.

Monday 4 April 2011

Hakikat Keperluan dan Kehendak


SITUASI PERTAMA :
“Jak camne malam ni jadi tak ? perlawanan penting ni, mesti tengok, hidup mati ni…”, bersungguh Faizal mengajak Razak menonton perlawanan Piala Dunia di antara Itali menentang Perancis.

” Tak boleh la Jal, kan Huzaifah ajak kita pergi wida’ dia malam ni ??”(majlis untuk sambutan pulang ke Malaysia)
“Kau pergi tak ??”, soal Razak mendapatkan kepastian.
“Tak kut “, jawab faizal selamba tanpa sebarang rasa bersalah, memberikan tanda kepada Razak dia akan berseorangan menghadiri majlis tersebut.
SITUASI KEDUA  :
Sedang asyik sang hero beraksi menentang musuhnya di skrin kaca komputer Firdaos, terdengar laungan As-solatu Khairun Minannaumm, tanda azan subuh akan berkumandang lagi 10 hingga 15 minit di kawasan Siberbay, salah satu perkampungan di Tanta.
“Mak aih, dah nak subuh ke ? waktu-waktu ni lah mata nak mengantuk pun …baring kejap lah”, kata Akmal kepada Firdaos yang sudah sangat sinonim dengan gelagat rakan kuliahnya itu apabila menonton movie hingga lewat malam.
Lalu azan subuh bersama jemaahnya pun berlalu meninggalkan mereka yang terlena sehingga terbitnya fajar.
Pernahkah situasi tersebut berlaku pada diri kita ?? Atau adakah ia kerapkali berlaku ?? Atau berlaku perkara seumpamanya ??
DUA HAKIKAT
Bayangkan kita berada dalam satu majlis ilmu atau duduk-duduk bersama orang yang soleh lalu diajukan soalan berkenaan kedua-dua situasi tersebut atau yang seumpamanya.
Pastinya kita akan menjawab : “Eh tak patut .. kena utamakan solat jemaah di masjid” atau “Mesti la kena ziarah kawan tu..”.
Walupun pada hakikatnya yang berlaku adalah sebaliknya. Kemudian kita pulang ke rumah dengan meninggalkan jawapan itu di ruangan rakan-rakan yang mendengar dan benak pemikiran kita. Mungkin juga ianya akan memberi kesan kepada kita dalam satu jangka masa yang singkat dan hilang dari ingatan dan amal kita begitu sahaja kerana disibukkan dengan aktiviti harian dan tempias dari persekitaran sekeliling.
Apa yang berlaku adalah kerana kita belum sedar akan hakikat sebenar apakah yang diertikatakan sebagai Al-Amal Al-Afdhol ataupun amal yang lebih utama, namun kerana pertembungan di antara dua perkara yang penting ‘ dalam diri kita’ membuatkan kita keliru yang mana patut diutamakan dan yang mana harus dikemudiankan.
Oleh kerana itulah kita harus mencari titk perbezaan diantara dua kepentingan ini yang mana salah satunya harus kita jadikan sebagai keperluan atau perkara yang amat kita perlukan dalam kehidupan, dan yang dikemudiankan sebagai keinginan (yang tidak mencapai hukum dhoruri).
Bagaimana mengenali keperluan dan kehendak ?
1) Al-‘Atifah Al-Imaniah (Perasaan yang beriman)
Islam itu datang dalam keadaan sejahtera, mengandungi isi yang selamat dan sejahtera lalu dengan itu Islam inginkan  semua penganutnya dalam kedaan yang aman, selamat dan sejahtera samada di dunia mahupun akhirat.
Allah SWT telah meletakkan ghayah ataupun matlamat dalam mencapai apa yang dikehendaki Islam, iaitu diri-Nya sendiri iaitu Allah. Ia  memberikan maksud semua pekerjaan bermatlamatkan Allah SWT semata-mata.
Apa pula yang dimaksudkan denagan atifah imaniah ?
‘Atifah itu merujuk kepada sentimen, emosi, keghairahan dan kasih sayang ataupun dalam ertikata lain a`tifah imaniah itu adalah perasaan yang dipenuhi iman.
Sheikh Al-Ghazali r.hm bagi membayangkan keghairahan iman atau getaran iman seseorang itu telah berkata : “Sesungguhnya ia membuka hati yang terkunci, meluaskan pengharapannya dan akan timbul kasih sayang pada segenap kehidupannya dengan Tuhannya  dan kesan dari itu dia akan merasa asyik untuk mlakukan kebaikan dan membenci kefasadan, mengerjakan seluruh perkara yang membawa kebaikan dan meninggalkan keburukan.
Maka ‘keghairahan iman’ ini akan melahirkan seorang hamba yang melakukan seluruh perintah Tuhannya dengan penuh rasa kasih terhadap-Nya dan penuh pengharapan., tanpa sedikitpun merasakan ianya adalah suruhan yang tidak bernyawa dan hukum-hukum Tuhannya adalah hukum yang kering (tanpa perlunya kesedaran jiwa dalam taat).
Maka dengan dengan merasa nikmat untuk melakukan suruhan atau melaksanakan hukum samada ianya harus (yang afdal) atau sunat ataupun wajib akan membawa kita kepada suatu pengamatan bahawa Islam itu sebenarnya untuk kesejahteraan umatnya.
Dengan yang demikian kita tidak merasa gundah gulana, banyak perselisihan sehingga membuatkan kita futur (malas) terhadap Islam, dan merasa aman dan tenang dari segala bencana dan azab dunia mahupun akhirat.
Contoh jelas yang boleh diambil ialah apa yang dilakukan Nabi Allah Ibrahim AS terhadap anaknya Ismail AS apabila Allah SWT memerintahkan beliau untuk menyembelih anaknya. Suatu yang sangat praktikal untuk diambil pengajaran. Bayangkan mata pisau yang diletakkan di leher anaknya dengan penuh rasa pasrah dan penuh pengharapan terhadap Tuhannya, ia merupakan tanda beliau bukan bercanda dan main-main, pendek kata serius untuk melaksanakan perintah Tuhannya. Beliau telah mengutamakan  yang mana keperluan iaitu perintah Tuhannya dan mengenepikan kehendaknya melihat anaknya memebesar seperti anak-anak orang lain walaupun kedua-duanya penting dalam hidupnya.
Lalu Allah SWT menggantikan anaknya dengan seekor kibash (kambing biri-biri) dan Allah berfirman :
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas (perbuatan baik) orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;”
– Surah As-Soffaat 103-107
Subhanallah !!
Jelas Nabi Allah Ibrahim tidak merasakan rugi atau kekurangan mengerjakan apa yang disuruh Tuhannya kerana kesan ‘atifah imaniah yang sangat kuat seiring dengan matlamat yang sangat jelas terhadap Tuhannya.
Bagaimana mendapatkan atifah imaniah ?
- mencari dan sentiasa bersama biah atau suasana yang mendorong
- zikrullah dan keterikatan dengan Asma`Allah Al-Husna dan sifat-Nya
- pembacaan tentang kisah-kisah para salafafussoleh yang mempunyai sifat ini yang sangat mendalam.
- jaga amal fardiy (amal secara individu seperti membaca quran, wirid harian dan sebagainya)
-  dan banyak lagi yang boleh dibincangkan dengan lebih luas.
2 ) Basiroh (kejelasan) dan perancangan yang teliti
Melaksanakan suruhan Allah SWT adalah keperluan mukmin untuk mendapat keredhaan-Nya. Melahirkan insan rabbani dan mencegah kefasadan melalui amar makruf nahi mungkar juga satu keperluan agar semua umat manusia merasai nikmat menganuti Islam dalam hakikat yang sebenar.
Namun untuk melakukan semua ini bukanlah perkara yang mudah dan boleh dipandang remeh. Bahkan ia merupakan satu agenda yang besar yang tidak boleh tidak memerlukan kepada satu pandangan yang halus dan pandangan itu adalah basiroh iaitu melihat sesuatu sehingga ke dasarnya dengan mengutamakan segenap aspek dan menggunakan mata hati.
Setelah mencapai basiroh (kejelasan), ianya juga perlu kepada satu perancangan yang rapi dan teliti dalam semua pekara. Kedua-dua perkara ini sangat perlu bagi memastikan apa yang kita lakukan sentiasa berada dalam keadan segar dan konsisten.
Sedikit contoh agar ia lebih mudah difahami.
Misalnya kita ambil dari situasi pertama, di mana dua orang pelajar yang tinggal di asrama dan berlaku pelawanan bolasepak (World Cup) peringkat akhir.Namun kita ubah sedikit, di mana kedua– dua sahabat itu tadi akan menjalani peperiksaan besar dalam beberapa hari lagi. Mungkin amat sukar untuk melepaskan peluang menonton bola lebih-lebih lagi perlawanan akhir.
Apakah yang harus dipilih oleh kedua mereka sedangkan mereka tahu mereka tidaklah begitu berkemampuan dalam pelajaran dan peperiksaan tinggal beberapa hari sahaja lagi ?
Mereka yang melihat melalui basiroh akan merasakan bahawa peperiksaan yang akan dihadapi ini merupakan sesuatu yang akan memberikan pulangan lumayan kepada umat apabila berjaya dengan cemerlang. Persoalan yang timbul ; dengan cara yang bagaimana ?
Kecemerlangan ini akan melayakkan mereka memegang sijil yang tak mungkin dikecapi oleh orang yang tidak Dia akan berjaya dan akhirnya dapat berkhidmat kepada ummah. Kemudian banyak lagi faedah yang didapati hasil dari kejayaan pertama itu. Oleh itu sebuah kejayaan bermula dengan usaha dan perancangan yang kemas dan teliti. Timbul persoalan apa pula yang akan diperolehi dari menononton bola pada waktu itu untuk ummah ?
Akhirnya,
Mungkin banyak lagi cara mengenali dan mengenalpasti antara hakikat kehendak dan keperluan. Cukuplah sekadar dua ciri ini agar mudah untuk kita pegang dan amalkan.
Fiman allah s.w.t :
“Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya”
- Surah Al-Mukminun : 71
Maka kitalah yang akan membawa kebenaran ini mengikut acuannya. Siapa lagi yang akan mengajarkan nikmat Islam kepada orang lain kalau bukan umatnya sendiri ??
Apa pula selepas ini??
Setelah kita sedar akan keperluan hidup seorang mukmin, apakah kita akan berdiam diri bak sehari tidak makan hanya menahan pedih dan lapar namun berlalu hari berikutnya mungkin akan membawa maut. Begitulah pentingnya keperluan kita sebagai mukmin.
Perkara yang terakhir, saranan kepada kita, di waktu cuti musim panas ini adakah kita sudah mengenal pasti keperluan kita ?? Adakah banyaknya duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa yang akan menjadikan kita seorang mahasiswa yang intelektual ??
Adakah banyaknya kita melakukan perkara-perkara harus (mubahaat) yang boleh mampu menjadikan kita mukmin yang diredhai dan adakah Islam itu akan tersebar dengan sendirinya tanpa digerakkan oleh seluruh anggota kita atau pun ianya akan digerakkan oleh orang yang jahil dan fasiq lalu tersebarlah ia menjadi Islam yang hanya disebut-sebut dan hilang akan nurnya ??
Sama-samalah kita fikirkan…!!!
Wassalam
kiriman : Ibnu Shams

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.