.

Thursday 26 May 2011

Peranan Syiah dalam kebangkitan di Bahrain

Keadaan di Bahrain semakin panas. Protes anti-kerajaan mewarnai bandar-bandar utama Bahrain. Terbaru, 9 anggota polis cedera teruk akibat dirempuh oleh kereta yang dipandu laju oleh penunjuk perasaan. Di mahkamah pula hakim telah menjatuhkan hukuman mati kepada empat penunjuk perasaan dan hukuman penjara kepada tiga yang lain atas kesalahan membunuh 2 anggota polis.

Protes bermula sejak 14 Februari. Ketika itu, negara-negara Arab lain turut dilanda masalah yang sama. Sejak pertengahan Mac lalu, kerajaan telah mengisytiharkan undang-undang darurat bagi membanteras perjuangan anti-kerajaan.

Bahrain dihuni oleh dua puak besar iaitu Sunni dan Syiah. Mengikut statistik yang dikeluarkan akhbar Al-Wasat, jumlah penduduk Bahrain adalah seramai 1.23 juta orang, 0.58 juta adalah rakyat asal manakala 0.66 juta adalah pendatang asing.

Menurut sumber yang sama, sebanyak 38% adalah Syiah, 58% adalah Sunni dan baki 4% adalah agama-agama lain. Walau bagaimanapun, sumber Syiah melaporkan bahawa bilangan mereka di Bahrain mencecah sehingga 70% daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Mereka mengambil kesempatan daripada angin perubahan yang berlaku di Tunisia dan Mesir dan negara-negara Arab yang lain untuk tidak ketinggalan dalam membuat pembaharuan. Mereka menuntut kerajaan monarki itu jatuh dan digantikan dengan kerajaan baru. Kerajaan sekarang dituduh berat sebelah dan tidak menyebelahi puak Syiah.

Mereka mahu polisi neutralisasi yang dianjurkan kerajaan dihentikan. Polisi itu diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengimbang peratus majoriti masyarakat Syiah. Ramai pekerja asing didakwa diberi kerakyatan mudah bagi tujuan itu.

Perjuangan rakyat di Bahrain tidak boleh dilihat dari aspek perjuangan rakyat semata-mata bahkan di sana terdapat unsur perjuangan mazhab. Daripada laporan-laporan yang disiarkan, unsur Syiah merupakan pihak utama dan terpenting.

Syiah mempunyai sebuah parti sebagai pentas mereka beraksi.  Parti Al-Wefaq telah mendapat 18 kerusi di dalam parlimen negara itu yang berjumlah 40 kerusi pada pilihanraya 2006.  Parti itu merupakan parti pembangkang terbesar.

Parti Al-Wefaq terus memprotes kerajaan dan mengemukakan pelbagai tuntutan. Mereka menuntut keadilan, kebebasan dan pembelaan hak asasi manusia dan menuntut kerosakan dihentikan selain menentang polisi neutralisasi kerajaan.

Asalnya parti itu bermula dengan penubuhan Parti Dakwah di Najaf, Iraq dan ditubuhkan cawangannya di Bahrain. Kemudian ditubuhkan pula harakah Ahrar Bahrain yang berpusat di London. Pada 2002, parti Al-Wefaq secara rasmi ditubuhkan demi meneruskan misi Parti Dakwah sebelum ini dan gerakan Ahrar Bahrain.

Dengan itu, tidak dapat dinafikan penglibatan secara langsung Syiah di dalam kebangkitan rakyat di Bahrain. Kerajaan Bahrain dalam kenyataannya baru-baru ini telah menuduh Hizbullah dan Iran terlibat memberi sumbangan, latihan dan sokongan kepada parti Al-Wefaq yang akhirnya menimbulkan keadaan huru-hara yang berterusan sehingga sekarang.

Al-Wefaq walaubagaimanapun menafikannya dan mengatakan perjuangannya sudah bermula sejak dahulu lagi dan perjuangan ini didasari perjuangan kebangkitan rakyat Bahrain sendiri tanpa jolokan atau bantuan luar.
Kekacauan dalaman negara telah menyebabkan Bahrain meminta bantuan luar bagi menangani masalah tersebut. Arab Saudi tanpa berlengah lagi menyahut seruan itu dan telah menghantar seramai 3500 orang tenteranya pada bulan Mac.

Iran yang 80% rakyatnya Syiah tidak berpuas hati dengan tindakan Arab Saudi. Mereka membantah. Dalam pada itu, 700 rakyat Iran berdemontrasi di hadapan pejabat kedutaan Saudi di Iran. Jika Saudi tidak menarik balik tenteranya, tidak mustahil akan ramai lagi akan berhimpun membuat bantahan.

Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki bersetuju dengan perjuangan rakyat Bahrain. Kata beliau, mereka mempunyai hak untuk bebas daripada keganasan dan cengkaman tirani. Nouri Al-Maliki adalah seorang Syiah dan juga merupakan pimpinan Parti Dakwah Iraq, parti asal Parti Al-Wefaq.

Pendirian Iran dan Iraq yang sedemikian berpunca daripada sentimen mazhab Syiah yang tinggi. Hubungan yang rapat di antara puak Syiah tidak dapat menafikan wujudnya pengaruh dan peranan besar aliran Syiah sekalipun berlainan negara.

Kesimpulannya, Syiah mempunyai peranan besar terhadap apa yang berlaku di Bahrain. Tidak hairan jika Syeikh Yusuf Al-Qardawi berkata tidak akan berlaku revolusi kerajaan di Bahrain, namun apa yang akan berlaku adalah revolusi mazhab.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.