Oleh: Muhammad Akram Bin Abd Kadir, Tahun 5, Perubatan, Universiti Kaherah.
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.”
(ayat 78, Surah An-Nahl).
Berapa kali dalam setahun ungkapan terima kasih diucapkan kepada ibu anda? Sejauh manakah tenaga dan kudrat kita dimanfaatkan untuk melakukan kerja-kerja menyenangkan hati ibu? Setidak-tidaknya dalam seminggu, terlintaskah di dalam fikiran kita wajah ibu atau nasihatnya mengiringi kehidupan seharian?
Sembilan bulan tujuh hari tempoh kita membesar daripada segumpal darah sehinggalah menjadi seorang manusia yang lengkap ketika di alam rahim ibu. 40 minggu diri kita dikendong ke sana dan kemari dengan penuh perasaan tabah dan kasih sayang. Biarpun penat, ditambah lagi dengan mabuk pagi dan loya, kesihatan dan pemakanan yang perlu juga dijaga untuk memastikan bakal anak yang dilahirkan sempurna dan sihat.
Seorang anak itu memang tidak dapat membayangkan batapa sukarnya kelahiran seorang bayi, sehinggalah dia dapat menyaksikan sendiri bagaimana lahirnya seorang bayi keluar dari perut ibu. Allah telah menjadikan proses mengandung dan kelahiran itu sesuatu yang penuh dengan kesukaran, kepayahan dan kesakitan. Hikmahnya, ia menjadikan seseorang ibu itu sangat menyayangi dan menghargai anak yang dilahirkannya. Anak itu dikasihi, diberi makan, diasuh dan dididik menjadi anak yang soleh.
Namun, jika dihayati penciptaan manusia yang begitu unik dan tidak terfikir oleh akal yang terbatas, daripada satu sel menjadi seorang makhluk kompleks yang sempurna, semuanya terjadi kerana hikmah dan kekuasaan Allah yang Maha Besar dan Berkuasa. Subhanallah. Persenyawaan diantara sperma daripada bapa dan ovum daripada ibu, yang masing-masing mengandungi separuh bahan genetik 23 kromosom, kemudiannya membentuk satu sel yang mengandungi 46 pasang kromosom. Sekecil-kecil sel akan terus berkembang dan membahagi, menjadi dua sel, kemudian empat sel, kemudian lapan, 16 sehinggalah menjadi segumpal sel(morula) seperti yang diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran, ayat 5 surah Al-Haj.
Organ-organ yang akan terbentuk daripada segumpal darah ini melalui proses pembahagiaan dan transformasi yang sangat kompleks. Allah menjadikan sistem peredaran darah, sistem pencernaan, sistem imunisasi badan, sistem saraf dan lain-lain sistem lagi. Semuanya penting untuk kehidupan manusia. Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui segala apa yang diperlukan manusia bagi melangsungkan kehidupan normal seharian.
Tamat lebih kurang 40 minggu janin di dalam perut, ibu akan melahirkan kandungannya. Senario sewaktu ibu melahirkan anak adalah sesuatu adegan yang sangat menyayatkan dan memilukan hati andai kita dapat menyaksikannya. Ibu akan mengalami rasa sakit apabila tiba waktu bersalin. Rasa sakit ini terjadi ketika perkembangan pangkal rahim(cervix) berlaku. Ianya akan mengambil masa secara puratanya selama lebih kurang 16 jam. Bayangkan 16 jam ibu akan berperang bergelut dengan kesakitan di fasa pertama bersalin.
Fasa kedua bersalin iaitu fasa keluarnya bayi dari rahim ibu akan mengambil masa selama 1 jam untuk ibu yang bersalin kali pertama dan 30 minit bagi Ibu yang pernah bersalin. Ibu akan meneran beberapa kali dan menggunakan segala tenaga yang ada sewaktu itu untuk mengeluarkan anaknya daripada rahim. Selesai fasa kedua, lahirlah seorang khalifah yang baru ke dunia. Seorang manusia yang bakal mejalani kehidupan yang singkat dan penuh selok-belok cabaran dunia. Allah menetapkan tugas sulung manusia di muka bumi ini adalah untuk beribadat kepada-Nya di bawah keredhaan-Nya.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”
(56, Surah Adz-dhariyat)
Kisah sang ibu pula tidak berakhir di situ. Setelah tamat malahirkan anak kesayangannya, ibu akan mengalami beberapa komplikasi susulan setelah bersalin. Antaranya demam yang teruk sewaktu tempoh nifas dan kekurangan darah atau anemia akibat kehilangan darah yang banyak sewaktu bersalin. Ibu juga akan lebih cenderung untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan lain terutamanya jika beliau bersalin lebih lima kali. Ibu biasanya banyak mengadu mangalami kitaran haid tidak teratur, kejutahan pada rahimnya atau boleh membawa kepada penyakit yang lebih melarat seperti kanser rahim dan tumbesaran pada ovarinya.
Melihat kepada betapa tingginya nilai pengorbanan seorang ibu terhadap anaknya, tidak mungkin terbalas jasanya walau kita berkhidmat kepadanya sehingga mati. Kerana itulah Rasulullah SAW menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa kerana sesungguhnya syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu. Janganlah kita menjadi seorang anak yang sombong derhaka dan mudah lupa terhadap kedua ibu bapa terutamanya ibu, apabila kita sudah besar panjang dan mampu membawa diri berlayar dalam arus kehidupan manusia dewasa. Andai kita tidak diizinkan oleh Allah untuk hidup dan diberi upaya melalui kelahiran oleh ibu kita, nescaya tidaklah kita beroleh nikmat kehidupan yang selesa di dunia sekarang.
Wahai sahabat-sahabat, ingatlah firman Allah di atas. Kita asalnya adalah seorang yang lemah dan sering dan memangnya terpaksa bergantung kepada ibu bapa sewaktu masih kecil. Allah mengurniakan akal kepada manusia untuk berfikir supaya menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukur bukan sesuatu yang hanya dituturkan dengan perkataan. Tetapi rasa syukur itu akan terpancar dengan amalan-amalan, perbuatan serta tingkah laku yang diajar oleh Rasulullah SAW yang akhirnya membawa kita sentiasa dibawah naungan dan redha Allah SWT.
Terima Kasih, Ibu.
Sumber : ISMA Mesir
0 komen:
Post a Comment