KAJANG – “Sekretariat Persefahaman dan Kerjasama Gerakan Dakwah (SPKGD) ditubuhkan atas kesedaran usaha pengislahan masyarakat Islam tidak dapat dilaksanakan oleh hanya sesebuah organisasi, sebaliknya memerlukan usahasama yang berterusan daripada gerakan-gerakan dakwah yang wujud,” tegas Timbalan Presiden ISMA, Tn. Hj. Aminuddin Yahaya.
“Usaha membina semula umat dan bangsa merupakan satu usaha besar yang mesti dipikul secara bersama oleh pertubuhan-pertubuhan dakwah Islam di negara ini.”
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pengenalan SPKGD di majlis pelancaran sekretariat tersebut yang telah berlangsung pada 14 Jun lepas di Dewan Besar Kolej Dar al Hikmah, Sungai Ramal Dalam di sini.
SPKGD dianggotai oleh tiga organisasi dakwah di negara ini iaitu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM).
Menurut Tn. Hj. Aminuddin, sekretariat ini ditubuhkan dengan beberapa objektif iaitu :-
1. Mengukuhkan persefahaman dan hubungan kerjasama antara ahli badan yang bergabung.
2. Menjalin kerjasama pintar antara gabungan bagi menjayakan agenda pembangunan ummah.
3. Menjalankan aktiviti bersama dalam meningkatkan penghayatan agama dan memupuk kesedaran kesatuan di kalangan umat Islam.
4. Menangkis ancaman pemikiran dan budaya negatif yang melemahkan jatidiri umat Islam.
5. Menggembeling permuafakatan pertubuhan dakwah bagi menjayakan cita-cita Islamiyah.
Sekretariat ini akan melaksanakan program bersama antara badan-badan gabungan di samping merancang program-program yang melibatkan badan-badan lain dalam rangka mempromosi kerjasama yang lebih baik antara gerakan-gerakan Islam.
“Kita berharap usaha ini menjadi contoh yang baik dan akan menjadi penggerak utama ke arah merapatkan kerjasama antara NGO-NGO Islam. Satu yang dimpikan jika pertubuhan-pertubuhan Islam akhirnya dapat bersepakat dalam satu gagasan strategi bersama yang tentu sekali akan memberi impak dakwah yang lebih besar dan menyeluruh,” ujar Tn. Hj. Aminuddin lagi.
Sumber : ISMA Web
0 komen:
Post a Comment