Rasulullah SAW bersabda, "Melepaskan dua ekor serigala lapar di kandang kambing tidak lebih besar bahayanya di bandingkan dengan seorang muslim yang rakus terhadap harta dan dengki terhadap agama. Sesungguhnya dengki itu memamah segala kebaikan persis api menjilat kayu kering". (HR. At-Tirmidzi)
Sering kita mendengar tentang hasad dengki sebagai onar kehidupan. Bagi seorang daie, telah dijanjikan bahawa berdepan dengan mukmin yang berhasad dengki adalah satu cabaran besar yang akan ditempuh dalam perjalanan dakwah.
Mari kita memperhatikan dalam masyarakat melayu kita khususnya, amalan dengki mendengki ibarat suatu perkara yang tidak janggal lagi kepada masyarakat kita. Mereka sanggup saling menjatuhkan dan memusnahkan kebahagiaan orang lain hanya kerana tidak senang melihat kehebatan dan kelebihan yang ada pada manusia lain.
Tidaklah mustahil babak ini berlaku dalam komuniti dakwah sendiri. Sebetulnya, seandainya kita biarkan ia meracuni jiwa-jiwa kita, amal dan dakwah kita akan pincang. Lebih parah lagi kerana kita tidak mahu jalan dakwah ini terhenti kerana kader-kadernya yang berkelahi dan saling menjatuhkan antara satu sama lain.
Imam-Nawawi dalam syarah Muslim berkata ‘'Para ulama berkata, 'Persaingan kepada sesuatu adalah berlumba kepadanya dan tidak suka orang lain mengambilnya, ia adalah permulaan tingkatan sifat dengki. Adapun hasad (dengki) iaitu inginnya hilang nikmat dari orang lain”.
Hati.
Inilah raja dalam diri kita..dan hasad dan iri hati semuanya adalah tanda- tanda hati yang sedang sakit dan tenat. Untuk para daie sekalipun, memelihara kesucian hati adalah titik tolak utama dalam gerakan dakwahnya, kerana hati yang menyala bercahaya sentiasa memancarkan tenaga pada jasadnya dan begitulah sebaliknya. Boleh jadi dalam kesibukan pendakwah dalam kerja-kerja amalnya dia terlupa untuk melihat akan keadaan hati dia sendiri..mungkin kerana penat dan mencari-cari kerehatan dunia, akhirnya jiwa menjadi kosong walaupun jasad terus bergerak dengan amal lahiriah.
Inilah permulaan bagaimana hasad dengki mula menjangkiti para pendakwah. Hati yang sakit tidak boleh melihat kelebihan orang lain. Sungguhpun sibuk dalam berdakwah, hatinya tidak terlepas daripada menyimpan sifat cemburu melihat kepetahan sahabat-sahabat lain dalam berceramah, hatinya sakit melihat temannya yang sangat disayangi oleh masyarakat dan mudah mendampingi mad’unya. Hatinya dengki melihat sahabat-sahabat lain yang sudah jauh terkedepan dalam amal dakwah. Sungguhpun terasa ada kekurangan pada diri, namun jauh di sudut hati menuding jari kepada orang-orang yang tidak memberikan kepercayaan kepadanya.
Sabda Rasulullah;
"Maka demi Allah, bukanlah kemiskinan yang kukhawatirkan terhadapmu, akan tetapi aku khawatir dibukakan dunia terhadapmu sebagaimana telah dibukakan terhadap umat sebelum kamu, lalu kamu bersaing sebagaimana mereka telah bersaing, dan melalaikan kamu sebagaimana telah melalaikan mereka."[1]
Lihatlah sahabat-sahabat sekelian, mulanya hanya dengan prasangka pada ahli sesama jemaah, yang kemudian bercambah dan kemudian mekar menjadi perasaan hasad dengki, akhirnya mungkin menabur fitnah dan sebagainya. HATI-HATI!! Terdetiknya perasaan hasad ini walau sedikit di dalam hati barangkali mampu menjadi api yang meleburkan amal dakwah kita.
Dakwah kita bukanlah medan persaingan. Bukan padang untuk kita perlihatkan siapa yang paling laju memecut ke hadapan, tetapi medan kita adalah medan amal jamaah. Medan untuk kita bergerak ibarat menyusun satu demi satu batu bata yang akhirnya akan membentuk menara yang jitu.
Para pendakwah adakala memandang enteng akan hal ini, mungkin kerana mereka semua menganggap insan- insan yang ditarbiyah ini selamat dan jauh daripada penyakit hati, yakni punca kepada penyakit-penyakit jiwa dan maksiat yang lebih besar. Sedarlah sahabat! Hasad dengki ini sangat halus dan akan menjangkiti jiwa kita, tanpa kita sedar dan menjangka, namun ianya akan dinampakkan pada amal yang semakin lesu dan tidak produktif.
Justeru, ubat dan rawatannya adalah dengan mengenali tanda – tanda awal kesakitan hati. Sentiasa memperbaharui niat agar setiap amal dan ibadah hanya untuk Allah dan bukanlah untuk balasan dunia. Amatlah penting untuk setiap kader-kader dakwah mengenali kelebihan dan potensi diri masing-masing serta berusaha mengembangkan kebolehan mereka tanpa rasa perlu menjatuhkan teman-teman lain.
Kita hendaklah sedar bahawa dakwah kita ibarat kapal yang membawa penumpangnya menuju jalan selamat, bukan semata-mata perlu ada kepada nahkoda yang hebat untuk meneraju kapal itu seorang diri, bahkan setiap individu yang berada di dalamnya WAJIB untuk memperkukuhkan struktur kapal ini sehingga akhirnya selamat berlayar ke destinasi abadi.
Ayuh saudara-saudara, kita koreksi diri kita! Kita buang segala prasangka-prasangka buruk dan perasaan tidak senang sesama sendiri, kerana kita adalah ibarat batu bata yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.
oleh :
0 komen:
Post a Comment