Solahuddin al-Ayyubi –Tokoh Pembebasan Palestin
Adakah Solahuddin al-Ayyubi berbangsa Palestin? Jawapannya bukan. Adakah Solahuddin berbangsa Arab? Jawapannya juga bukan. Kenapakah Solahuddin yang bukan berbangsa Palestin dan bukan orang Arab ini telah berhabis-habisan sehingga seluruh usianya digunakan untuk pembebasan Masjid al-Aqsa dan Palestin? Ini adalah satu soalan cepu emas yang perlu dijawab oleh kita semua.
Solahuddin al-Ayubi atau nama sebenarnya Solahuddin Yusuf bin Ayyub telah dilahirkan pada tahun 1137M atau 532 Hijrah di kota Tikrit, yang terletak di antara Mosul dan Baghdad dan berhampiran dengan Sungai Tigris.
Asal usul beliau adalah dari suku bangsa Kurdish dan ayahnya adalah seorang gabenor. Semasa kecilnya Solahuddin mendapat pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaduddin Shirkukh yang merupakan seorang panglima perang. Beliau dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorang pun yang menyangka suatu hari nanti dia akan membebaskan kembali Masjid al-Aqsa dan Palestin dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.
Kerjayanya seorang pejuang
Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Nuruddin Zanki, Sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih sayangkan Aleppo. Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan beliau tiba-tiba berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Palestin dari penjajahan Salib. Dia menjadi seorang yang zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.
Solahuddin bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Baitul Maqdis. Pernah beliau ditanya akan kenapa beliau sentiasa kelihatan serius dan tidak pernah ketawa. Namun beliau menjawab, “Bagaimana mungkin untuk aku ketawa sedangkan Masjid al-Aqsa masih berada di bawah jajahan musuh”.
Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad. Pemikiran Solahuddin sentiasa tertumpu kepada perjuangan di jalan Allah. Semangat beliau yang sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Dalam medan peperangan dia begitu tangkas bergerak bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak. Dia akan bergerak pantas dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Dia lebih gemar berpuasa sekalipun di medan peperangan.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Solahuddin untuk menawan Baitul Maqdis. Hajat Solahuddin yang terbesar iaitu untuk menawan kembali Baitul Maqdis akhirnya tercapai pada hari Jumaat, 15 Oktober 1187 atau 27 Rajab 583H , iaitu pada hari Isra’ dan Mi’raj. Solahuddin dan tenteranya berjaya memasuki Baitul Maqdis dan umat Islam kembali memiliki Masjid al-Aqsa setelah 88 tahun ianya dijajah musuh.
Ini adalah hari kemenangan atas kemenangan. Orang ramai dan pemimpin-pemimpin umat Islam datang untuk merayakan kemenangan ini. Laungan takbir, tahmid dan tasbih telah bergema ke angkasa.
Kehebatan peribadi pejuang
Sifat penyayang dan belas kasihan Solahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Solahuddin tidak membalas dendam setelah menang ke atas salib bahkan telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Orang-orang Kristian sebenarnya sangat beruntung apabila tidak seorang pun dari pihak mereka yang telah dibunuh apabila Solahuddin dan tenteranya menang. Malah Solehudin telah membenarkan penganut semua agama (Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.
Walaupun berbeza kepercayaan, Solahuddin al-Ayubbi juga amat dihormati di kalangan pembesar dan pemimpin Kristian terutamanya Raja Richard. Raja Richard pernah memuji Salahuddin sebagai seorang putera agung dan merupakan pemimpin paling hebat di dalam dunia Islam. Selepas perjanjian damai ditandatangani di antara pihak salib dan Islam, Richard dan Solahuddin telah bertukar-tukar hadiah di antara satu sama lain sebagai lambang kehormatan walaupun kedua-dua pemimpin ini tidak pernah bersua muka.
Sebaliknya pula tindak-tanduk tentera Salib ketika mereka menawan Baitul Maqdis kali pertama pada tahun 1099, sebagaimana yang ditulis oleh Ibnu Khaldun menyatakan bahawa, “Ketika tentera Salib mengganas selama seminggu di Baitul Maqdis, mereka melakukan rompakan, pemerkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat-mayat di sekitar masjid, di dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang daripada 70 ribu orang umat Islam yang tidak berdosa”.
Di dalam setiap peperangan Solahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Semua yang terlibat mempunyai sumbangan yang penting dalam membuat sebarang keputusan. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka akan memberikan ketaatan mereka kepada Solahuddin.
Perhubungan dengan Allah
Solahuddin adalah seorang yang wara’ dan sentiasa melakukan solat berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Bahkan sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Solahuddin dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak meninggalkan harta.
Catatan-catatan dari lembaran sejarah juga menyaksikan bahawa Solahuddin sangat teringin untuk ke Mekah bagi menunaikan fardhu haji tetapi dia tidak pernah berkesempatan untuk berbuat demikian disebabkan kesibukan beliau berjihad untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan juga kerana kesempitan kewangan.
Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran. Di medan peperangan dia kerap kali duduk mendengar bacaan al-Quran oleh tentera-tentera yang dilawatinya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh hati sehingga berlinangan air mata yang membasahi dagu dan janggutnya.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah swt. Dia sentiasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Baitul Maqdis di dalam keadaan yang sangat sukar dan seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak, beliau enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Di sepanjang malam, beliau bersolat sambil menangis sehinggakan air matanya membasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Kemudian, perbalahan sesama sendiri berlaku di antara tentera-tentera musuh yang menghasilkan berita yang baik bagi tentera Solahuddin beberapa hari selepasnya. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat dari bandar suci tersebut.
Solahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam peperangan Hittin, angkatan tentera Salib berjumlah sehingga 63 ribu orang, tetapi Solahuddin menghadapinya dengan tentera yang hanya seramai 12 ribu orang. Berkat kesungguhan perjuangan mereka dan dengan pertolongan Allah, mereka telah menang.
Solahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair Arab. Beliau juga adalah seorang yang berpengetahuan tinggi dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadith, syariah, usul fiqh dan juga tafsir Quran.
Solahuddin kembali ke rahmatullah pada usia 55 tahun pada hari Rabu, 27 Safar, 589 Hijrah atau 1193 Masihi. Dia tidak meninggalkan harta kecuali 1 dinar dan 47 dirham. Beliau juga tidak meninggalkan harta dan rumah atau tanah. Bahkan betapa sedikitnya harta yang ditinggalkan sehingga ianya tidak cukup untuk belanja pengkebumiannya, hinggakan kain kafan beliau itu pun diberikan oleh salah seorang menterinya.
Begitulah kehebatan tokoh pembebasan Al Aqsa dan bumi Palestin yang bernama Solahuddin al-Ayyubi. Bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kita juga turut merindui suasana manis meraikan kemenangan membebaskan bumi tercinta ini?
Salam perjuangan
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Peduli Ummah
* Dr Zainur Rashid juga merupakan perunding Aman Palestin.
0 komen:
Post a Comment