Sejarah silam tidak tercipta sebagai wadah pameran atau sekadar satu bentuk ilmu yang mengagumkan, tetapi merupakan sunnatullah (ketetapan Allah) terhadap peredaran alam ini, agar manusia mengambil iktibar terhadap apa yang telah berlalu. Sejarah yang telah berlalu mengajar manusia akan sebab dan musabab berlakunya sesuatu peristiwa, dan dengan pengamatan yang mendalam terhadapnya, manusia dapat melalui hari-hari mendatang dengan lebih cemerlang. Banyak ayat-ayat Al-Quran menyeru manusia agar melihat sejarah yang telah berlalu dan berfikir, terutamanya berkenaan kisah-kisah kaum yang pernah mendiami bumi di suatu masa dahulu.
“Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan betapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal umat-umat itu telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan ke atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka kaum yang lain.” (Al-An’am: 6)
Saya bersyukur, cuti Musim Luruh yang baru berlalu ini diserikan dengan tautan ukhuwwah dan kegembiraan menyaksikan keindahan ciptaan alam sambil memuji keagungan Sang Pencipta. Antara destinasi menarik yang ditujui ialah ‘The Vanished World Track’ bermula di Moerarki Boulders, kemudian Elephant Rock di Duntroon. SubhanAllah, kedua-dua destinasi ini merupakan tinggalan (fosil) bumi yang telah terbentuk sejak beribu tahun yang lalu, hasil daripada proses hakisan, serta luluhawa air laut dan juga angin.
Melihatkan keindahan alam yang begitu memukau mata ini, kami merasakan keagungan Allah SWT, Maha Pencipta Yang Bijaksana. Menyedari bahawa hasil-hasil tinggalan ini adalah kesan-kesan sejarah buat manusia berfikir, kami mengaitkannya dengan kisah-kisah kaum terdahulu yang disebut di dalam Al-Quran. Kami sempat menghayati kisah Firaun dan kaum Bani Israel, kisah kaum Nabi Nuh dan kisah kaum Nabi Lut A.S melalui sosio-drama yang ringkas tetapi begitu menarik. Kumpulan saya melakonkan babak yang berlaku pada kaum Nabi Lut tatkala dua orang malaikat diutus bertemu dengan Nabi Lut, juga azab yang menimpa mereka di atas perbuatan keji mereka.
“Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Lut, dia merasa dukacita dengan kedatangan mereka kerana merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya) sambil berkata: ‘Ini adalah hari yang mencemaskan.” (11: 77)
“Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: ‘Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu, takutlah kamu kepada Allah dan jangan kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal? (yang dapat memberi nasihat).” (11:78)
“(Mendengarkan yang demikian, tetamunya berkata): ‘Wahai Lut! Sesungguhnya kami adalah malaikat utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama keluargamu pada tengah malam dan janganlah seorang pun di antaramu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya dia akan ditimpa azab yang menimpa mereka (kerana memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu Subuh, bukankah waktu Subuh itu sudah dekat?” (11: 81)
“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka bumi) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.” (11:82)
Menginsafi kisah kaum Nabi Lut ini, saya teringat sekali akan nasib kaum di Pompeii (pameran yang pernah saya kunjungi di Museum Te Papa, Wellington), salah sebuah kota yang pernah gemilang di bawah Empayar Rom. Namun lenyap ditelan bumi dengan begitu sahaja setelah berlakunya letusan gunung berapi yang bukan sahaja menghujani penduduknya dengan batu-batu yang dibakar, tetapi juga dengan lava yang melenyapkan seluruh kota dan membekukan penduduknya dalam keadaan yang menggambarkan kegiatan mereka pada ketika itu.
Kota Pompeii yang terletak berdekatan dengan Bandar Naples pada hari ini (di bawah jajahan takluk Itali), digambarkan memiliki kemewahan dan peradaban yang amat mengagumkan, seperti yang dibuktikan sendiri dengan pameran wang syiling persis matawang hari ini (sedangkan Pompeii ini wujud di awal 70 Masihi!), begitu juga dengan barang-barang perhiasan, peralatan-peralatan yang digunakan, rekabentuk bangunan dan lukisan.
Terlalu amat sedikit bezanya jika dibandingkan dengan Zaman Kebangkitan Eropah, seolah-olahnya kehebatan masyarakat Pompeii ini jauh menandingi masyarakat Eropah yang wujud hampir lebih 1500 tahun kemudiannya! Bandar Pompeii yang begitu hebat ini musnah dan ditimbus oleh lava, debu dan habuk selama hampir 1700 tahun lamanya ekoran letusan daripada gunung berapi Vesuvius pada sekitar 24 Ogos tahun 79 M dan hanya dijumpai semula sekitar tahun 1748 M. Letusan yang membawa kemusnahan dahsyat ini hanya mengambil masa kira-kira 2 hari.
“Yang demikian, ialah sebahagian daripada khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah kami binasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya (sisanya yang dapat disaksikan) dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).” (11:100)
Hasil-hasil tinggalan penduduk bandar ini masih kekal seolah2 mereka dibekukan selama hampir 2000 tahun ini. Raut wajah mereka juga jelas kelihatan pada kesan-kesan tinggalan (body cast) yang terbentuk. Menariknya, nasib yang menimpa penduduk Pompeii ini begitu dekat persamaannya dengan nasib yang menimpa kaum Nabi Lut A.S.
Tercetus persoalan yang tidak dapat dielakkan. Adakah mereka juga mengulangi kisah sejarah kaum Nabi Lut A.S, maka oleh kerana itu, mereka mendapat siksaan yang serupa?
Harun Yahya dalam bukunya bertajuk ‘Perished Nation’ dan juga beberapa filem dokumentari yang diadaptasi dari buku tersebut menyimpulkan beberapa fakta menarik berkenaan kejadian yang menimpa penduduk Pompeii ini. Antara lainnya termasuklah kehidupan mereka yang menjadikan pelacuran, homoseksual serta pesta seks keterlaluan sebagai satu budaya kehidupan. Sehinggakan Bandar Pompeii ini digambarkan sebagai ‘pusat istirehat’ di Zaman Rom kerana begitu terkenal dengan budaya tercela ini. Alangkah serupanya dengan kisah yang menimpa Kaum Nabi Lut A.S!
Sesungguhnya Allah S.W.T mentakdirkan agar kesan-kesan sejarah ini tersimpan kukuh dan masih kekal bagi menjadi bukti-bukti kepada kita, generasi yang baru ini. Namun, hanya hati-hati yang sedar dan berfikir mampu memahami rahsia kesan-kesan sejarah ini, sedang hati yang lalai melihatnya hanya sekadar satu keajaiban bandar kuno dan peradaban dahulu kala, dan tidak mustahil bakal mengulangi sejarah ini sehingga membinasakan diri sendiri.
Madihah Rushaidi
Ketua Wanita ISMA-NZ
Biro Pembangunan Sumber Manusia
Ketua Wanita ISMA-NZ
Biro Pembangunan Sumber Manusia
Sumber: Laman ISMA NZ Dunedin
0 komen:
Post a Comment