KUALA SELANGOR, 5 Mei - Seramai 40 orang pelajar yang bakal bergelar mahasiswa dan mahasiswi di Timur Tengah telah menghadiri satu program persediaan anjuran Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR) pada 29 April hingga 1 Mei yang lalu.
Program yang dinamakan ‘Selangkah ke Bumi Anbiya’ (SKBA) ini telah diadakan di Kem Mega Kristal, Kuala Selangor dan disertai oleh para peserta yang kebanyakannya pelajar lepasan STAM Akademi Ikatan Muslimin, Ipoh Perak, Maktab Mahmud Alor Star dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Kedah.
Pengarah SKBA 2011, Ustaz Ahmad Alauddin Kamal, menyatakan perasaan bertuah dan berbangga kerana acara tahunan ini sekali lagi berjaya mencapai objektifnya iaitu memberi pendedahan dan penerangan sebagai persiapan kepada para peserta menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya’ tahun ini.
SKBA pada tahun ini yang bertemakan ‘memudik ilmu, menghilir amal’ telah dirasmikan oleh En. Zainudin Ghafar, Yang Dipertua ISMA Klang.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar peluang ke Timur Tengah ini diambil sebaik mungkin kerana tidak ramai yang berpeluang menyambungkan pelajaran ke Bumi Anbiya’.
Para peserta telah diberikan pelbagai informasi berkenaan kuliah-kuliah yang boleh diambil kelak oleh bekas mahasiswa dan mahasiswi dari Mesir.
Penerangan kuliah Syariah telah disampaikan oleh Ustaz Salman Abd Rahman, kuliah Usuluddin pula disampaikan oleh Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin, kuliah Bahasa Arab disampaikan oleh Ustaz Najib Sadli manakala kuliah Qiraat disampaikan oleh Ustazah Susilawati.
Selain itu, para peserta telah berpeluang mendengar penerangan mengenai negara Mesir oleh Ustaz Zaizul Irsyadi Zaman, Negara Jordan oleh Ustaz Mus’ab Norkefli dan negara Arab Saudi oleh Ustaz Ahmad Fikri Mohd. Paudzi.
Para peserta turut dihidangkan dengan Forum Mahasiswa yang membincangkan cabaran dan peranan mahasiswa Timur Tengah dalam arena ilmu dan dakwah di tanah air.
Forum ini dibarisi oleh ahli-ahli panel berpengalaman antaranya ialah Ustaz Mohammad Rizal Sabran selaku moderator, Ustaz Mus’ab Norkefli, Ustazah Kauthar dan Ustaz Syazwan.
Majlis penutup SKBA 2011 telah dirasmikan oleh Ustaz Annuar Salleh, ahli Jawatankuasa ISMA Pusat.
“Niat dan azam yang kuat sahaja yang akan memastikan kita berjaya di sana.” Kata Ustaz Annuar dalam ucapannya.
Beliau juga menegaskan bahawa hanya mereka yang bersungguh-sungguh tanpa jemu mampu memainkan peranan membimbing masyarakat ke jalan yang diredhai Allah.
Rata-rata para peserta menyatakan rasa berpuas hati dengan program SKBA pada kali ini yang menyajikan pengisian program yang turut meliputi aspek rohani dan fizikal.
Sumber : ISMA Web
0 komen:
Post a Comment