Gejala keciciran daripada arus perdana kebaikan boleh menular kepada setiap individu jika ia tidak dibendung dengan iman dan taqwa. Di sinilah syaitan akan memainkan peranannya dengan menghalang orang-orang mukmin daripada bekerja dengan penuh kesungguhan. Oleh kerana itulah setiap kita mesti menyertakan kesabaran dan taqwa ketika mengharungi fitnah besar ini.
Seringkali kita dapati ramai generasi muda yang bersemangat pada peringkat awalnya tetapi mula mencari rentak baru apabila diberi sedikit ujian di dalam bentuk yang pelbagai. Ada yang diuji dengan kesibukan kerjaya, ada yang diuji dengan keperitan hidup, ada yang diuji dengan kesenangan dunia, ada yang diuji dengan populariti, ada yang diuji dengan obses pendapat sendiri dan sebagainya. Ujian-ujian ini menyebabkannya semakin hari semakin menjauhkan diri daripada gerabak kebenaran dan kebaikan sehingga akhirnya dia sekadar menjadi pemerhati kepada sejarah yang berlaku.
عَنْ أَبِي عَمْرو، وَقِيْلَ : أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانُ بْنِ عَبْدِ اللهِ الثَّقَفِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ قُلْ لِي فِي اْلإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَداً غَيْرَكَ . قَالَ : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
[رواه مسلم]
Terjemahan hadith:
Dari Abu Amr, dan ada juga yang mengatakan Abu ‘Amrah, Sufyan bin Abdillah As Tsaqofi r.hu dia berkata, saya berkata: Wahai Rasulullah saw, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorang pun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah. (Riwayat Muslim).
Di antara pelajaran daripada hadith ini:
1. Iman dan amal soleh mesti dimiliki dan diperbaharui.
2. Istiqamah merupakan kehebatan di darjat yang tinggi.
3. Perintah untuk istiqamah di jalan kebaikan dan ikhlas beribadah hingga mati.
Hidayah adalah milik Allah dan Dialah yang membolak-balikkan hati kita semua. Bagi mengelakkan diri daripada gejala keciciran ini, maka sudah semestinya kita meletakkan Allah sebagai satu-satunya tempat kita bergantung. Semuanya ini adalah milik Ilahi dan Dialah yang berupaya memberikan segala-galanya kepada kita.
Setiap kita seharusnya mengambil pengiktibaran daripada kisah-kisah para nabi yang terdahulu dan para sahabat yang berpegang teguh dengan janji-janji Allah swt sehingga mereka berjaya mengharunginya dan diberi kemenangan yang hakiki.
Semoga kita dijauhkan oleh Allah daripada fitnah ini.
Jangan sampai tertinggal gerabak biarpun hanya sebagai sebutir ‘screw’…
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik
Blog: Peduli Ummah
0 komen:
Post a Comment