.

Wednesday, 29 June 2011

Bersabarlah…ianya ibarat gerhana

Di satu pagi…..

 

Sudah menjadi rutin harian saya untuk merawat pesakit-pesakit di kalangan ibu yang mengandung hampir di setiap pagi. Setelah bertemu dengan kesemua pesakit yang memerlukan nasihat dan pandangan saya, maka saya bergerak ke katil yang terakhir. Tenang nampaknya wajah wanita muda ini yang kelihatan sedang membaca sebuah artikel perihal persiapan menyambut bayi dari sebuah majalah bulanan.


Puan S  telah berkahwin selama 9 tahun dan pernah mengandung sebanyak 6 kali. Dalam tempoh yang panjang ini, lima daripada 6 kandungannya berakhir dengan keguguran dan yang satu lagi itu  berakhir dengan kematian bayinya sehari sebelum tarikh beliau dijangka akan bersalin. Pelbagai ujian dan pemeriksaan telah dijalankan tanpa menunjukkan sebarang jawapan kepada punca beliau kehilangan semua 6 kandungannya sebelum ini.

Kandungan yang ke tujuh ini pula baru masuk ke pertengahan bulan yang ke 7 (29 minggu) tetapi beliau telahpun dimasukkan ke hospital terlebih awal kerana bayinya didapati tidak membesar pada kadar  yang normal (Intrauterine Growth Restriction – IUGR). Dari pemeriksaan yang terkini, kami mendapati bayinya telahpun menunjukkan tanda-tanda yang agak merisaukan seperti tidak mengeluarkan air mentuban (anhydramnios) dan berat jangkaannya pula hanya kira-kira 800 gram.

Kalau dibiarkan, mungkin bayi ini akan meninggal dunia di dalam kandungan kerana lemas kekurangan oksigen. Kalau dibuat pembedahan caesarean pula, mungkin bayi ini akan meninggal dunia disebabkan keadaannya yang pra-matang. Inilah dilemma yang kerap dialami oleh pakar-pakar yang bekerja di bidang perbidanan ini.

Dr Z – ”Boleh saya berbincang dengan puan secara lebih personal ?”

(Air matanya berguguran mencurah-curah sebaik-baik sahaja saya membuka tajuk ini dengan lebih mendalam. Sukar untuk saya meneruskan bicara kerana hati kecil saya juga turut bersedih menginsafi nasib malang yang berpanjangan yang dialami oleh bakal ibu ini.)


Dr Z – “Maafkan saya puan kerana terpaksa berterus terang.” (Saya cuba menjelaskannya secara berperingkat-peringkat dan bernada perlahan bagi membuka hatinya agar lebih bersedia untuk menerima hakikat yang mungkin berlaku. Peluangnya untuk memiliki bayi yang selamat agak tipis dan mungkin sekadar 10-20 % sahaja).

Puan S –  “……dah 9 tahun saya menunggu dan semuanya pergi dulu (menangis)…….Tak mengapalah doktor….Saya perlu terima kenyataan….” (Puan S menjawab sambil teresak-esak).

Dr Z – “Bersabarlah puan. Ini semua adalah ujian Allah kepada kita….” (Nasihat saya yang kerap terputus dek tangisannya).

Dr Z – “Ujian bererti Allah menyayangi kita….”. “Setiap yang dipinjamkan akan diambil kembali….”” Ujian yang banyak ini bererti puan adalah seorang hamba Allah yang hebat…”

Puan S – “Jadi apa yang saya perlu buat doktor?.” (nadanya mula tenang)

Dr Z – “Tugas kami ialah berbuat apa yang boleh dan yang terbaik untuk puan. Tugas puan dan keluarga pula ialah berdoa. Berdoalah bersungguh-sungguh kerana Allah sahajalah yang menentukan segala-galanya. Walaupun harapannya agak tipis tetapi Allah boleh mengubah semua keadaan dan segala kemungkinan yang ada.”

Puan S – “Ya doktor…teruskan”.

Dr Z – “Puan mungkin masih ingat maksud ayat ini…”Dan kamu tidak mempunyai sebarang kemampuan melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah , Sesungguhnya Allah swt Maha mengetahui lagi bijaksana. (rujuk Al-Insan – 30).” (Pesan saya agar Puan S mengadu dan merujuk segala bebanan dan masalahnya kepada Penyelesai kepada semua masalah iaitu Allah swt sendiri)

Puan S – “Terima kasih atas pertolongan doktor”

Dr Z – “Sebenarnya sumbangan saya tak banyak. Hanya sekelumit daripada pemberian Allah yang terlalu banyak. Puan dekatkan diri kepadaNya, mengadu kepadaNya dan insya Allah saya rasa harapan masih ada.”

Dr Z – “Ok puan. Saya pergi dulu ya. Ada tugasan di tempat lain pula. Assalamu’alaikum”

Puan S – “Terima kasih atas nasihat doktor. Wa’alaikum salam”

Saya mengangkat tangan sambil beredar……

Letakkanlah harapan kepadaNya.

Dialah yang memberikan segala kata putus

 
Rentetan ujian kehidupan adalah seumpama gerhana dan bukannya terbenam sang mentari….

Salam perjuangan



Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
ISMA Cawangan Seremban


0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.