Terpancar kegembiraan di ufuk wajah kebanyakan orang tatkala hadirnya lembaran baru seiring dengan munculnya tahun baru ini. Namun, banyak juga orang yang tertunduk mengenangkan nasib diri yang kurang dikurniakan banyak kelebihan berbanding sebahagian yang lain ataupun terkenangkan kesilapan, keterlanjuran serta kegagalan diri di hari lampau menjadikan bagi mereka sudah tiada lagi harapan untuk mereka di hari muka.
Aneka ragam manusia dapat dilihat bukan sahaja di awal tahun baru malahan sehari-harian di dunia yang luas terbentang ini. Bukan ini yang membeza-bezakan antara kita selaku manusia khalifah Allah di muka bumi serta hambaNya yang perlu, lagi dikehendaki untuk senantiasa patuh kepada suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mukjizat Al-Quran hadir dalam hidup manusia menjelaskan semua ini, sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia berada dalam susah payah” (90:4). Maka, tidak hairan bagi kita sekiranya dalam kita melangkah, kadang-kala diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk mengalirkan butiran jernih air mata. Tatkala itu, ingatlah “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (2:286).
Bulatkan matlamat kita, pancarkan cahaya menerangi lorong itu agar kita tetap dan sentiasa berlari menelusurinya. Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka kita selaku umat Islam perlu memahami konsep hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Daripada diri barulah lahirnya masyarakat yang dapat mendokong perjuangan Islam. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas mengenai matlamat Islam dan gerak kerja yang benar lagi teratur.
Pertama, ini hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Kedua, kita juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang bermanfaat kepada manusia adalah termasuk dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan. Ketiga, kita juga perlu memahami bahawa kita merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa petunjuk dan hidayah daripada Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakanNya.
Mari kita imbau sirah Rasulullah SAW tatkala peristiwa hijrah yang berlaku daripada Mekah ke Madinah; yang merupakan peristiwa terpenting dalam sejarah Islam kerana ia membawa kepada terbentuknya kerajaan Islam pertama dan natijahnya amat penting demi menjamin penerusan dan pengembangan dakwah Islam ke seluruh dunia. Antara kesungguhan baginda yang dapat diambil pengajaran adalah baginda tidak pernah berputus harap apatah lagi mengeluh dan terus terduduk mengenangkan nasib, sungguhpun ujian demi ujian menimpa ke atas baginda dan umat Islam. Bukan sekadar dipulau oleh kaum Musyrikin, kemudian ajal datang menjemput dua insan yang menyokong penuh jalan dakwah baginda iaitu Saidatina Khadijah dan pakciknya, Abu Talib. Ditambah pula dengan tentangan daripada penduduk Thaif.
Walau bagaimanapun, ini semua tidak pernah menjadi tembok penghalang bagi baginda. Pancutan darah yang keluar mengalir daripada kaki baginda menjadi saksi kepada ketabahan baginda dalam usaha penerusan dakwah Islam. Namun begitu, apa yang lebih penting di sisi baginda sungguhpun lontaran ancaman, paku-paku cacian dan tohmahan dilemparkan kepada baginda; matlamat baginda hanyalah, semata-mata, tiada yang lain melainkan redha Allah SWT dan baginda tidak peduli tentang penentangan dan kemarahan para pemimpin musyrikin terhadap baginda. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah berdasarkan dan berlandaskan batu asas yang kukuh tersemat di hati baginda iaitu kefahaman dan keimanan yang tinggi lagi mendalam terhadap perjuangan Islam dan Allah SWT. Natijahnya, dengan satu matlamat baginda ingin melihat Islam itu tertegak dan tersebar di seluruh dunia.
Selari dengan kefahaman mendalam yang dicanai dan dibentuk, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh kita sendiri selaku umat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat selagi tidak bercanggah dengan batas-batas syarak untuk bersaing dengan masyarakat lain. Kita juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Kita juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad dengan bersungguh-sungguh dan sanggup berkorban dalam menuju cita-cita murni ini. Kita juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi prasyarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini. Semua ini bukan rekaan kita, namun ini semua adalah antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah dan pejuang Islam yang terdahulu. Panduan telah ada, hanya tinggal kita untuk melaksanakannya.
Firman Allah SWT, dalam menentukan arah hidup seseorang itu, yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, dan hari kemudian, sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya." (4:136)
Maka, wahai umat Islam satu hakikat untuk kita tekuni bersama bahawa datangnya tahun baru, usia kita bukanlah semakin baru. Namun, semakin bertambah umur kita bermakna sudah semakin bertambah tempoh masa kita pernah hidup di dunia pinjaman ini. Pada masa yang sama, semakin berkuranglah juga tempoh masa untuk kita hidup dan memanfaatnya sebelum diundang untuk kembali ke pangkuanNya. Persoalannya apakah yang kita telah lakukan dan apakah yang kita akan lakukan? Lantas, segeralah memperbaiki diri untuk masyarakat Islam demi membuktikan cinta kita kepada Allah SWT. "Katakanlah “Kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah “Taatilah Allah dan RasulNya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”.(3:31,32)
Senario hari ini, masyarakat Islam yang kian pudar dan kian luntur kekuatan, tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Pada hakikatnya kita punyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam terutamanya Rasulullah SAW dan para sahabat sendiri boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Bertitik tolak daripada inilah kita perlu segera bertindak ke arah itu.
“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Menyedari hakikat jalan hidup ini adalah sukar dan meyakini akan janji Allah, “Kerana sesungguhya sesudah kesulitan ada kemudahan” (94:5); “…Adalah janjiNya itu pasti terlaksana” (73:18) Ambillah waktu untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan. Ambillah waktu untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi. Ambillah waktu untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan. Ambillah waktu untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan. Ambillah waktu untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan. Ambillah waktu untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan. Ambillah waktu untuk tertawa, itu adalah muzik yang menggetarkan hati. Ambillah waktu untuk memberi, itu akan membuat hidup terasa bererti. Ambillah waktu untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan. Ambillah waktu untuk beramal dan berjihad, itu adalah kunci menuju syurga.
Wahai ananda ratna manikam,
Berpegang teguhlah kepada Islam,
Banyakkan amal siang dan malam,
Supaya hidupmu tidak tenggelam.
Oleh: Ibn Abul Aiman
sumber :
www.ismamesir.com
0 komen:
Post a Comment