Apabila isteri Rasulullah saw, Aisyah ra dimarahi oleh bapanya, Abu Bakar As-Siddiq ra kerana menyebabkan kelewatan rombongan Sahabat ra pulang ke Madinah, tiada siapa menduga bahawa sebaliknya peristiwa itu adalah rahmat untuk umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Pada Abu Bakar ra, rombongan harus segera bergerak dan tiba di Madinah kerana waktu solat hampir tamat sedang mereka sudah ketiadaan air dalam perjalanan untuk berwudhuk. Tiba-tiba Allah swt menurunkan ayat Tayammum menyebabkan kita pada hari ini mempunyai pilihan yang sangat senang ketika ketiadaan air untuk berwudhuk. Terima kasih kepada Aisyah ra!
Apabila Aisyah ra merana dalam satu tempoh yang paling genting dalam hayatnya kerana dituduh berzina dengan Safwan bin Muattal ra, sedang dia adalah isteri kesayangan Rasulullah saw, tiada siapa menyangka bahawa kesabarannya sehingga turun ayat Disiplin Pertuduhan Zina/Liwat menjadi rahmat dan panduan umat Islam hingga ke Hari Kiamat dalam berdepan dengan pelbagai ragam dan senario sepak terajang politik lucah zaman berzaman selepas itu.
Kemudian dari petunjuk Ilahi berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulamak Kehakiman mengeluarkan usul terpenting dalam sebarang prosedur kehakiman iaitu “Al-Bayyinah ala Al-Mudda’iyy, wa Al-Yamin ala Man Ankara” (Pendakwa mesti mengemukakan bukti dan Yang didakwa yang tidak mengaku mesti bersumpah).
Sumpah laknat Syazryl di dalam ruang solat masjid ini termasuk dalam proses pendakwaan, kehakiman, pengumuman, pengakuan atau bab apa ?
Tanpa memanjang dan memperincikan kaedah Fiqh Janayat (fiqh jenayah dan kehakiman) di dalam Perundangan Islam, tindakan Syazryl Eskay, Rahim Tamby Chik dan Shuib Lazim yang mengemukakan Syazryl Eskay melakukan sumpah laknat di ruang solat Masjid Amru Al-As menimbulkan beberapa tanda tanya:
- Mereka yang menuduh Anwar Ibrahim disuruh oleh Syarak agar mengemukakan bukti 4 orang saksi yang melihat sendiri adegan tersebut dengan alat-alatnya sekali, bukan disuruh Syarak untuk bersumpah, sumpah laknat atau sumpah mubahalah. “Al-Bayyinah ala Al-Mudda’iyy” (Pendakwa mesti mengemukakan bukti), bukan sumpah!
- Terlebih dahulu dari itu yang akan menyuruh mereka mengemukakan bukti adalah hakim dalam proses kehakiman. Oleh itu sebelum apa perkara pun bermula, mereka hendaklah memulakan proses membuka fail pendakwaan di kamar kehakiman atau di pejabat mahkamah, bukan membuat tindakan sendiri di ruang solat masjid!
- Sebelum sebarang keputusan hakim, seseorang yang belum disabitkan kesalahannya adalah dipelihara namanya sehingga dia dibuktikan bersalah. Jika didapati bersalah barulah dia dihukum di khalayak ramai untuk menjadi pengajaran kepada umum. Akan tetapi perbuatan Syazryl Eskay adalah tidak melalui prosedur Kehakiman Islam kerana menarik pihak akhbar dan perhatian orang ramai terlebih dahulu sedang fail pendakwaan secara Islam (mengemukakan 4 orang saksi) belum pun dimulakan.
Islam sebagai agama yang real dan menyeluruh, sangat menitik beratkan prosedur dalam tiap sesuatu termasuk proses pengadilan. Oleh kerana itu walaupun Sayyidina Ali ra sangat pasti baju besinya dicuri oleh seorang Yahudi yang sedang dibicarakan, namun Sayyidina Ali ra telah kalah dalam kes tersebut setelah gagal menyahut permintaan hakim yang meminta beliau mengemukakan bukti.
Petunjuk Seerah dan sejarah yang jelas dan kaedah Syarak yang terang berada di tangan kaum muslimin, lebih-lebih lagi pada para alim ulamak, peguam syariyy, hakim dan mufti. Namun apa yang turut malang ialah sehingga ke hari ini hanya orang-orang politik dan akhbar yang berbicara. Para ahli agama diam seribu bahasa membiarkan rakyat awam tertanya dan meraba-raba. Kegigihan dan ketegasan ulamak tentang Hari Valentine belum berulang. Pada hari itu apabila para Mufti lantang mengharamkan Valentine Day, ramai para artis sendiri memberikan komen yang sama! Ia sungguh satu pencapaian yang tidak diduga!
Orang yang benar-benar mencari kebenaran akan berusaha dalam mahkamah dengan prosedur yang betul sehinggalah hakim yang arif lagi bijaksana mengeluarkan keputusannya yang adil. Adapun orang-orang yang mempunyai agenda terdesak tertentu akan membelakangkan prosedur Islam, menarik perhatian umum masyarakat yang kurang arif tentang agama dan meminta mereka sebagai pengundi supaya membuat keputusan dalam pilihanraya, di luar kamar mahkamah Islam! Teknik seperti ini banyak kali berjaya digunakan di negara-negara Barat yang rata-rata rakyatnya tidak mengamati peristiwa Aisyah ra yang merupakan petunjuk sepanjang zaman. Teknik ini juga boleh berjaya di negara-negara di mana rakyatnya boleh diperbodohkan dan mereka sendiri sibuk dan tenggelam dalam berbagai bentuk kealpaan, kejahilan dan maksiat.
Benarlah firman Allah swt bermaksud, “Maka Firaun memperbodohkan kaumnya lalu mereka mentaatinya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik” (Az-Zukhruf: 54). Segala teknik Firaun yang menyebabkan rakyat mentaatinya adalah terus menerus berjaya hanya kerana mereka rela diperbodohkan dan mereka juga tenggelam dalam segala bentuk kefasikan berupa kealpaan, jahil dan maksiat. Namun apabila datang Nabi Musa as dengan petunjuk Ilahi, segala perhambaan manusia terhadap manusia yang lain pastinya berakhir.
Semoga Allah swt mengembalikan umat ini kepada kefahaman, petunjuk dan penghayatan Islam yang hakiki dan sejati, menyelamatkan mereka dari sebarang bentuk penyelewengan dan agenda musuh-musuhNya. Ameen.
Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ketua Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku
0 komen:
Post a Comment