Kehidupan kita secara beransur-ansur akan berubah. Masuk ke alam kerjaya. Ada keluarga dan anak-anak. Kenalan semakin meluas dan pelbagai ragamnya. Keperluan kewangan semakin meningkat. Tanggungjawab semakin berat. Semua pihak mula menuntut sesuatu dari kita; dari ibu bapa,anak-anak, suami atau isteri, majikan, rakan-rakan, kenalan dan sebagainya. Usia pula semakin menua, sekali gus menjadikan jasad tidak selincah dulu.
Ujian dan Tekanan Sunnah Kehidupan
Hari-hari yang dilalui diharapkan semakin mudah, tetapi rupa-rupanya ia tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya kita semakin susah. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan ini yang menguji dan menambah tekanan.
Sebelum ini kita mungkin tertekan dengan study dan exam. Rupa-rupanya alam kerjaya tanpa study dan exam jauh lebih berat dan lebih mencabar.
Sebelum ini kita mungkin tertekan kerana hidup seorang diri tanpa pasangan hidup. Rupa-rupanya alam rumahtangga menyelesaikan sebahagian masalah tetapi mengundang masalah lain yang lebih besar.
Semasa bergaji kecil, kita berasa tertekan lalu berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih besar. Dapat pendapatan besar, lain pula bentuk tekanannya.
Inilah hakikat kehidupan. Kehidupan di dunia adalah ujian dan tekanan. Inilah kenyataan yang perlu diterima sebaiknya.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).” (Al-Balad: 4)
Al-Hasan menafsirkan kesulitan dan kesukaran itu:
“Kerana manusia akan menghadapi musibah di dunia dan kesulitan di akhirat.”
Hadapi dan Tinggikan Martabatmu di Sisi Allah
Kita berada di alamNya. Kepatuhan kepada Allah bererti kita mesti menerima peraturanNya.
“Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)
Imam al-Mawardi menafsirkan ‘siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya’ sebagai:
‘siapakah di kalangan kamu yang lebih redha terhadap ketentuan Allah dan lebih sabar terhadap ujianNya’.
Jangan sesekali menyalahkan takdir. Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia.
“dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (Fussilat: 46)
Yakinlah bahawa segala yang berlaku adalah dengan takdir Allah. Allah mengkehendaki berlakunya kepayahan dan kesusahan di dalam hidup. Semua itu untuk mengangkat martabat manusia. Lebih tabah kita menghadapinya, lebih tinggi martabat kita di sisi Allah.
Kehidupan generasi awal membuktikan hakikat ini. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam kehidupan.
Saidina Osman r.a. diuji dengan kematian satu demi satu isterinya (kedua-duanya adalah anak Rasulullah s.a.w.). Rasulullah s.a.w. memujuknya ketika beliau berada di kemuncak kesedihan pulang dari majlis pengkebumian: “Jika aku mempunyai yang ketiga (anak perempuan lain yang masih belum berkahwin) akan ku kahwini denganmu.” Tetapi Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi anak perempuan lain dan Saidina Osman r.a. tabah menerima hakikat itu.
Saidina Omar r.a. diuji dengan kemarau dan wabak penyakit yang menimpa negara Islam selama bertahun-tahun. Kulit Saidina Omar r.a. yang asalnya berwarna putih kemerah-merahan bertukar gelap disebabkan kekurangan makan dan minum. Umat Islam ketika itu menangisi keadaan dan kesulitan yang dihadapi oleh Khalifah mereka tetapi Saidina Omar r.a. terus bertekad untuk menjadi manusia yang paling sedikit makan dan minum di kalangan umat Islam sepanjang krisis ini berlaku.
Kenapakah manusia yang berjasa kepada umat Islam juga diuji dengan ujian hidup? Kerana kecintaan Allah kepada mereka. Mereka menghadapi semua itu dengan tabah lalu Allah mengangkat martabat mereka di sisiNya. Kemudian mereka diuji lagi dengan ujian yang lebih besar, mereka menghadapinya dan martabat mereka akan semakin tinggi. Demikian pusingan kehidupan.
Begitulah Kita
Hadapilah ujian hari ini dengan tabah. Bersedialah untuk ujian seterusnya yang lebih besar. Jadilah orang yang kuat untuk menghabiskan saki baki kehidupan. Moga Allah menempatkan kita di kedudukan yang tinggi di akhirat kelak.
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog : Satu Perkongsian
0 komen:
Post a Comment