.

Monday, 4 April 2011

Revolusi Mesir dan Perubahan

"Untuk pertama kali dalam hidup, saya merasa bangga menjadi seorang warganegara Mesir"

"Selepas ini Mesir bukan lagi seperti Mesir yang anda kenali"
"Hari esok akan jadi lebih baik daripada semalam"
Itu antara kata-kata yang dapat didengari daripada rakyat Mesir ketika ini. Selepas revolusi, keadaan kini telah kembali aman dan kehidupan seharian berjalan seperti biasa walaupun ada ketikanya masih berlaku demonstrasi-demonstrasi kecil seperti yang berlaku di Kementerian Petroleum dan beberapa tempat lain.
Jelas terpancar daripada wajah dan kata-kata mereka bahawa tersemat sebuah harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa untuk melihat perubahan dan menikmati kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan yang telah ditempuhi sebelum ini. 
Cukuplah kehidupan sukar yang dilalui selama 30 tahun dibawah pemerintahan si zalim Mubarak, orang terkaya di dunia yang memiliki aset kekayaan 70 billion dolar, sedangkan rakyat sendiri menderita kelaparan tanpa makanan dan tiada tempat tinggal.
Cukuplah kemiskinan, kemelaratan, korupsi, kebebasan bersuara yang disekat dan penuntutan hak yang terhalang.
Kini keadilan mula dikecapi oleh semua. Segala yang mereka impikan selama ini semakin hampir untuk terlaksana.
Pungutan suara melalui referendum yang dilaksanakan pada 19 Mac lalu membuktikan suara mereka kembali ada harganya. Sebuah undian yang telus dan bebas dari sebarang penipuan dilaksanakan. Rakyat Mesir menunjukkan kesungguhan dalam usaha menuntut hak dan menuju demokrasi. Mereka keluar beramai-ramai menuju tempat pungutan suara di kawasan masing-masing, tak kira miskin atau kaya, berjawatan tinggi atau tiada apa-apa kedudukkan, tua dan muda tanpa mengenal usia semuanya sanggup menunggu dan beratur dalam barisan yang panjang demi sebuah perubahan pada masa depan.
Namun, benarkah perubahan akan benar-benar wujud dan terlaksana?
Apabila kembali semula ke Mesir berikutan proses evakuasi tempoh hari, ramai antara kita yang menjangkakan keadaan Mesir, sistem dan rakyatnya akan berubah dan menjadi lebih baik selepas menempuh revolusi. Namun, pasti tidak sedikit antara kita yang agak kecewa kerana masih belum melihat sebarang perubahan dan semuanya tetap sama sahaja. Segelintir orang-orang Mesir masih dengan tabiatnya yang buruk dan kadang kala cukup menyakitkan hati.
Hakikat yang perlu kita sedar adalah masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Jangan kecewa jika tiada sebarang perubahan yang ketara pada Mesir. Sebuah perubahan tidak akan berlaku secara drastik dan ianya akan memakan masa yang lama untuk terlaksana. Lebih-lebih lagi jika perubahan tersebut melibatkan sikap, tabiat dan cara fikir pemimpin serta masyarakatnya.
Barangkali bukan setahun dua tetapi beberapa tahun diperlukan untuk memastikan segalanya benar-benar stabil. Sebuah pemerintahan baru yang lebih baik amat-amat dinantikan untuk membina semula Mesir, melakukan perubahan serta melaksanakan tanggungjawab terhadap negara ini dengan sebaiknya.
Yang pasti, revolusi yang menyaksikan kebangkitan rakyat Mesir ini bukanlah suatu yang percuma. Kebangkitan ini telah dibayar dengan darah-darah para syuhada' dan pengorbanan mereka yang telah bertahan dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir di Dataran Tahrir serta tempat-tempat lain di serata Mesir.
Justeru, revolusi ini terlalu rugi jika disia-siakan dan berlalu tanpa sebarang perubahan ke arah yang lebih baik.
Agak menggembirakan kerana jika diperhatikan, sedikit sebanyak unsur positif sebenarnya sudah mula bertebaran di sekitar Mesir. Papan-papan iklan khususnya di bandaraya Kaherah dan graffiti yang terlukis di dinding-dinding semuanya melaungkan kata-kata semangat untuk berganding bahu membina semula Mesir yang baru.
Dari satu sudut, sedikit demi sedikit wujud kesedaran untuk menjaga kebersihan dalam masyarakat. Walaupun masih belum menyeluruh namun wujud dorongan peribadi untuk menyumbang ke arah isu kebersihan dan alam sekitar ini. Sebagai contoh, beberapa universiti melaksanakan gotong-royong di kawasan kampus pada setiap pagi dan jadual giliran membersihkan tandas disusun. Tong sampah digunakan dengan baik dan sampah-sarap semakin sukar untuk dilihat berterbangan di jalan-jalan raya.
Jika sebelum ini mereka berebut-rebut untuk menaiki kenderaan atau membeli makanan, kini dapat dilihat peningkatan dalam beratur dan menunggu giliran. Malah terdapat kempen-kempen khas untuk mengajak rakyat Mesir agar lebih berdisiplin, beratur dan lebih tersusun dalam urusan seharian. Namun, tidak dinafikan jika situasinya masih sama sahaja dan perangai tidak berdisiplin ini masih belum berubah.
Yang paling utama, bahang kebebasan bersuara semakin hangat dirasakan. Persatuan pelajar seperti Persatuan Pelajar Ikhwan Muslimin yang sebelum ini dihalang gerakannya di universiti kini dapat bergiat dengan aktif tanpa sebarang kongkongan. Fikrah Islam dapat disebarkan tanpa halangan. Para pensyarah lebih berani untuk menyuarakan pandangannya dalam isu-isu semasa tanpa perlu takut lagi kepada apa-apa risiko. Dekan universiti mengadakan perjumpaan dengan para pelajar untuk mendengar sebarang usul dan cadangan dalam meningkatkan sistem universiti. Dikatakan sistem Al-Azhar akan berhadapan dengan proses pemulihan dan kita berharap agar perubahan ke arah yang lebih baik akan terlaksana tidak lama lagi dengan izin Allah.
Walaubagaimanapun, rata-rata rakyat Mesir sendiri mempunyai harapan yang cukup tinggi untuk melihat perubahan bukan sahaja dari sudut fizikal dan material tetapi dari sudut sikap, tabiat, akhlak dan nilai murni. Itulah yang lebih berharga dari segalanya. Perubahan inilah yang paling sukar dilaksanakan namun tak mustahil akan menjadi realiti.
Bukankah ada syair Arab yang menyebut;
"Tidaklah sebuah negara itu menjadi sempit kerana ahlinya, tetapi akhlak yang buruk yang menyempitkannya"
Maka, apalah gunanya jika sebuah negara yang mengecapi kemajuan dan perubahan dari sudut politik, ekonomi dan pendidikan namun tiada peningkatan dari sudut akhlak dan tatasusila?
Kita berdoa agar kepimpinan yang bakal memegang tampuk pemerintahan Mesir pada masa akan datang dapat merealisasikan perubahan yang menyeluruh dari segenap aspek fizikal, material mahupun akhlak. 
Dan sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut ilmu di bumi Mesir ini, seraplah semangat perjuangan dan kekuatan yang ada pada rakyat Mesir, ambillah segala yang baik pada diri mereka dan mulakan revolusi dari dalam diri kita agar segalanya berubah ke arah yang lebih baik dan sempurna.
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri". (Ar-Ra'du:11)
Jika mengharapkan sebarang perubahan di sekeliling kita, maka perubahan dalam diri perlu dimulakan terlebih dahulu.
Mesir telah mula berubah, maka kita juga perlu berubah!
Wallahua'lam.
Oleh: Nur Fatin Halil
Tahun 4 Syariah, Universiti Al-Azhar Kaherah

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.