangan terkejut, walaupun bunyinya remeh dimana ada di kalangan duat yang bercakap ber’aku’ , ber’engkau’ sesama mereka, adakah ianya petunjuk ukhuwwah yang hebat? Dan sebahagian emel-emel mereka sekadar membuat laporan dan tidak mengulas isu dalam bentuk tarbawi serta ada juga bahasa yang digunakan tidak menggambarkan mereka seorang daie!!! Juga didalam buku yang sama, Shiekh Mustafa Mashyur menyebut penyelewengan dalam usrah dimana ilmu dan maklumat dibincang sekadar melapor dan bersifat kewartawanan.
Mungkinkah rukun, terma dan kondisi usrah mesti diketatkan sehingga boleh menjejaskan jumlah kehadiran atau ahli usrah mencari sebab untuk ponteng? Jika soal ketepatan waktu kedatangan diambil berat, bersedia membuat tugasan pembentangan dan ahli yang lain benar-benar bersedia berbincang, mutabaah amal disemak secara terbuka atau tertutup, bertegas dengan riadhah berkala dan beberapa displin lain!!

Atau bolehkah kita berkata begini, ”Jika anta tidak bersungguh dengan amal ruhi, elok cari jamaah lain? Atau tegas begini, ”Jika anta tidak mementing soal hidup aktif, masuklah jamaah yang tidak menitik berat soal jasadi? Atau begini, ”Jika setakat tiap minggu pergi balik usrah, datang bawa telinga dan tiada perningkatan diri, anta dengan orang lain pun nampak tiada beza, elok dengar ceramah mingguan di mana-mana masjid?

Anda mungkin tersenyum sinis dengan tulisan ini, mungkin bersetuju atau marah dengan penulis tetapi cuba jenguk tempat lain, negara lain ketegasan pentarbiahan daie mereka. Penulis pernah diberitahu oleh seorang ikhwah yang belajar di Timur Tengah, baru pada tahun kedua dia berada dalam usrah, jika gagal melakukan perkara asas usrah, dendanya berat, malah ada yang digantung dari datang usrah. Ada yang hilang terus, tetapi yang benar-benar ikhlas akan kembali semula. Itu baru mahu berjinak-jinak dengan usrah. Kita tidak rugi kehilangan daie yang tidak berkualiti tetapi lebih rugi ’menyimpan’ daie yang tidak berkualiti itu. Bilangan yang ramai tidak bermakna kuat, yang sedikit tetapi berciri seorang daie yang sebenar, boleh menggoncang ummat. Atau kita katakan, ini duat Melayu, tarbiyahnya lain?

Ada sebilangan daie yang berkumpul dalam satu insituisi swasta atau Kerajaan , satu kolej, satu Universiti atau dalam jabatan tertentu tetapi ’taring’ dakwahnya tidak terserlah. Instituisi pengajian ialah lubuk besar, beraneka jenis ikan, ada yang menjaring, cuma jaringnya mungkin bocor atau menjaring tempat yang sama atau ada yang langsung tidak menebar jaring. Tidak kurang juga ada daei yang diberi peluang duduk dipuncak kuasa, tetapi kuasa itu tidak digunakan untuk dakwah.

Atau masih diizinkan kelonggaran dalam usrah ini, longgar dalam taaruf, anak isteri sesama ahli usrah juga tidak berapa kenal, usrah yang tidak kreatif, kepekaan telinga pun longgar - masuk telinga kiri - keluar pun di telinga kiri juga, terlupa apa yang dibincang minggu sebelumya atau ’naqib’ boleh bertolak ansur dalam banyak hal atau ’naqib’ dan anak usrah pun dua kali lima dalam banyak hal. Antara contoh supaya kreatif berusrah secara dalam alam maya, seperti dipanjangkan dan dikongsi perbincangan dalam usrah melalui emel dan tazkirah melalui sms.

Jika anda membaca dua buku tulisan Dr Irwan Priyanto iaitu Keperibadian Seorang Muslim dan satu buku lagi bertajuk Keperibadian Seorang Daie, anda akan mendapat jawapan yang lebih tepat akan sejauh mana rukun, displin, terma dan kondisi untuk menjadi daie yang berkualiti berbanding menjadi seorang muslim biasa!

Bercakap tentang berdisplin, undang-undang dan hukuman ada kalanya orang tidak beriman jauh lebih baik displin hidup mereka dari orang yang taat beribadah. Orang yang tinggi ruhinya, iman dan taqwa bukan 100 peratus akan menjadi orang yang berdisplin. Tidak dinafikan, anak orang kafir juga syaksiahnya lebih dari anak orang beriman. Negara orang kafir, bukan sahaja maju keduniaan tetapi sesetengah nilai murninya lebih baik. Bahkan modul motivasi oleh orang bukan Islam banyak yang bertaraf dunia, walaupun langsung tidak menyebut nama Tuhan tetapi boleh menukar manusia yang malas dan tidak berdisplin kepada manusia yang berjaya.

Jika masih diberi kelonggaran displin dan hukuman yang tidak tegas kepada setiap duat, sebutkan angka berapa lama lagi anda mahu melihat tertegaknya syariat Allah, angka itu tidak membawa makna!!

Dan bila mana semakin dipermudahkan rukun,terma dan kondisi untuk menjadi daie dalam piwaian Ikhwan, maka adakah KITA SENGAJA MENCIPTA JALAN YANG MELENGAHKAN UNTUK MENGEMBALIKAN ISLAM DALAM DIRI DAN UMMAT??

Atau adakah KEISTEMEWAAN kepada duat yang bernama Melayu ini? Adakah kemaafan dan kelonggaran kepada mereka berbanding duat yang bukan Melayu? Atau kita katakan duat bangsa Arab atau duat bangsa lain atau duat Melayu dari negara lain itu sudah biasa hidup lasak, kita Melayu Malaysia ini lembut dan semakin selesa dunianya maka tarbiah pun kena lemah-lembut dan dalam keadaan selesa!!

Kita juga bukan mahu melahirkan daie yang vokal bercakap tapi seperti yang dikata tadi, dari gaya cakapnya, bahasanya, isi ucapannya tidak rabbani. Kita bimbang, cakap-cakap yang tidak berisi itu akan menjadi beban besar di akhirat kelak.

Juga malanglah menjadi daie yang akan sibuk menguruskan masalah penyakitnya atau sibuk mengadu letih atau ada yang sibuk menguruskan syaksiah negatif anak-anak yang sudah menjadi buluh atau masih sibuk mengurus daie yang ruhnya ’kosong’ tadi, sedangkan pada tahap ini bukan soal untuk mengisi roh tetapi menilai kualiti roh!!

Pernah saya ditanya selepas satu sesi ceramah, ”Doktor, orang yang hatinya khusyuk ingat Allah masa ibadah, kita boleh kenal ke? Saya menjawab, ”Ketika kita khusyuk, tingkah kita diluar selepas solat itu juga akan terkesan, dan jika tidak khusyuk, kita tahu tindak tanduk kita yang tidak baik. Jika kita istiqamah khusyuk maka orang lain boleh nampak dari tingkah laku kita. Tentunya apa yang ada dalam hati, itulah yang akan dikeluar dari tindakan seseorang”. Dia terus bertanya sambil tersenyum,” orang yang dahi hitam tu, tanda khusyuk”. Saya turut tersenyum tanpa menjawab apa-apa kerana jawapan sudah ada dalam kepalanya dan turut memberitahunya, yang saya memang suka melihat tingkah laku ahli ibadah serta biasa mengeluarkan borang soal selidik selepas ceramah yang bersesuaian dengan kajian kesan ibadah dinamik yang sedang dibuat.

Displin tanpa hukuman dan tanpa penguat kuasaan tidak akan bermakna dan begitu juga untuk melahirkan seorang daie yang berkualiti. Sebenarnya banyak displin, himpunan pengalaman duat terdahulu dan silibus tarbawi sudah diseminarkan, dimuktamarkan malah sudah dibukukan tetapi adakah sudah dibukukan di dalam hati? Daie yang hebat, sepatutnya dirinya mewakili untuk dua orang atau lebih, tetapi daie yang lemah mewakili separuh atau kurang lagi dari kemampuannya. Maka tidak timbul soal bilangan anggota.

Jika atlet sukan ada gred. Dan gred ini mengikut piawaian tertentu, ada piawaian tahap negeri sahaja, tahap nasional, tahap Asia, amatur, profesional atau tahap dunia. Adakah daie juga ada gred? Dan apakah sistem piawaiannya? Dan apakah tahapnya? Bukalah minda dan orang yang hebat sentiasa cemburu dengan tahap orang lain yang lebih tinggi darinya dan jangan melihat disekitar terdekat sahaja, lihatlah dunia luar dan bandingkan dengan tempat-tempat lain.

Kita juga biasa menyebut untuk menjadi insan yang mindanya kelas pertama, mengapa tidak kita berusaha menjadi daie kelas pertama!

Akhirnya marilah kita berusaha dan wajibkan diri untuk menjadi pendakwah dan bukan pendakyah (pembohong), di mana lain dimulut lain pula amalnya dan suka melanggar rukun dan terma seorang daie. Jika seorang angkasawan dapat jelas melihat bentuk bumi ini sepenuhnya, kerana dia duduk ditempat yang tinggi, maka kita mesti menempatkan diri ditempat lebih tinggi supaya boleh melihat ke bawah. Jika sama aras, pandangan kita akan sempit malah boleh tertipu bila tidak melihat secara holistik. Begitu juga jadilah daie yang lebih tinggi dalam semua perkara, terutama dalam ruhi, minda, harta, fizikal dan emosinya.

Sekian tahun sudah berlalu, mungkin ratusan atau ribuan kali berusrah yang merupakan paksi utama berjamaah dan jawablah dengan ikhlas dalam sanubari natijah duat yang dibentuk bila banyak kemaafan dan kelonggaran yang diberi. Dan tidak rugi meninggalkan penumpang yang tidur di tengah jalan dan ambil penumpang lain yang mahu turut berjaga, walaupun tidak salah membenarkan dia menumpang tetapi kenderaan akan menjadi perlahan.

Jadilah seorang daie yang juga seorang abid. Kita bimbang akan menjadi bukan seorang daie dan bukan juga seorang abid, walaupun kita memandang sinis seorang abid yang bukan daie, sedangkan berapa ramai kisah para wali, para pencinta beribadah yang maqamnya tinggi disisi Allah SWT.

Daie tidak diberi peluang berfikir dan katakan “Ya!” untuk dakwah. Kita sudah sekian lama diberi penerangan dan tawaran hebat untuk mendamba diri sebagai daie dan ’boucer’ kita sudah sedia menunggu di syurga Allah nanti. Dan jangan sengaja mencipta jalan yang melengahkan dan semakin menyukarkan dakwah ini.


Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket
Dr Yusof Abbas
AJK ISMA Johor
http://bioibadah.blogspot.com

Wednesday 12 September 2007

Ramadhan Menuju Taqwa

RAMADAN MENUJU TAQWA

Utama
Bulan Ramadan sekali lagi tiba kepada kita dengan penuh keberkatan, rahmat, keampunan dan ganjaran menuju balasan baik dan keredhaan Tuhan yang menciptakan kita. ISMA mengucapkan kepada sekelian rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam seluruh dunia amnya selamat menjalani ibadah di bulan Ramadan kearah menuju taqwa dan keredhaan Allah swt.

Di dalam bulan ini diwajibkan berpuasa sejak Tahun 2 Hijrah. Ramadan adalah bulan puasa yang merupakan tanda ketaqwaan dan perisai bagi kaum yang beriman. Ia adalah bulan Al-Quran yang merupakan kalam Allah swt yang menerangkan kepada manusia erti petunjuk dan dengannya dibezakan diantara kebenaran dengan kebatilan. Di dalam bulan Ramadan, dilipatgandakan pahala setiap amalan kita, diringankan jiwa dan anggota kita untuk beribadat kepadanya. Kesemua ini adalah ke arah menjadikan kita insan bertaqwa, mengerjakan apa yang diperintahNya dan menjauhi apa yang dilarangNya.

Firman Allah swt. bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa” (surah Al-Baqarah).

Dari Salman Al-Farisi r.a. berkata, “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami di hari akhir dalam bulan Syaaban dengan sabdanya : Wahai manusia! Telah datang kepada kamu bulan yang hebat, bulan yang diberkati, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang Allah wajibkan berpuasa di siang harinya, menjadikan solat Tarawih sebagai sunat di malamnya. Sesiapa yang bertaqarrub (mendekatkan dirinya kepada Allah) dengan mengerjakan salah satu amalan kebaikan yang fardhu maka Allah menggandakan pahalanya sebanyak 70 kali amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mengerjakan amalan sunat maka pahalanya seperti mengerjakan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Ramadan adalah bulan sabar, sedang balasan bagi sabar adalah Syurga. Ramadan adalah bulan muwasaah, bulan yang di dalamnya ditambah rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang berbuka puasa, maka amalan itu merupakan pengampunan bagi dosa-dosanya, menyelamatkan dirinya dari api neraka dan baginya sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Tidak semua dari kami mampu untuk memberi orang untuk berbuka puasa”. Rasulullah saw menjawab, “Allah memberi pahala tersebut (walaupun) kepada seseorang yang memberi buka puasa kepada seseorang yang berpuasa (walaupun) dengan sebiji buah kurma, secawan air kosong atau seteguk susu. Sesungguhnya Ramadan adalah bulan dimana awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka. Perbanyakkanlah di dalam bulan Ramadan 4 perkara. Dua perkara darinya menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu. Dua perkara lagi kamu sangat memerlukannya. Dua perkara yang menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu ialah kamu (mengucapkan) mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu meminta keampunan dariNya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya iala kamu memohon Syurga dari Allah dan kamu memohon dariNya supaya dijauhkan dari Neraka” (hadis riwayat Ibnu Khazimah).

Oleh itu bagi orang-orang yang beriman, bulan Ramadan mempunyai pengajaran, pengalaman, keseronokan, suasana dan kenangannya yang tersendiri menguatkan jiwa-jiwa dan menghiasi hati-hati yang benar-benar ikhlas beribadat dan mengharapkan ganjaran dariNya semata-mata.

Sebagai persediaan memasuki Ramadan, kita boleh gariskan beberapa objektif diantaranya adalah seperti berikut:

1. Melipatandakan amal ibadah samada ibadah khusus seperti solat, tilawah Al-Quran, qiyamullail (ibadah malam), puasa dan ibadah umum seperti membuat kebajikan, menyumbang kepada kemajuan umat dan Negara dan sebagainya.
2. Mendapatkan pengajaran dari hikmah puasa seperti mengembalikan kesihatan dan menyembuhkan penyakit-penyakit. Sebaiknya hendaklah direncana pemakanan sepanjang bulan ini.
3. Meningkatkan akhlak yang banyak dibentuk dengan berpuasa seperti akhlak Al-Hilm (sopan santun) dan amanah.
4. Meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dalam dua bidang khusus iaitu fiqh Puasa dan seerah Rasulullah saw. Ini diperolehi dengan membaca buku-buku fekah dan ringkasan sejarah Nabi saw.
5. Belajar berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian.
6. Menyemat dan menguatkan rukun Iman dalam diri dengan membaca Al-Quran, tadabbur ayat-ayatnya, berzikir dan menambah ilmu.
7. Menitikberat melakukan ibadat-ibadat dengan kualiti yang tinggi seperti khusyuk di dalam solat, berpuasa anggota dan hati dan sebagainya dan bukan berpada sekadar ibadah melalui aktiviti anggota luaran semata-mata.
8. Melatih melawan jiwa yang telah sebati dengan adat kebiasaan yang melalaikan. Ini boleh dicapai dengan mengerjakan Qiyamullail dan menahan kemarahan.
9. Menjaga waktu, tidak mensia-siakannya di depan televisyen, bersembang kosong dan sebagainya. Sebaiknya di dalam bulan Ramadan ini televisyen ditutup, tidak duduk bersama seseorang tanpa sebarang tujuan atau faedah, membersih rumah dan tidak ke kedai atau pasar setiap hari supaya masa dapat dimaksimakan kearah ibadat.
10. Membiasakan diri dengan kehidupan yang teratur seperti mengambil berat susunan dalam rumah dan menyediakan makanan pada masanya.
11. Menggunakan kesempatan bulan dimana hati-hati manusia terbuka kearah kebaikan dengan cara mengajak masyarakat mentaati Allah swt seperti menutup aurat dan mendirikan solat pada waktunya.

Sebaiknya kita membuat persediaan di bulan Syaaban seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Ini adalah supaya seseorang tidak memasuki bulan Ramadan dalam keadaan sulit. Sekiranya dia telah membiasakan dirinya berpuasa dalam sebahagian bulan Syaaban, maka dia lebih bersedia berpuasa sepenuhnya di bulan Ramadan. Sekiranya dia membiasakan diri membaca Al-Quran di bulan Syaaban, maka lebih mudah dia mengkhatamnya di bulan Ramadan.

Hadis dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami hendak berkata Baginda tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami berkata Baginda tidak berpuasa. Aku tidak melihat Raslullah saw menyempurnakan puasanya dalam satu bulan melainkan dalam bulan Ramadan. Aku tidak melihat banyaknya Baginda berpuasa melainkan dalam bulan Syaaban” (hadis riwayat Al-Bukhari). Dari Usamah bin Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sehebat) engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah saw menjawab, “Bulan (Syaaban) itu ramai yang kurang memperdulikannya, (terletak) diantara Rejab dan Ramadan, sedang ia adalah bulan yang didalamnya di angkat pahala amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Aku ingin amalan ku diangkat ketika aku sedang berpuasa” (hadis riwayat Imam An-Nasaie).

Anas bin Malik ra berkata, “Dulu orang-orang Islam apabila masuk bulan Syaaban mereka akan sering membaca Al-Quran, mambayar zakat dari harta mereka agar dapat menguatkan orang-orang tua dan miskin untuk berpuasa di bulan Ramadan”.

Ayuh kita contohilah pula doa yang dibaca oleh Rasulullah saw, “Ya Allah, berkatilah untuk kami bulan Rejab dan Syaaban. Berkatilah untuk kami bulan Ramadan”. (hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya).

Kita menyeru kepada sekelian pembaca agar mengambil sebaik-baik peluang sepanjang sebulan Ramadan ini untuk meningkatkan taqwa kepada Allah swt. Jadikanlah prestasi kita dibulan Ramadan tahun ini lebih baik dari bulan Ramadan di tahun-tahun sebelum ini. Jika umat kita mencapai taqwa yang sejati, maka akan terbuka pula segala nikmat dan keberkatan dari Allah swt di mana urusan kita menjadi mudah, mendapat kecukupan dari Allah swt, tidak boleh diganggu gugat oleh apa sahaja perancangan musuh kafir dan munafiqin, dicurahkan rezeki dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka dan sebagainya.

Firman Allah swt bermaksud, “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka itu sudah cukup baginya. Allah akan mencapai (menyempurnakan) urusanNya. Sungguh Allah menjadikan tiap sesuatu itu dengan kadarnya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, dijadikan mudah setiap urusannya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, diberi jalan keluar baginya. Allah memberinya rezeki dari sumber yang tidak dia sangka” (Al-Quran). “Jika kamu bersabar dan bertaqwa, perancangan mereka tidak akan memudharatkan kamu sedikit pun” (Al-Quran).

Tuan puan, Saudara saudari sekelian,

Jika nikmat dan anugerah di atas disempurnakan pemberiannya kepada kita, maka bukan sahaja kita hidup dengan sejahtera di dunia dan akhirat, tetapi juga Allah akan mengembalikan kepada kita umat Islam kepimpinan dan contoh tauladan kepada dunia sejagat. Ini tidak mustahil sekiranya umayt Islam bersungguh-sungguh mencapai matlamat beramal ibadah di bulan Ramadan.

Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan.
Ya Allah, terimalah amal ibadah kami di bulan Ramadan.




Di ambil dari Ismaweb.net
Oleh,
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah,

Naib Presiden ISMA.

Aman Palestin di Maahad Tahfiz Iman, Skudai



Khamis, 16 Ogos - ISMA Johor, dengan kerjasama Aman Palestin, telah mengadakan satu ceramah tentang Palestin kepada kira-kira 40 pelajar Maahad Tahfiz Iman di Taman Universiti, Skudai Johor.

Rehlah Belia


Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor Selatan telah menjayakan program yang dirangka untuk merapatkan ukhuwah di kalangan Belia IPT ISMA kawasan pada hari Ahad, 26 Ogos 2007.

Program Rehlah IPT Belia ini merupakan yang julung kalinya diadakan telah mengumpul seramai 14 orang peserta di Air Terjun Bekok. Program ini dijangka akan merapatkan ukhuwah di kalangan peserta dan meningkatkan lagi kerja-kerja dakwah di kawasan Johor Selatan, terutamanya kepada belia-belia IPT.

Tuesday 28 August 2007

Salam bicara Iftitah...

assalamualaikum wbt...
sekadar permulaan dan pengujian blog...
wassalam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.