.

Wednesday, 1 December 2010

Pagar Ikhlasmu Dalam Beramal

Sesungguhnya tugas untuk menjulang ketuanan Islam dan mengembalikannya kepada kepimpinan, hidup berdasarkan aqidah Islam, syariatnya atau khilafahnya, serta ketamadunannya adalah merupakan ibadat kepada Allah, serta mendekatkan diri kepada Allah.

Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah pada ibadah sebegini adalah perkara teras untuk diterima amalan kita serta kejayaannya. Niat yang bercampur-baur boleh merosakkan amalan, mencemarkan jiwa, melemahkan saf perjuangan, serta melenyapkan ganjaran. Di antara tanda-tanda ikhlas ialah:
1. Takutnya kemasyhuran dan tersebarnya sum’ah ke atas diri dan agamanya, khususnya orang yang memiliki beberapa bakat serta kebolehan. Beliau berkeyakinan bahawa Allah menerima amalannya secara rahsia bukan secara zahir. Seorang manusia itu, walau masyhur macam mana sekalipun, sekiranya niat bercampur dengan mengharapkan penghargaan manusia, tiada nilai di sisi Allah.
Kemasyhuran itu sendiri sebenarnya tidak tercela. Tiada manusia yang lebih masyhur selain daripada para anbiya’ dan Khulafa Al-Rasyidin. Namun, jika kemasyhuran itu diperolehi tanpa diburu dan bersusah-payah untuk mendapatkannya, maka ia tidak mengapa. Sekalipun, ia ada juga keburukannya sepertimana yang diungkap oleh Imam Al-Ghazali: “Fitnah kemasyhuran adalah ke atas orang yang lemah bukannya ke atas orang yang kuat.”

2. Orang yang ikhlas itu sentiasa mendakwa dirinya cuai di sisi Tuhannya, dan lalai melaksanakan kewajipan. Hatinya tidak terpedaya dengan amalan dan tidak ujub dengan diri sendiri. Bahkan ia sentiasa takut dosa-dosanya tidak diampunkan Allah dan takut kebaikannya tidak diterima Allah.
Setengah para salihin menangis sepuas-puasnya ketika mengalami sakit. Bertanya sesetengah pelawatnya, “Mengapa kamu menangis? Bukankah kamu seorang yang sentiasa bangun malam (qiyamullail) dan berpuasa, kamu orang yang berjihad, bersedekah, menunaikan haji dan umrah, mengajar dan berzikir?. Beliau menjawab, “Tiada siapa yang boleh memberitahuku sama ada semua amalan itu diterima pada timbangan amalanku, dan adakah ia diterima di sisi Tuhanku?. Allah telah berfirman (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa.” (Al-Maidah:27)
3. Amalan yang dilakukan secara senyap itu lebih ia sukai berbanding amalan yang dihebahkan kepada orang ramai. Ia sangat ingin untuk menjadi tunjang bagi sepohon pokok ketika berada dalam jamaah, sekalipun tunjang itu teras bagi tegak dan hidupnya pokok tersebut, namun ia terhunjam di dalam perut bumi yang tidak dapat dilihat oleh manusia.
Daripada Umar Al-Khattab: Pada suatu hari Saidina Umar keluar ke Masjid Nabawi, lalu ia mendapati Muaz bin Jabal sedang duduk di sisi kubur Nabi dalam keadaan menangis. Saidina Umar bertanya; “Apa yang membuatkan kamu menangis?”. Beliau menjawab: “Apa yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w membuatkan aku menangis. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya riya’ yang sedikit itu adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah sesungguhnya ia telah memerangi Allah secara terang-terangan. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang melakukan kebaikan, bertaqwa, dan tidak dikenali. Apabila ia telah tiada, orang tidak merasai kehilangannya dan apabila ia ada, ia tidak dipanggil dan tidak dikenali. Hati-hati mereka adalah pelita yang memberi petunjuk untuk mereka keluar dari debu-debu yang gelap dan pekat.”(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
4. Disisinya sama sahaja antara tugas pemimpin dan tugas pengikut, selagimana keduanya berkhidmat dalam dakwah. Hatinya tidak dibelenggu oleh rasa ingin menonjol, ingin cepat berada di saf hadapan, cinta untuk memimpin dan ingin segera berada di puncak kekuasaan. Bahkan beliau lebih utamakan untuk menjadi pengikut biasa kerana takut berlaku kecuaian dalam kewajipan kepimpinan dan memikul tanggungjawabnya.
Dalam apa jua keadaan, ia tidak ghairah untuk itu semua, dan tidak menginginkan untuk dirinya. Namun sekiranya ia dipertanggungjawabkan, ia akan memikulnya dengan memohon pertolongan dari Allah dalam melaksanakan hakNya. Allah meredhai Khalid al-Walid yang dilucutkan jawatan dari memimpin tentera. Khalid bertugas di bawah Abu Ubaidah tanpa merasa gelisah dan mengkritik, sedangkan Khalid ialah seorang pemimpin yang berjaya.
5. Janganlah kamu menghiraukan redha manusia sedang Allah memurkainya. Sesungguhnya manusia sangat berbeza di segi tabiat, pemikiran, kecenderungan, dan matlamat. Justeru, usaha untuk mendapatkan redha manusia adalah satu impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan dan tuntutan yang tidak mungkin dapat ditunaikan. Orang yang ikhlas tidak akan membebankan dirinya dengan memikirkan ini semua. 
6. Kemungkinan cinta dan benci, pemberian dan keengganan, redha dan marah, hanya kerana Allah dan agamanya dan bukan kerana manfaat untuk  dirinya. Kita melihat sesetengah petugas di medan dakwah, apabila ditegur oleh sahabatnya dengan perkataan yang menyakiti atau diperlakukan dengan tingkah laku yang melukai perasaannya, atau perasaan salah seorang yang rapat dengannya,  ia segera melenting dan marah. Lalu meninggalkan tugas dan harakah, dan terus mengasingkan diri dari medan jihad.
Ikhlas kepada tujuan sebenar akan menjadikannya terus berada dalam kerja dakwah , tetap teguh hala tuju, sekalipun ada orang yang melakukan kesilapan, cuai dan keterlaluan, sebab ia bekerja hanya kerana Allah, bukan untuk dirinya. Bukan kerana si fulan atau individu tertentu di kalangan manusia.
7. Perjalanan yang jauh, lambatnya memperolehi hasil perjuangan, lambatnya memperolehi kejayaan, dan merasa penat kerana berhadapan dengan manusia yang memiliki pelbagai kerenah tidak menyebabkan ia menjadi malas, bertangguh dan ketinggalan. Ia bekerja bukan setakat memburu kejayaan atau untuk mencapai kemenangan semata-mata, bahkan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan mematuhi perintahNya mengatasi segalanya.
8. Gembira dengan kemunculan orang yang serba cukup kelengkapan yang tampil dalam saf para petugas untuk menjulang panji-panji, atau memberi saham kepada tugas, memberi kesempatan kepada setiap orang yang berbakat dan berkebolehan untuk mengambil alih tempatnya tanpa menyekat atau menyempit peluangnya, atau marah kepadanya. Bahkan kita melihat orang yang ikhlas, apabila ia melihat orang yang lebih baik daripadanya dalam memikul beban tugas, ia akan menyerahkan kepadanya dengan rasa ketaatan dan gembira untuk berundur ke belakang.

Jadi, sentialah muhasabah diri kita, seeloknya sebelum malam menutup tirainya, sebelum mata kita melepaskan kelopaknya. Wallahua’lam.

sumber :
www.ismamesir.com

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.