Ahli-ahli ISMA perlu insaf dan menyedari bahawa jamaah ini bukan setakat jemaah kebajikan, namun lebih jauh daripada itu ia adalah satu jemaah yang membawa satu matlamat yang sangat besar iaitu menegakkan hakimiyyah Allah SWT di atas mukabumi ini. Maka segala aktiviti yang dijalankan mempunyai matlamat yang lebih jauh daripada setakat memenuhkan agenda tahunan untuk dibentang di dalam mesyuarat agung tahunan sahaja. Sudah tentu sebagai jemaah dakwah kita amat memerlukan bekalan-bekalan dan contoh suri teladan untuk kita ambil iktibar.
Banyak ayat al-Quran yang menggesa kita supaya mengambil iktibar dari cerita-cerita silam untuk dijadikan bekalan membentuk plot kehidupan kita seterusnya sebagai da’ie. Menekuni surah Nuh contohnya dapat menyegarkan semula semangat kita untuk meneruskkan perjuangan mulia ini. Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang sepatutnya kita merindui untuk menyelami dan menghayatinya tatkala dakwah ini dirintangi dengan seribu satu macam ujian dan halangan; halangan dari dalam diri dan halangan dari luar. Kita memohon agar Allah SWT menganugerahi kita semua semangat yang kental untuk meneruskan perjuangan ini dan sama-samalah kita memohon perlindungan dari termasuk dalam golongan orang yang gugur dan terkeluar dari landasan penuh barakah ini.
Kita juga bersyukur kepada Allah SWT kerana diizinkan untuk hidup sezaman(walaupun jarak usia yang agak jauh) dengan para dai’e yang mukhlisin (ikhlas) yang sanggup berkongsi ramuan formula thabat (keteguhan) mereka di atas landasan dakwah. Pengalaman dakwah mereka tidak terlalu jauh dengan tabiat dakwah yang sedang kita rintis melalui jamaah ISMA di Negara ini.
Antara da’ie yang saya sangat kagumi dan sering menela’ah tulisan-tulisannya ialah Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi. Alhamdulillah kerana pada 26 Februari 2011 saya berpeluang untuk menemui beliau di pejabat merangkap rumah beliau di Qatar sementelahan lawatan dakwah saya menemui komuniti melayu di sana. Beliau adalah seorang ulama’ yang tergambar keikhlasan beliau dari raut wajahnya namun semangat yang tidak pernah luntur dalam memperjuangkan Islam di atas mukabumi ini. Tidak terpengaruh langsung dengan kerehatan yang sepatutnya di cari oleh seorang tuan yang berumur 86 tahun!
Saya mencadangkan kepada ahli-ahli ISMA dan pembaca rencana ini khususnya kepada mereka yang bercita-cita mewakafkan dirinya untuk dakwah agar dapat membaca buku beliau bertajuk “ Muzakirrat al-Qardhawi” dan diterjemahkan dengan judul “Aku Dan Al Ikhwan Al Muslimun” berharga RM25.00 setebal 364 mukasurat.
Antara pengajaran penting yang ikhwah akhawat akan perolehi selepas membaca buku ini ialah antaranya:
- Beliau memulakan dakwah dalam usia yang sangat muda dan tidak mensia-siakan seluruh waktu mudanya untuk membantu dakwah namun beliau tetap cemerlang dalam bidang akademi.
- Beliau sangat mengkagumi beberapa orang murabbinya selain dari pengasas Ikhwan Muslimun al Marhum al Syahid al Imam Hassan al Banna.
- Beliau memberikan contoh terbaik dalam soal menjaga adab sesama ahli jemaah tatkala berlaku berlaianan pandangan. Bahkan beliau mengutarakan beberapa cadangan penambah baikan dalam tarbiyyah Jemaah Ikhwan Muslimin.
- Beliau menceritakan pengalaman infaq beliau sendiri dalam mendokong perjuangan dakwah.
- Beliau mengajar para dai’e untuk kreatif dalam apa jua keadaan daie itu berada. Dalam bukunya beliau berulangkali menceritakan bagaimana beliau bersama ikhwah yang dipenjara telah menukarkan penjara menjadi sebuah pusat tarbiyyah yang hebat. Penjara bertukar menjadi masjid, unversiti dan pusat kebajikan.
- Pembaca akan menyelami tabiat tradisi pendengki mahupun musuh-musuh dakwah ingin menghancurkan dakwah dengan menfitnah jamaah dengan berbagai-bagai fitnah, mewujudkan suasana tidak aman dalam saf dakwah, penangkapan, siksaan , pembunuhan dan sebagainya.
Sesungguhnya kita perlu banyak belajar dari orang yang telah membuktikan pengorbanan jiwa dan raganya untuk dakwah yang mulia ini untuk kita cuba mencontohinya.
ZAMRI HASHIM
TIMBALAN YDP
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)
CAWANGAN IPOH
Sumber : Blog Ust Zamri Hashim
0 komen:
Post a Comment