Bangi, 8 April 2011 – Seramai 12 orang pemuda dari Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Hulu Langat (ISMA DHL) telah menyertai Jaulah Singapura (JAPURA) yang bermula pada 8 April 2011 dan berakhir pada 10 April 2011 lalu. Aktiviti rombongan ini dijayakan oleh ahli jawatankuasa ISMA Hulu Langat (DHL), penuntut-penuntut IPT, kolej persediaan luar negara dan juga lepasan sekolah.
Objektif utama JAPURA ini adalah untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Masjid Kampung Siglap, Singapura dan melihat keadaan komuniti masyarakat Islam di sana, di samping itu para peserta dapat melawat beberapa tempat yang bersejarah dan menjadi tumpuan kunjungan orang Melayu Islam seperti Masjid Sultan di Arab Street dan Pasar Baru Geylang Serai.
Selain dari itu, peserta juga sempat melawat ke Masjid Al-Falah yang terletak di sekitar pusat membeli-belah di Orchard Road. Di sana peserta dapat mempelajari bahawa usaha penerangan dakwah kepada orang bukan Islam mengenai Islam boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun dalam keadaan kesempitan ruang.
Perjalanan ke Singapura dimulakan pada 11.30 malam pada hari Jumaat dan tiba di Masjid Kampung Siglap sekitar 5.30 pagi keesokan harinya. Kedatangan rombongan disambut dengan mesra oleh kariah seawal pagi tersebut.
Seterusnya, peserta bergerak ke bahagian pentadbiran Masjid Siglap dan disambut oleh Hj Nailul Hafiz bin Hj Abdul Rahim selaku Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid. Penerangan mengenai sejarah penubuhan Masjid Kampung Siglap, aktiviti-aktiviti dakwah yang dilakukan oleh pihak masjid serta cabaran yang dihadapi sepanjang mengendalikan masjid telah dibicarakan sepanjang sesi pertemuan yang berakhir pada lewat sebelah paginya.
Menurut Hj Nailul Hafiz, masjid ini telah melalui beberapa perubahan dan penambahbaikan dari segi infrastruktur di mana Masjid Kampung Siglap yang lama telah ditukarkan menjadi Pusat Tahfiz Singapura manakala bangunan Masjid Kampung Siglap baru didirikan berhampirannya, dibuka secara rasmi pada 27 Disember 1992. Meskipun masjid baru mengalami tragedi kebakaran pada tahun 2008, pihak pentadbiran masjid telah berusaha keras memastikan pembinaan semula masjid berjalan dengan lancar dan dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada bulan Ramadhan tahun ini.
Secara keseluruhannya, ahli rombongan JAPURA telah menimba pengalaman yang cukup berharga mengenai kehidupan komuniti Islam serta aktiviti dakwah di Singapura, khususnya di Masjid Kampung Siglap, di samping dapat menghubungkan jalinan silaturrahim. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi dan dapat disertai oleh lebih ramai anak muda dari Malaysia pada masa akan datang.
Sumber : ISMA DHL
0 komen:
Post a Comment