Kes A
Gadis A, berumur 16 tahun didapati kerap berkeadaan murung. Apabila ditegur oleh ibunya, A cuba mengelak. Namun keadaan perutnya yang semakin membuncit menyebabkan sukar untuk A menyimpan rahsia tersebut. A melarikan diri dan tinggal bersama keluarga angkatnya di ibu kota. Beliau hanya dibawa ke hospital untuk melahirkan kandungannya ini.
Kes B
Gadis B, berumur 18 tahun adalah seorang pelajar kolej swasta yang sangat aktif. Akibat ketelanjuran bersama teman lelakinya, B disyaki mengandung. Ujian kencing yang dibuat di sebuah klinik swasta mengesahkan bahawa B telahpun hamil dan kandungan janin kembar telahpun disahkan melalui ujian ultra sound. B cuba untuk menyembunyikan kandungannya sehingga terpaksa ponteng kuliah. Rahsianya terbungkar apabila B melahirkan kandungan kembarnya yang pramatang di dalam tandas asrama kolej tersebut. Oleh kerana rasa ketakutan yang amat sangat, B memasukkan kedua-dua bayi pramatangnya ke dalam baldi yang dipenuhi air sebelum cuba untuk menyembunyikannya setelh kedua-dua bayinya meningga dunia.
Kes C
Remaja C, berumur 15 tahun adalah seorang pelajar sekolah menengah. Beliau ditahan oleh pasukan polis kerana disyaki membuang bayinya apabila mayat seorang bayi yang baru sahaja meninggal dunia ditemui kira-kira 100 meter daripada rumahnya. Walaupun C menafikan dakwaan tersebut, pemeriksaan kesihatan telah mengesahkan bahawa beliau mempunyai banyak tanda-tanda bahawa gadis C baru sahaja melahirkan kandungannya.
Kes D
Remaja D, dimasukkan ke hospital untuk bersalin pada bulan Mac 2011 yang lalu. Remaja D baru berumur 13 tahun dan mengandung pada bulan Ogos 2010 yang lalu sebelum dia menduduki peperiksaan UPSR. Dia selamat bersalin secara normal, cuma dilema besar ketika saya mengendalikan kes D ialah bagaimankah cara terbaik untuk membantu merancang masa depan D bagi melalui fasa-fasa seterusnya. Begitu juga dengan masa depan bayinya ‘yang suci’ yang baru sahaja dilahirkan.
Begitulah sebahagian daripada ratusan kes senario yang pernah saya depani berlaku akibat salah laku seksual di kalangan remaja di Malaysia. Berita seumpama ini semakin kerap dilaporkan di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen. Orang ramai pula semakin risau dan mula bersuara walaupun majoritinya masih buat tidak kisah terhadap gejala sosial yang semakin merebak ini.
Statistik
Kita tidak mempunyai laporan statistik yang tepat mengenai jumlah sebenar remaja yang hamil di Malaysia. Namun peningkatan kejadian buang bayi, remaja ponteng dan berhenti sekolah, remaja melarikan diri dari rumah dan peningkatan kes-kes remaja yang hamil dan bersalin membuktikan bahawa permasalahn ini menjadi semakin parah. Malahan saya pernah berhadapan dengan 3 kes remaja yang hamil yang hampir melahirkan anak ketika mereka hanya berumur 13 tahun. Dinisbahkan sebagai pelajar sekolah menengah, mereka baru berada di tingkatan satu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim telah menyatakan bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu telah didaftarkan di seluruh Negara sepanjang tahun 2009 seperti yang dilaporkan oleh akhbar Berita harian bertarikh 21hb Mac 2010. Menurut beliau lagi, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,1000. Ini bererti seramai kira-kira 65 bayi di luar nikah dilahirkan di kalangan orang Melayu. Jumlah ini tidak termasuk di kalangan kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Berita Harian 21hb Mac 2011 pula telah melaporkan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial. Ini adalah kerana jumlah peningkatan anak tak sah taraf kini mencecah 234,647 daripada lebih 2 juta kelahiran yang didaftarkan ke JPN antara 2006 hingga 2010. Ini menunjukkan pola meningkat terhadap kes hamil luar nikah dan jumlah anak tidak sah taraf (anak zina seramai 10 % daripada keseluruhan bayi yang dilahirkan) di seluruh negara.
Walaupun laporan JPN dan JKM tidak pernah menyatakan umur sebenar ibu-ibu yang melahirkan anak di luar nikah ini, kejadian ini seharusnya sudah lebih dari cukup untuk membuka mata masyarakat umum bahawa salah laku seksual atau lebih tepatnya kejadian zina semakin merebak termasuk di kalangan remaja Melayu.
Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam gejala seks luar nikah adalah di kalangan kumpulan remaja di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga di sekolah menengah. Ini merupakan satu kejadian yang sangat menggerunkan kita semua.
Punca-punca Kejadian
Memang banyak pendapat dan kritikan daripada pelbagai pihak yang diutarakan apabila gejala pembuangan bayi mendapat liputan meluas media. Ada yang menyalahkan remaja yang tidak berupaya mengawal tuntutan nafsu, malah ada juga yang menuding jari kepada institusi keluarga yang goyah.
Ada yang menyalahkan pihak sekolah yang gagal mengawal disiplin pelajarnya dan ada yang mengkritik kementerian pendidikan yang gagal memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja berkenaan. Ada yang menyalahkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan ramai yang mempertikaikan usaha ulama yang terlalu sedikit bagi membendung masalah ini.
Ada yang mengatakan gejala pembuangan bayi adalah kesan akibat pembangunan pasca kemodenan. Pada era globalisasi dengan kecanggihan perkembangan teknologi komunikasi turut mempengaruhi perlakuan seksual remaja. Ada yang mengatakan bahawa media adalah punca bagi segala-galanya dan kerajaan bertanggung-jawab sepenuhnya terhadap kejadian yang semakin merebak ini.
Cadangan Jalan Penyelesaiannya
Persoalannya yang utama sekarang bukanlah untuk kita menuding jari kepada siapa yang paling bersalah di dalam hal hamil di luar nikah di kalangan remaja ini tetapi adalah bagaimana permasalahan ini boleh kita tangani bersama sehingga ke tahap sifar atau minima sekurang-kurangnya.
1-Peranan ibubapa
Ibu bapa adalah contoh tauladan kepada anak-anak dan berperanan untuk mendidik anak-anak dengan didikan Islam dan akhlak yang terpuji semenjak mereka kecil lagi. Para ibu bapa yang tidak berkemampuan mesti memohon bantuan dan pertolongan dari pihak-pihak lain yang boleh membantu mereka dalam mendidik anak-anak. Aktiviti anak-anak serta keluar masuk meraka mestilah diperhatikan secara berpatutan sebelum nasi menjadi bubur.
2-Peranan Remaja
Remaja sendiri mestilah pandai menjaga diri masing-masing dengan memilih rakan-rakan yang baik sebagai kawan sepergaulan mereka. Mereka seharusnya memiliki idola remaja yang boleh diikuti sebagai pemangkin kepada kehidupan mereka yang yang bermotivasi yang berasaskan kepada contoh tauladan yang baik.
3-Peranan Masyarakat Awam
Dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan yang tertentu.
Masyarakat awam mesti bersikap sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita semua mesti berperanan untuk memperbaiki keadaan yang ada sekarang.
4-Peranan NGO
NGO memainkan peranan yang sangat penting dalam menangani permasalahan ini. NGO boleh membantu remaja menghala-tujukan kehidupan mereka agar lebih terarah dan terurus. Banyak NGO di Malaysia yang bergiat aktif bagi menangani permasalahan remaja Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), ABIM, HALUAN, JIM, Yayasan Amal dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti dan program yang dianjurkan oleh NGO-NGO ini yang mengambil berat mengenai remaja seharusnya disokong oleh semua pihak termasuk dari pihak kerajaan sendiri. Bantuan teknikal dan kewangan yang diperlukan oleh NGO yang menangani remaja seharusnya disalurkan kepada mereka secara yang optima.
5-Peranan Guru dan Sekolah
Guru-guru dan sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam pendidikan remaja. Fokus pendidikan tidak hanya terfokus kepada pencapaian akademik semata-mata. Aktiviti-aktiviti dan program pelajar juga mestilah menjuruskan kepada pembinaan sahsiah yang terpuji dan pembinaan generasi muda yang cemerlang yang bakal menggantikan kepimpinan negara di masa aka datang. Pelajar-pelajar yang bermasalah mestilah dikenalpasti dengan lebih awal dan disalurkan kepada program pemulihan atau panambahbaikan secara sistematik.
6-Peranan Kementerian Pelajaran
Usaha Kementerian Pelajaran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang merangka dan menyelaraskan Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (GPPKRSK) dengan peruntukan RM 20 juta bagi menangani masalah terbabit adalah amat dihargai. Namun usaha ini tidak membuahkan sebarang hasil yang positif sekiranya tidak dilaksanakan secara serius atau secara sambil lewa sahaja. Cadangan untuk memperkenalkan pendidikan seks kepada remaja di sekolah adalah cadangan yang baik tetapi mestilah dimulakan dengan kajian yang mendalam bagi mempastikan keberkesanan penyampaian silibus tersebut. Penglibatan para ibu-bapa memahami isu ini dan sokongan terhadapnya pasti akan membantu keberkesanannya.
Kementerian juga berperanan dengan peranan yang lebih luas yang tidak hanya memfokuskan pelajar dan guru dengan kejayaan dalam bidang akademik sahaja bahkan juga cemerlang di dalam pembentukan sahsiah dan kepimpinan remaja.
7-Peranan Media
Media memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini. Remaja negitu terpengaruh dengan budaya barat dan apa yang ditunjukkan oleh para artis samada dari dalam atau dari luar negara. Sudah semestinya perlu ada pengawalan media terhadap semua filem luar mahupun tempatan agar tidak bersifat keterlaluan dalam usaha untuk menghiburkan masyarakat umum. Majalah dan penerbitan lucah mesti dihentikan seberapa segera oleh pihak berwajib agar tidak terus menyuburkan budaya yang negatif ini. Sebelum nasi menjadi bubur, langkah-langkah proaktif kepada pihak media mestilah disegerakan.
8-Peranan Pemimpin Politik dan Parlimen
Permasalahan salah laku seksual remaja dan belia kini sudah sampai ke tahap yang kritikal. Isu ini mestilah dibincangkan secara serius di peringkat parlimen tanpa memandang kepada mana-mana latar belakang parti politik. Ahli politik dan ahli parlimen samada daripada kerajaan Barisan Nasional mahupun daripada Pakatan Rakyat mestilah mengenepikan pandangan peribadi dan kepartian bagi menangani isu nasional ini. Penggubalan dan perlaksanaan undang-undang adalah sebahagian daripada tanggung-jawab Parlimen bagi mengatasi permasalahan nasional ini. Permasalahan gejala zina di kalangan remaja dan belia ini adalah agenda bersama yang mesti diperjuangkan oleh semua pihak.
Penutup
Remaja dan belia adalah agen perubahan. Remaja dan belia hari ini adalah pemimpin yang akan memimpin negara di masa akan datang. Permasalahan remaja hari ini yang semakin kritikal memerlukan usaha yang menyeluruh lagi bersepadu daripada semua pihak. Bukanlah masanya yang tepat untuk kita menuding jari kepada pihak-pihak yang tertentu bagi memikul beban dan tanggung-jawab ini. Ini adalah isu nasional yang mesti ditangani oleh kita semua sebagai agenda bersama.
Mari bersama selamatkan Malaysia kita dari gejala zina ini…
Salam perjuangan
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Peduli Ummah
0 komen:
Post a Comment