.

Wednesday, 11 May 2011

Manhaj hidup muslim di zaman kebendaan

Dunia kini dilanda arus deras kebendaan dan ia menyelubungi segenap aspek kehidupan. Situasi dunia hari ini yang didominasi barat tidak meletakkan agenda lain dalam sistem mereka melainkan kebendaan sebagai fokus utama. Lihat sahaja corak kehidupan masyarakat barat, mereka berlumba-lumba mengejar ‘title’ siapa yang lebih kaya dan berharta, siapa yang lebih kuat berkuasa dan siapa yang lebih ternama.

Pengaruh budaya hidup barat ini telah melanda kehidupan kita di dalam dunia Islam. Bukan sekadar budaya barat ditiru dan kebendaan menjadi prioriti, bahkan juga orang Islam dilihat makin lemas demi memuaskan hawa nafsu.

Sesungguhnya Islam tidak menolak kebendaan dan keduniaan bahkan Islam memandang dari sudut yang lebih syumul lagi. Kehidupan bukan sahaja terdiri daripada aspek kebendaan, ia juga terdiri daripada aspek rohani dan spiritual.

Allah mengajar manusia bahawa aspek rohani adalah aspek yang perlu diutamakan.
Allah berfirman:

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ * ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ * إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ
*فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ 

“Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia sebaik-baik penciptaan. Lalu Kami letakkannya di tempat paling bawah. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus”.

Lihatlah bagaimana manusia yang dijadikan Allah sebaik-baik penciptaan menjadi hina apabila meminggirkan aspek rohani yang disebut sebagai iman dan amal soleh.

Arus kebendaan yang sangat kuat menyebabkan kita leka dan lupa bahawa dunia ini hanyalah sementara dan segala nikmatnya hanyalah angka-angka kosong yang tidak bernilai di akhirat nanti. Oleh yang demikian, Islam mengajar kita supaya seimbang dalam menunaikan hak diri. Jika kita sibuk mengisi kehidupan dengan mencari harta dan kesenangan, pengisian hati tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Seperti mana kita tidak pernah lupa makan untuk mengisi perut, begitu juga kita tidak boleh lupa untuk berzikir, solat, berdoa untuk mengisi keperluan hati dan rohani. Bukannya kita perlu berpuasa sepanjang masa, berkhalwat siang dan malam berzikir mengingati Allah, tetapi kita harus menunaikan segala hak dengan penuh keseimbangan.

Keseimbangan yang dimaksudkan terkandung di dalam firman Allah di dalam Surah Al-Qasas, ayat ke-77:

وَابْتَغِ فِيمَا آَتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآَخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ
وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

“Carilah apa-apa yang Allah sediakan untukmu di akhirat, dan janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membuat kerosakan”.

Sebagai muslim, kita menjadikan dunia itu sebagai ladang menuju akhirat. Meskipun dunia itu melalaikan, bukanlah bererti kita menolak terus keduniaan, akan tetapi kita mengambil segala manfaatnya sebagai bekal bertemu Allah. Konsep inilah yang dinamakan zuhud. Imam Ahmad Ibn Hanbal ditanya, adakah seseorang itu boleh dikatakan zuhud sedangkan dia memiliki 1000 dinar? Beliau menjawab, benar dia boleh dikatakan zuhud apabila bertambah hartanya dia tidak gembira, dan apabila berkurang dia tidak bersedih. Nabi Sulaiman juga boleh dijadikan contoh mereka yang zuhud sekalipun memiliki kekayaan yang tidak mampu ditandingi orang lain.

Nabi Muhammad pernah memperakui di dalam sebuah hadis bahawa dunia itu memang nikmat yang menyeronokkan. Nabi bersabda dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Said Al-Khudri R.A:

إن الدنيا حلوة خضرة وإن الله مستخلفكم فيها فينظر كيف تعملون فاتقوا الدنيا واتقوا النساء
فإن أول فتنة بنى إسرائيل كانت في النساء

“Sesungguhnya dunia itu manis kehijauan (lazat seperti buah manis yang hijau), dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu khalifah di dunia ini maka Allah akan melihat apa yang kamu lakukan (ketaatan atau kemaksiatan), dan takutlah (akan fitnah) dunia, dan takutlah (akan fitnah) wanita, sesungguhnya fitnah yang mula-mula menimpa Bani Israel adalah pada wanita”.

Islam mengajar kita sifat tajarrud untuk berlepas diri dengan nikmat-nikmat godaan dunia. Tajarrud membawa erti bersih dan suci daripada dunia. Orang yang tajarrud daripada dunia ialah orang yang tidak melekat sedikit pun dunia padanya. Untuk tajarrud kita terlebih dahulu perlu mengenal pasti apa yang ingin kita tinggalkan, iaitu dunia dan segala yang ada padanya meliputi harta, pangkat, wanita dan takhta.

Demi memastikan hati kita tajarrud (bebas) daripada dunia, maka kita memerlukan perjuangan umpama rakyat sesuatu negara berjuang membebaskan negaranya daripada cengkaman musuh. Dengan bersenjatakan iman dan taqwa, mudah sahaja bagi kita menundukkan musuh kebendaan dan keduniaan itu. Namun ada satu syarat besar iaitu kehendak dalam diri yang kuat. Keazaman yang padu dan hati benar-benar kuat niatnya sahaja yang mampu melawan arus kuat gelombang dunia.

Firman Allah di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat ke-11:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu yang mengubah diri mereka sendiri”.

Dalam memastikan kejayaan dalam perjuangan tersebut, di sini perlunya peranan Al-Quran, kekhusyukan solat, pengharapan tinggi dalam berdoa dan tuntutan memperbanyakkan ibadah sunat untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Tanpa kita sedari, sebenarnya ramai umat Islam memilih jalan ber’uzlah’ untuk memastikan diri mereka tidak terjatuh ke dalam godaan dunia. Mereka mengasingkan diri daripada masyarakat untuk memberi perhatian kepada ibadah. Namun adakah ‘uzlah’ sedemikian yang diamalkan Nabi dan para sahabat? Memang benar Nabi beriktikaf di 10 malam terakhir bulan Ramadan dan bukankah masjid Nabi itu merupakan pusat aktiviti masyarakat ketika itu? Oleh itu ‘uzlah’ yang diajarkan di dalam Islam sebenarnya adalah ‘uzlah’ di dalam jiwa. Kita masih tetap bergaul dengan masyarakat tetapi hati kita bersih dan suci daripada dunia.

Pergaulan dengan masyarakat hukumnya wajib untuk menunaikan tuntutan amar makruf nahi mungkar. Siapa lagi yang akan membawa dakwah ke tengah-tengah masyarakat kalau bukan para daie?.

Begitulah bagaimana Islam mendidik umatnya dalam berhadapan dengan arus kebendaan yang melalaikan. Umat Islam diseru supaya kembali kepada Islam dan meneliti kehidupan para salafus soleh seterusnya menjadikan Islam sebagai manhaj hidup di zaman kebendaan di akhir zaman.


Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Blog: Perjalananku

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.