.

Thursday 12 May 2011

Sumpah, Zina dan Qazaf

Dengan hebohnya isu video seks, sekarang sudah semakin ramai yang bercakap tentang sumpah, zina dan qazaf. Saya nak kongsikan sedikit panduan tentang isu ini, berkebetulan kerana saya menyentuh sedikit isu-isu tersebut malam tadi di surau.

Saya menyampaikan kuliah Maghrib di SS 7, Bandar Baru Bangi malam tadi. Topik yang saya bentangkan adalah berkenaan qaedah fiqh yang berbunyi ‘al-Masyaqqah tajlibu at-taisir’ bermaksud ‘kepayahan akan membawa kepada keringanan hukum’. Salah satu dari kepayahan yang membawa kepada keringanan itu adalah ‘paksaan’. Bila seseorang dipaksa melakukan jenayah, dia akan diringankan dari beberapa hukum mengikut kategori jenayah dan bentuk paksaan tersebut. Paksaan terhadap zina mempunyai sedikit kelainan; jika dia dipaksa sehingga hilang upaya secara mutlak (seperti diikat, sudah tidak ada langsung tenaga untuk melawan dan lari atau seumpamanya), maka dia tidak berdosa dan tidak akan dikenakan hukuman hudud. Tetapi jika dia dipaksa tetapi masih tidak hilang upaya secara mutlak, maka dia tetap berdosa walaupun akan dikecualikan dari hudud. Lebih afdhal baginya untuk mati terbunuh ketika mempertahankan kesucian diri daripada membiarkan dirinya dirogol.

Kenapa zina begitu kelainan hukumnya? Pertama kerana ia melibatkan maruah seseorang dan maruah anak yang akan lahir hasil jenayah tersebut. Kedua kerana ia akan melibatkan permasalahan nasab keturunan dan warisan.

Berbalik kepada tajuk di atas:

1. Jenayah zina mempunyai beberapa keunikan seperti persaksiannya mesti dilakukan oleh empat orang lelaki yang adil dan menyaksikan jenayah tersebut dengan jelas. Suatu yang tidak akan berlaku kecuali jika empat orang saksi tersebut diikat dan pelaku zina tersebut melakukannya secara terang-terangan di hadapan mereka… atau dalam keadaan yang seumpama itu.

2. Bagaimana pula ujian DNA, bukti video dan seumpamanya? Ia tidak boleh digunakan kerana banyak keraguan dan hudud akan gugur apabila timbul keraguan.

3. Hanya ada satu keadaan sahaja seseorang itu tidak perlu mendatangkan empat orang saksi; iaitu bagi suami yang menuduh isterinya berzina atau isteri yang menuduh suaminya berzina. Dia dibenarkan bersumpah laknat (li’an). Apabila suami bersumpah lima kali menuduh isterinya berzina maka thabitlah hukum hudud ke atas isterinya. Si isteri boleh lepas dari hudud apabila dia pula bersumpah lima kali pula. Jika dia tidak mahu bersumpah, maka dia dikira salah dan akan dikenakan hudud. Jika dia bersumpah, dia terlepas dari hudud dan kedua-dua suami isteri tadi akan diceraikan untuk selama-lamanya.

4. Perlukah orang yang dituduh bersumpah? Untuk moral, dia boleh bersumpah jika dia mahu. Tapi sumpah itu tidak ada apa-apa implikasi perundangan. Maknanya kalau bukti dah cukup, dia bersumpah pun tak kan lepas dari kesalahan. Kalau bukti tak cukup, dia tak bersumpah pun dia tidak akan dikira bersalah.

5. Ada ulamak yang membincangkan tentang ‘keengganan bersumpah’ sebagai bukti bahawa dia bersalah. Ini adalah isu khilaf. Walaupun begitu bagi ulamak yang mengatakan bahawa ‘keengganan bersumpah’ adalah bukti bahawa dia bersalah mereka berpendapat bahawa ‘keengganan bersumpah’ itu hanya akan dikira selepas proses pembuktian oleh pendakwa, proses meragukan bukti oleh orang yang didakwa. Bila dah selesai dan didapati bukti tidak cukup, bolehlah pergi kepada proses paksa tertuduh bersumpah. Jika dia bersumpah, dia akan terlepas dari tuduhan. Jika dia enggan, dia dikira bersalah.

6. Jika seseorang menuduh seseorang yang lain berzina, tetapi tidak cukup empat orang saksi, maka dia dikira melakukan jenayah qazaf.  Jenayah qazaf termasuk di dalam dosa besar dan akan dikenakan sebat sebanyak 80 kali.

Sekadar perkongsian.


Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden II,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Satu Perkongsian

2 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.