Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Saudara yang saya kasihi,
Tulisan ini saya tujukan khas buat saudara dan pembaca yang lain. Ia ditulis atas dasar nasihat kerana agama itu sendiri adalah nasihat. Walau pun sudah lama saya berfikir untuk menyampaikannya, hari ini baru hajat saya ini kesampaian. Saya juga teragak-agak adakah ini wasilah yang terbaik untuk saya sampaikan mesej saya ini. Tapi akhirnya ini jugalah wasilah yang saya pilih kerana sebahagian dari apa yang akan saya lontarkan kemungkinan berkait juga dengan ramai pembaca lain.
Saya jauh lebih tua dari saudara tetapi saya anggap tulisan ini sebagai nasihat dari seorang rakan kepada rakan yang dikasihinya. Saya menganggap saudara sebagai rakan dalam dakwah ini kerana melihat kesungguhan dan semangat dalam diri saudara. Kehidupan dan jadual harian saudara menjadi saksi apa yang saya katakan ini. Bagaimana cara saudara membelanjakan wang juga menguatkan telahan saya terhadap saudara. Moga-moga Allah menerima apa yang saudara lakukan. Saudara akan merentasi perjalanan yang panjang dan berdepan dengan pelbagai liku dalam perjuangan. Moga-moga tulisan ini diterima dengan hati yang terbuka dan dapat mengajak saudara untuk berfikir walau pun sejenak. Anggaplah tulisan ini sebagai waqfah Ibrahim buat saudara (berdiri Nabi Ibrahim a.s. sejenak untuk melihat ka’bah dari jauh dan menilai binaan ka’bah yang sudah dibina sebahagiannya adakah tepat dan akan sempurna mengikuti plan asal atau tidak).
Saudara yang saya hormati,
Potensi yang Allah berikan kepada manusia tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Setiap potensi itu akan memudahkan seseorang untuk mencapai tugas yang dia dicipta untuk itu. “Setiap orang akan dipermudahkan untuk tujuan penciptaannya.” Kepelbagaian potensi manusia ini juga antara lain yang menjadi rahsia kepentingan amal jamaie. Setiap potensi akan melengkap dan menyempurnakan yang lain. Dengan itu sahajalah dakwah akan berjaya, kerana dakwah tidak mampu maju dengan satu jenis potensi dan satu atau dua jenis bakat sahaja. Inilah punca kenapa dakwah yang dilakukan secara ‘solo’ tidak akan bertahan lama. Samada dia akan mati bersama keletihan pendakwahnya atau mati kerana kekurangan modalnya.
Saudara yang saya kasihi,
Saudara telah memilih untuk terlibat di dalam amal jamaie. Tahniah saya ucapkan kepada saudara. Memilih untuk melakukan dakwah secara jamaie adalah pilihan yang amat tepat dan berani. Tepat kerana itulah sebenarnya apa yang ditunjukkan kepada kita oleh pejuang-pejuang Islam sebelum ini. Ia adalah sunnah para Rasul. Berani kerana pemilihan itu akan menjebakkan saudara dalam pelbagai masalah yang tidak akan saudara hadapi kalau saudara berdakwah secara persendirian.
Saudara yang saya kasihi,
Amal jamaie bukan sekadar perkumpulan yang menghimpunkan pendakwah-pendakwah. Sebaliknya ia adalah penyatuan dan penyusunan semula tenaga saudara dan tenaga pendakwah-pendakwah yang lain ke arah satu matlamat yang disepakati bersama dengan menggunakan wasilah dan peraturan tertentu. Alangkah besarnya matlamat dakwah ini untuk kita tanggung sendirian. Alangkah perlunya tenaga disusun sebaiknya agar matlamat itu benar-benar mampu kita kejar. Alangkah perlunya perbincangan sesama kita untuk mengeluarkan kita dari tenggelam melayan ‘hobi dakwah’ kepada melaksanakan projek dakwah berdasarkan objektif dakwah itu sendiri.
Ia juga bukan kelab untuk saudara mendapat kerehatan dan perlindungan. Sebaliknya ia adalah medan untuk saudara bekerja yang pastinya akan mendedahkan diri saudara kepada bahaya dan ancaman luar. Melibatkan diri dengan amal jamaie perlu saudara lengkapkan dengan kesediaan jiwa dan mental untuk menanggung risiko; apa juga jenis risiko. Allah akan menguji saudara dengan ujian yang kecil sebagai persediaan untuk menanggung ujian yang lebih besar di hari kemudian. Jangan ambil sikap mudah lari dari ujian itu kerana itu tidak akan mendidik saudara untuk menghadapi ujian yang lebih besar 10 tahun akan datang. Hadapilah ujian dengan bijak dan jangan sekali-kali menafikan kewujudannya. Tidaklah kemahiran dakwah itu selain dari kemahiran menyelesaikan ujian yang datang kepada kita.
Ia bukan ruang untuk saudara melepaskan rindu dendam kepada rakan-rakan. Sebaliknya ia adalah ruang untuk saudara dan pendakwah-pendakwah lain saling memberikan nasihat dan teguran terhadap kewajipan-kewajipan dakwah yang belum terlaksana. Dua sikap asas dalam syura yang sering pendakwah abaikan. Harapnya saudara tidak menjejaki pendakwah lain yang mengabaikan dua sikap ini iaitu sikap memberikan pandangan dan sikap menerima nasihat. Tidak mungkin apa yang saudara lakukan tidak ada salah silapnya. Tidak mungkin apa yang saudara usahakan sekarang tidak ada usaha yang lebih utama daripadanya. Saudara perlu berani mempertahankan apa yang saudara lakukan. Tetapi di masa yang sama saudara perlu bersedia untuk menerima pandangan pendakwah lain. Budaya nasihat dan menegur itulah yang akan memantapkan amal saudara. Saudara akan makin matang dan langkah dakwah saudara akan makin mantap jika saudara bersedia untuk menghidupkan budaya ini dengan sebaiknya.
Ia bukan batu loncatan untuk satu fasa dalam kehidupan saudara. Sebaliknya ia adalah hidup mati saudara bersama perjuangan dakwah dari awal hingga ke akhirnya. Bersama di dalam suka dan bersama di dalam duka. Bukan seumpama universiti yang akan ditinggalkan lalu saudara membawa nama universiti itu di dalam diri saudara untuk membina peribadi saudara yang baru. Sebaliknya saudara akan sentiasa bersamanya dan ia akan berkembang dengan diri saudara. Dengan itu kesetiaan amat-amat diperlukan di dalam amal jamaie.
Saudara yang saya hormati,
Di antara fasa penting di dalam dakwah secara amal jamaie adalah membina organisasi dakwah itu sendiri. Kita terpaksa melabur banyak untuk itu. Masa dan tenaga perlu dicurahkan untuk itu kerana itulah yang akan menjamin kemampuan kita untuk menghasilkan kejayaan dalam projek-projek dakwah.
Musuh bergerak secara tersusun dalam organisasi mereka yang mantap. Mereka ada budaya pengurusan mereka sendiri. Mereka ada perjanjian sesama mereka. Mereka mampu menjelmakan idea mereka dalam gerakerja berpasukan. Mereka berjaya menggunakan seluruh sumber yang mereka miliki dengan sebaiknya. Mereka merancang dan menurunkan perancangan kepada semua dalam juzu’-juzu’ perlaksanaan. Setiap yang terlibat akan memainkan peranan yang walau pun mungkin nampak kecil tetapi ia adalah penyempurna kepada satu perancangan yang besar.
Saya tidak rasa bahawa saudara akan susah untuk memahaminya kerana saudara bekerja di sebuah syarikat besar di Malaysia. Kejayaan syarikat saudara tidak lain kerana kejayaan mereka melahirkan impian yang besar dalam bentuk gerakerja berpasukan. Mereka berjaya membentuk organisasi kerja yang kuat dan kukuh. Ada peraturan yang dihormati semua. Ada jadual berkala untuk mesyuarat. Ada keputusan yang akan dilaksanakan dan ada mekanisme penurunan keputusan dan polisi dalam bentuk projek. Ada juga budaya yang dirasai oleh semua dan semua cuba untuk menyesuaikan budaya tersebut dalam dirinya supaya dia dirasai sebagai sebahagian dari syarikat. Fokus kepada satu agenda cukup dirasai oleh sesiapa sahaja.
Saudara, percayalah bahawa apa yang perlu di marhalah ini juga adalah perkara yang sama; membina organisasi yang kuat itu tadi. Saya yakin saudara mengimani idea yang saya lontarkan ini. Saya juga yakin bahawa saudara juga mengimpikan apa yang saya impikan. Perbezaan di antara kita mungkin pada skala kekuatan organisasi yang ingin kita lahirkan.
Saudara mungkin akan rasa gembira dengan kejayaan saudara melahirkan semangat pada pendakwah-pendakwah baru di bawah lapis saudara. Saudara juga mungkin akan cukup puas hati dengan satu senarai aktiviti-aktiviti dakwah yang telah berjaya saudara lakukan dan yang akan saudara lakukan untuk sepanjang tahun ini. Saudara juga akan berasa maju ke depan kerana saudara diberi kepercayaan untuk menyusun susunan organisasi mengikut apa yang saudara rasa dan memimpin beberapa pendakwah yang jauh lebih berumur dari saudara. Tetapi adakah saudara yakin bahawa saudara akan berjaya membina organisasi yang kuat dengan ini semua?
Mewujudkan asas fikri kepada organisasi satu cabaran kepada kita semua. Organisasi yang kuat mempunyai asas fikri yang kuat. Memahami Islam dari sumbernya adalah asas kerana asas kepada fikrah kita adalah ajaran Islam itu sendiri. Memahami sirah Rasulullah s.a.w. dan mengambil pengalaman dari harakah-harakah Islam yang terdahulu membantu untuk membina asas fikri. Kajian untuk memahami dan menafsirkan realiti umat juga akan menentukan bentuk fikrah organisasi yang kita bina. Bagaimana organisasi yang kuat itu dapat dilahirkan jika ia tidak memahami semua ini?
Menurunkan fikrah dan idea kepada projek-projek dakwah satu lagi cabaran kepada organisasi yang kita ingin bina itu. Berfikir itu satu kepayahan. Menukarkan idea kepada amali yang akan mendatangkan hasil lebih susah berkali ganda. Projek dakwah mestilah sesuatu yang menyentuh masalah umat dan menyelesaikannya. Bukan satu kitaran yang kebiasaannya dilakukan oleh sebahagian; berfikir, melontarkan idea, diterima idea tersebut, disebarkan, difikirkan oleh orang lain, dilontarkan, diterima oleh orang lain dan disebarkan dan terus disebarkan. Usaha seumpama itu tidak akan lebih dari meluaskan daerah perkongsian idea dan fikrah tetapi tidak sama sekali akan menyentuh umat yang berdepan dengan masalah kejahilan, hiburan yang melampau, kekayaan yang tidak diagihkan dengan adil, masalah sosial dan sebagainya. Dapatkah saudara memahami jauhnya jarak di antara idea dan projek dakwah tersebut?
Membina pekerja untuk projek dakwah itu lebih sukar lagi. Saudara mungkin akan rasa mudah melakukan aktiviti tajmik. Tetapi cabaran yang saudara akan benar-benar hadapi adalah kemampuan saudara melibatkan seorang demi seorang yang saudara tajmik ke dalam projek-projek dakwah dalam bentuk kerja organisasi. Mentajmik mesti disusuli dengan menyusun tenaga. Tenaga yang tidak disusun akan ditimpa penyakit jemu dan akhirnya akan meninggalkan saudara. Ini adalah apa yang saya dapat simpulkan hasil daripada apa yang saya lihat berlaku kepada beberapa orang rakan pendakwah yang tidak berjaya melibatkan pendakwah yang dikumpulkannya di dalam projek-projek dakwah.
Menjaga stamina pendakwah satu lagi cabaran bagi organisasi dakwah. Dunia menarik pendakwah sama seperti mana dia menarik manusia lain. Masalah menimpa pendakwah juga sama seperti ia menimpa orang lain. Pendakwah dalam organisasi yang mantap mana sekali pun akan terdedah dengan pelbagai kerenah dan masalah kerana dia adalah manusia. Organisasi yang mantap bijak untuk membelai dan menyergah ahlinya. Yang lemah mampu dikuatkan. Yang penakut akan menjadi berani. Yang jatuh, mampu untuk dipimpin. Saya pernah bertemu dengan seorang pendakwah dari luar negara. Beliau menguruskan satu organisasi dakwah yang hebat menghasilkan produk-produk dakwah di dalam masyarakat setempatnya. Saya bertanya kepadanya perkara yang paling susah yang beliau hadapi dalam pengurusan organisasi dakwah. Percayalah saudara, beliau menjawab: “Menguruskan manusia.”
Saudara yang saya kasihi,
Inilah organisasi dakwah dalam pemikiran saya. Tanpanya kita akan berpusing pada putaran yang sama untuk selama-lamanya. Atau pun kita akan keletihan berlari di atas kapal yang tidak bergerak. Organisasi ini akan sentiasa berkembang berdasarkan fasa dan tuntutan semasa dan kita perlu mengembangkannya. Itu yang akan menjadikannya terus relevan untuk wujud.
Adakah saudara bersetuju dengan tasawwur saya terhadap organisasi dakwah ini?
Saudara yang saya hormati,
Satu lagi perkara yang suka saya kongsikan dengan saudara di sini adalah peningkatan diri kita sendiri di dalam kefahaman dan amal dakwah. Dahulu saudara ditarbiah dan saya masih lagi ingat peringkat awal saudara terlibat dengan aktiviti tarbiah. Kefahaman saudara meningkat dan amal saudara juga bertambah baik. Kemahiran dakwah fardiah dan kemahiran mentarbiah saudara pelajari dan berhasil menjadi sifat dan kemahiran saudara. Saudara sememangnya mempunyai potensi besar di dalam dakwah. Kemahiran-kemahiran yang sukar untuk difahami oleh pendakwah lain mampu saudara fahami dengan baik. Persoalan-persoalan yang saudara sentiasa ajukan juga menunjukkan kematangan saudara di dalam perkara tersebut. Tetapi saudara, ilmu dakwah tidak terhad setakat itu sahaja. Banyak lagi ilmu tentang dakwah yang perlu saudara pelajari.
Saya mempunyai pengalaman yang hampir sama dengan saudara ketika mana saya mula-mula menjejakkan kaki ke tanahair. Ilmu yang didapati dari luar negara selama hampir lapan tahun rupa-rupanya cuma cukup untuk melakukan perkara-perkara asas dalam amal dakwah sahaja. Dengan tidak terbukanya peluang untuk saya menambah ilmu dakwah di tanah air pada masa itu, saya rasa cukup kerdil untuk menanggung beban dakwah di tanah air.
Keadaan sudah berubah sekarang. Saudara mempunyai peluang untuk mempelajari apa yang sepatutnya disambung pembelajarannya. Jangan sesekali lepaskan peluang kerana peluang tidak akan datang banyak kali. Dakwah fardiah dan tarbiah saudara fahami dengan ilmu, amal, bengkel, teguran, perkongsian pengalaman, kes-kes yang dikendalikan dan sebagainya. Maka begitulah juga dengan ilmu-ilmu dakwah yang lain. Ia akan melalui proses yang sama. Bacaan hanya salah satu wasilahnya. Mencuba sendiri tanpa ilmu asas berkenaannya; tidaklah diperlukan kecuali jika memang kita tiada pembimbing.
Saudara yang dikasihi,
Panjang sudah celoteh saya pada saudara. Moga ia tidak menjemukan dan saudara tidak keberatan untuk membacanya berkali-kali. Saya juga amat-amat mengharapkan saudara memberikan nasihat dan teguran kepada saya dalam apa-apa juga isu dakwah. Kita semua berhajat kepada nasihat dan perkongsian.
Moga Allah menerima amal yang kita lakukan.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian
0 komen:
Post a Comment