Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا{7} فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا{8} قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا{9} وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا{10}
Ertinya:Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10) Surah As-Syams.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah mencipta bagi setiap hambaNya, nafsu yang menyuruh kepada kejahatan untuk menguji sejauhmana benarnya Ubudiah hambaNya kepada Pencipta. Allah juga mencipta di antara sifat yang penting bagi nafsu ialah jahil, zalim dan kedekut. Semua ini cenderung kepada kejahatan, sebaliknya lari daripada kebaikan, tidak menyukai kepayahan dan benci kepada tanggungjawap (taklif).
Allah s.w.t telah menciptanya sedemikian rupa supaya ia menjadi pencabar utama dan medan amali yang bersaing untuk membuktikan pengabdian kita benar-benar kepadaNya. Tanpa nafsu kita akan sentiasa menang seperti malaikat yang tidak pernah mengengkari perintah Allah.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah memerintah kita supaya berjihad terhadap nafsu kita dan membantunya untuk berjaya dengan memperolehi redhaNya dan Syurga Allah. Allah berfirman:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى{40} فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى{41}
Ertinya: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, (40) Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (41) (Surah an-Naazi’at)
Berdasarkan cara manusia berinteraksi dengan nafsunya, mereka terbahagi kepada tiga golongan:
Golongan pertama:
Mereka beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat, qada’ dan qadarNya. Mereka juga mengambil syariat Allah s.w.t sebagai peraturan (manhaj) di dalam kehidupan. Mereka menyakini bahawa penghalang utama yang menggugat ketulusan ibadat semata-mata kepada Allah s.w.t ialah nafsu yang sentiasa berada di samping mereka. Ianya merupakan di antara musuhnya, lalu mereka mengangkat panji jihad bagi memerangginya dan memberhentikan runtunannya, samaada di dalam perkara sekecil-kecilnya maupun yang sebesar-besarnya.
Mereka akan menyanggahi hawanya dan memutuskan dirinya dari keinginan syahawat dan tidak memberi kepadanya melainkan yang harus sahaja dengan tidak meluaskan sifat melampaunya dan tidak membenarnya untuk merosak akan amal ibadatnya. Dia mempertahankan dirinya, menjualkan dirinya kepada Allah dengan penuh gembira dengan harga yang mahal dan segala menurut pengkhabaran baik dari Allah s.w.t:
إِنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْداً عَلَيْهِ حَقّاً فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ{111}
Ertinya: Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah at-Taubah:111)
Maka kamu akan dapati segala pergerakan mereka, diam mereka, duduk mereka dan berdiri mereka adalah kerana Allah s.w.t, bukan untuk dirinya, sepertimana di dalam firman Allah s.w.t :
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاء مَرْضَاتِ اللّهِ وَاللّهُ رَؤُوفٌ بِالْعِبَادِ{207}
Ertinya: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Surah Al-Baqarah:207)
Sesungguhnya dia telah mengembalikan kemenangannya keatas dirinya dan juga realiti persekitarannya, maka kamu akan dapati, dia tidak takut kecuali kepada Allah, tidak berhukum kecuali kepada hukum Allah, tidak besengketa kecuali kerana Allah, membebaskan wala’nya hanya untuk Allah, membersihkan tauhid dari sebarang bentuk sekutu dan syirik, memandang agung setiap syiar Allah, menjauhi larangan Allah dan tidak memarahi terhadap dirinya dan tidak bertindakbalas, sebaliknya ia akan menunjukkan kemarahannya apabila larangan Allah di cerobohi.
Kaya jiwanya dan redha iaitu tidak terlalu suka apabila ia memperolehi apa-apa habuan dunia dan tidak terlalu bersedih apabila berlaku kehilangan nikmat dunia daripadanya. Dia juga tidak memandang kepada sesiapa yang lebih tinggi kedudukan darinya dari kalangan ahli dunia dan tidak mengalir di dalam dirinya keinginan apabila ia melihat hartabenda di dunia.
Mereka sering bertawakkal kepada Allah, redha dengan ketentuanNya, mengutamakan kepentingan agama mengatasi maslahat keduniaan, berterus-terang dengan kebenaran dan terikat dengannya dan tetap di atasnya, membuat perkara yang halal sahaja, menjauhi syubhat,berakhlak mulia, lembut pergaulan, memelihara kehormatan, menunai amanah, memenuhi janji, memberi sumbangan di dalam keadaan susah ataupun senang, tangan kiri tidak mengetahui apa yang tangan kanannya memberi infak, bercakap benar, tawakdhuk, ia sentiasa merasai dirinya kurang dalam semua hal daripada orang lain, jika dia melihat orang yang berumur darinya; ia akan berkata mereka telah mendahului aku di dalam amal soleh dan apabila dia melihat orang lemih muda umur darinya, ia akan berkata; aku telah menduhuluinya dengan dosa.
Mereka bersaudara kerana Allah, tiada berhasad dengki terhadap kebaikan yang diperolehi saudara muslimnya, tidur malam dengan dadanya bersih terhadap muslimin, memahami Islam dengan fahaman yang betul, maka ia tidak mendahulukan amalan sunat daripada amalan fardhu, tekun di dalam pekerjaannya dan bidang pengkhususannya, bersabar dan sering bermuhasabah di dalam setiap keadaaan, berdakwah kepada Allah, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan dengan memulakan pada diri sendiri, keluarga dan saudara-mara, mengambil berat dalam persoalan muslimin, sentiasa ada tindakbalas dengan permasaalahan muslimin dan sentiasa memohon agar ia di kurniakan mati Syahid.
Tidak melampau dengan pandangannya, ia sentiasa melaksanakan seperti yang dikatakan oleh Imam As-Syafei: “Pandanganku betul kemungkinan salah dan pandangan selain dariku salah kemungkinan betul”.
Tidak menaruh minat untuk memegang tampuk kekuasaan sebaliknya bercita-cita menjadi pembantu, maka apabila di beri tanggungjawab ia menerimanya dengan menaruh harapan dan berharap akan meninggalkannya pada bila-bila masa saja, bukan itu saja malah ia menganggapkan pada hari dia diberhentikan bagaikan hari perayaan baginya.
Setiap perbuatan dan tutur-kata berpandukan sunnah, segera bertaubat dan beristiqfar, inilah yang di katakan hamba sebenar kepada Allah s.w.t dan kekasihNya, dia menolong Allah maka Allah menolongnya di dunia dan di akhirat, sepertimana firman Allah di dalam al-Quran al-Karim:
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ{40}
Ertinya: Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam) (Surah Al-Hajj: 40)
Maka tiada peperangan terhadap kebatilan melainkan mendapat pertolongan dari Allah,seperti mana firman Allah lagi:
إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ{51}
Ertinya: Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat) (surah Ghafir:51)
Apa yang menyedihkan kita, bahawa sesungguhnya golongan ini jarang kedapatan, malah sukar untuk di temui manusia seperti mereka. Namun demikian mereka tetap ada dalam bentuk yang berterusan di sepanjang zaman tetapi dari nasab keturunan mereka yang berbeza-beza. Semoga Allah memilih kita untuk berada bersama-sama mereka!
كما قال رسول الله: ” لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتى أمر الله وهم كذلك ” متفق عليه.
Ertinya: Sepertimana sabda rasulullah s.a.w:
“Akan sentiasa ada sebahagian dari kalangan Umatku yang menyuarakan kebenaran dan tidak akan memudharatkan mereka daripada perbuatan orang yang membencikan mereka, sehinggalah datang perintah Allah kepada mereka, dan mereka tetap begitu juga”
Golongan kedua:
Mereka adalah manusia yang sentiasa mengekori di belakang mereka hawanafsu mereka sendiri, mereka tidak akan mengengkari apa saja permintaan hawanafsu dan apa saja yang diingini oleh syahwatnya.
Golongan ini akan menuju kearah kebinasaan yang tiada terhingga dahsyatnya, jika ia tidak mendapat rahmat dari Allah s.w.t. Kenapa tidak mendapat rahmat dari Allah? Sesungguhnya dia telah menukar daripada tunduk dan patuh (ibadat) kepada Allah, Pentadbir Alam, Pencipta Alam dan Penolongnya kepada beribadat kepada dirinya iaitu hawanya dan nafsunya.
Maka bertepatanlah dengan firman Allah s.w.t:
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً{43}
Ertinya: Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya supaya jangan sesat? (Surah al-Furqan: 43)
Maka nafsunya memandu dirinya ke dunia yang penuh dengan perhiasan dan perkara yang menyeronokkan lalu terjerumus ke dalam runtunan syahwat, bebaslah penglihatannya, kemaluannya dari sebarang tambatan dan penuhlah perutnya dengan apa yang dirinya inginkan tanpa memperdulikan samaada halal mahupun haram.
Nafsu yang ada pada diri mereka tidak akan melaksanakan tanggungjawap (taklif) dan sesuatu yang menyusahkan, oleh itu mereka tidak menjaga ibadat solat, tidak menunaikan ibadat puasa dan seterusnya di dalam ibadat-ibadat yang lain. Seolah-olah mereka sudah menjadi hamba kepada hawanafsu, diri mereka sudah di tawan oleh hawanafsu dan dibelenggu oleh syahwat. Maka apabila kamu mengingatkan mereka mengenai Allah s.w.t dan hak-hak Allah s.w.t yang patut kita laksanakan, mereka akan mengejek kamu dan mempersendakan kamu. Malah sebahagian besar dari mereka sanggup berbohong demi untuk melepaskan diri dari hukuman, celaan orang di sekeliling mereka, mempamerkan gambaran yang indah di hadapan orangramai, mereka tidak suka untuk berbicara mengenai diri mereka, mengenai kepahlawanan nafsu mereka, perlaksanaan kehendak nafsu mereka dan tidak menjadi halangan bagi mereka untuk mereka-reka cerita dongeng untuk menarik perhatian orang dan sebagai perhiasan diri di hadapan orangramai. Malah lebih dari itu lagi, mereka melahirkan sikap berbangga dengan perbuatan dosa yang mereka lakukan, apabila dikatakan kepada mereka; bertaqwalah kepada Allah … mereka tidak inginkan kebaikan kecuali untuk diri mereka sahaja dan mereka tidak berbuat sesuatu kecuali untuk kepentingan mereka sahaja, motto hidup mereka ialah, Matlamat menghalalkan cara, mengikut syaitan dan mereka adalah tentera dan parti syaitan.
اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ{19}
Ertinya: Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. (Surah al-Mujadalah: 19)
Malangnya golongan inilah yang ramai, amat berlawanan sekali dari golongan pertama yang baru sahaja kita bicara sebentar tadi, paling mudah untuk temui, mudah untuk melihat perihal kelakuan mereka dan segala perkara yang menjadi kecenderungan, inilah yang dikatakan pengabdian yang total kepada nafsunya.
Golongan ketiga:
Sekali mereka menyalahi hawanafsunya dan sekali mengikut hawanafsunya. Maka mereka beribadat kepada Allah s.w.t. pada suatu ketika dan beribadat kepada nafsu pada suatu ketika yang lain pula. Setiap diri mereka berbeza-beza di antara satu sama lain, bergantung kepada sejauhmana mengikut perintah Allah atau mengikut hawanafsu mereka.
Sesungguhnya katogeri ini kebanyakkan dari mereka berjaya menguasai hawanafsu mereka di dalam banyak hal, namum demikian di dalam situasi yang lain pula hawanafsu pula menguasai mereka. Maka dengan ini menunjukkan kepada kita pada diri mereka terdapat ciri-ciri kekuatan dan kelemahan di dalam berhadapan dengan hawanafsu mereka.
Golongan ini terdapat ramai di kalangan kita, mungkin kebanyakkan dari kita, sekalipun tidaklah mencecah angka majoriti dari kita. Termasuk juga di bawah golongan ini, yang amat menyedihkan sebahagian besar mereka terpedaya dengan kekuatan luaran mereka di dalam menghadapi hawanafsu mereka, di dalam setengah tempat, khususnya di dalam perkara yang boleh di sentuh dan di lihat. Oeh itu mereka menyangka yang mereka telah menang keatas hawanafsu dengan kemenangan yang sempurna. Lantas mereka tidak mempedulikan langkah hawanafsu cuba menipu mereka. Maka mereka telah berjaya menegah hawanafsu dari merampas bahagian mereka di dalam amalan zahir tetapi mereka lupa yang hawanafsu tetap terus berusaha secara tersembunyi di sebalik amal zahir mereka, akhirnya dia telah berjaya terhadap mereka dan memandu mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya.
Dari sini kita katakan: Sesungguhnya memang patut di persalahkan sesiapa yang menyatakan atau ia menyangkakan, bahawa memerangi nafsu merupakan peperangan yang mudah dan hanya di dalam lapangan-lapangan tertentu terhad sahaja.Sebenarnya ia merupakan peperangan yang besar, tidak akan berakhir melainkan dengan mati. Sepertimana telah berkata seorang daripada hamba Allah yang soleh: ” Matinya seorang mukmin dan pedangnya masih lagi menitiskan darah”, lantaran itu lah kita mestilah sentiasa bermuhasabah diri kita dan memeriksa selalu di dalam diri kita. Dari situ barulah kita dapat mengenali titik-titik kelemahan pada diri kita di dalam berhadapan dengan nafsu kita. Maka dengan itu akan memudahkan kita untuk menukar kelemahan yang telah di kenalpasti kepada kekuatan dan kemenangan.
sumber :
Ust Mahyudin Ismail
Biro Kebajikan ISMA JOHOR.
0 komen:
Post a Comment