SHEFFIELD – “Perjuangan mesti diteruskan di dalam apa jua keadaan,” begitu kata-kata Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin, perunding Aman Palestin semasa Program Road Show Palestin yang bertemakan Mencari Jiwa Sehebat Salahuddin (Searching for Salahuddin: SOS) di sini.
Sambil menyifatkan peserta program RSP tersebut sebagai pemuda perubahan, beliau turut menyatakan bahawa pemuda hari ini sebagai pemimpin masa depan.
Pembentangan tiga sesi, masing-masing bertajuk “Palestin dari Perspektif Sejarah, al Quran dan Hadith”, “Rahsia al Aqsa” dan “Intifadhah Palestin – Merintis Generasi Solahuddin” bertujuan untuk menanam kesedaran tentang kepentingan isu Palestin di samping mengumpulkan sumbangan untuk dihulurkan kepada warga Palestin. Selain itu, Ikrar Solidariti Mari Bantu Palestin yang dibacakan secara bersama menjadi bukti bahawa pengisian yang mereka perolehi melalui program ini berjaya menyalakan semangat Palestin dalam diri mereka.
Salah seorang peserta Road Show Palestin Sheffield ini pula, Arif Atiq Suzaili berpendapat bahawa program ini sangat menarik dengan penampilan Dr Zainur Rashid yang kaya dengan pengalaman kemanusiaannya di Palestin dan juga sebagai seorang doktor, menjadikannya pengisiannya bermakna dan mudah difahami. Baginya, sangat menarik jika pengalaman tersebut dapat dikongsi dengan lebih ramai lagi warga Sheffield di sini.
Pengarah Program, Faqih Aqili menyifatkan program ini sebagai sebuah kejayaan terutamanya dengan kutipan sebanyak GBP 886.51 di Sheffield sahaja, suatu jumlah yang melepasi sasaran awal yang ditetapkan. Namun baginya, yang tidak kurang penting ialah kesedaran untuk terlibat bersama-sama dalam perjuangan membebaskan Palestin sama ada dalam bentuk wang, masa atau tenaga. Kutipan tersebut akan disalurkan sepenuhnya kepada Aman Palestin Malaysia Berhad.
Antara acara menarik yang berlangsung sepanjang program sehari ini ialah lelongan barang kenang-kenangan Palestin iaitu bingkai bergambar Masjid al Aqsa. Acara ini menyaksikan bidaan rancak bermula GBP 15, dan dicabar berulang-ulang kali selama kira-kira 5 minit. Lelongan ini ditutup dengan harga yang amat memberangsangkan iaitu GBP 150.
Siri Road Show Palestin di Sheffield ini merupakan persinggahan keempat daripada keseluruhan lapan tempat selepas Ireland, Czech dan Newcastle. Dr Zainurrashid kemudiannya meneruskan misi mencari Salahuddin al Ayyubi di London, Cardiff, Oxford dan Germany. Road Show ini dianjurkan oleh Aman Palestin Eropah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Eropah, Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) dengan kerjasama badan pelajar dan masyarakat Malaysia setempat.
Sumber: Laman Web ISMA Eropah
0 komen:
Post a Comment