.

Monday, 6 December 2010

Jiwa yang Terhalang dari Taubat

“Dan DialahTuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.” (As-Syura:25)

Taubat adalah satu keperluan asasi bagi manusia, ibarat makanan dan minuman kepada jiwa dan hati. Dalam Al-Quran, Allah memerintahkan hamba-hambaNya supaya bertaubat dan membersihkan diri daripada kotoran-kotoran dosa lalu.
Sabda Rasulullah Saw: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah dan mohon ampunlah kamu kepada Allah. Kerana sesungguhnya aku sendiri bertaubat setiap hari”. (HR muslim)
Sungguhpun begitu, ada beberapa ketika jiwa kita terhalang daripada melakukan taubat. Puncanya seringkali berakar umbi daripada kemaksiatan ruh itu sendiri yang membuatkan rohani seseorang hamba menjadi lemah dan seterusnya mempengaruhi tingkah lakunya untuk meninggalkan taubat. Di antara sebab-sebab yang menghalang seseorang bertaubat ialah:
1. Memandang remeh terhadap dosa
Orang  yang memandang remeh akan dosa-dosanya akan hilang rasa takut kepada kemurkaan Allah. Ianya mungkin kerana kebodohannya dalam agama dan terpadamnya api nyalaan iman dalam hatinya.
Dalam sebuah hadis dari Ibn Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda:
“Orang mukmin melihat dosanya seperti gunung, dia takut kalau-kalau gunung tersebut bakal menimpanya. Orang munafik itu melihat dosanya cuma seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, lalu dia menepisnya begini dan begitu”
Adakalanya kita dalam kehidupan seharian seringkali menganggap dosa-dosa yang dilakukan sebagai sesuatu yang kecil dan tidak perlu kepada taubat. Maka berhati-hati dalam setiap tingkahlaku! Kerana sesungguhnya sekalipun hanya dosa-dosa kecil yang dilakukan ianya mampu membinasakan pelakunya andainya ia terkumpul dengan banyaknya tanpa dijernihkan dengan taubat nasuha.
2. Panjang angan-angan
Lazimnya hal ini berlaku dalam masyarakat kita. Bila disebut tentang taubat, ramai anak-anak muda yang menyimpan angan-angan bahawa kematian baginya masih jauh...taubatnya hanya apabila umur mereka sudah menginjak senja. Hakikatnya, bencana besar yang menimpa manusia kerana menganggap umurnya masih panjang dan masih ingin menghindari kematian, sekalipun kematian itu sudah terlihat di depan matanya.
Kerana itu Rasulullah mengajar kita untuk hidup sebagai orang asing di dunia ini, agar dunia ini tidak dirasakan tempat yang kekal abadi dan sentiasa beringat untuk bersiap sedia menuju destinasi abadi. “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau perantauan dan anggaplah dirimu termasuk para penanti kubur”. (HR Bukhari)
3. Menganggap mudah ampunan Allah
Seperti perangai Yahudi yang dinyatakan dalam surah Al-‘Araf,169:
"Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami”, Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar?. Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya?. Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?.
Sungguh, keyakinan seperti ini sangat membahayakan sipelaku dosa. Anggapannya ini akan mengheretnya terus bergelumang di dalam maksiat dan sangkaan baik terhadap rahmat Allah sebenarnya hanyalah alasannya untuk melegakan hati yang resah diselaputi dosa.
Amatlah berbeza antara mukmin dan si pembuat maksiat; mukmin sentiasa beramal soleh dan sentiasa bimbang amal solehnya tidak diterima Allah. Pembuat maksiat pula sentiasa berbuat keburukan dan menyangka dosanya akan diampunkan nanti.
 4. Putus asa terhadap ampunan Allah
Boleh jadi juga apabila seorang pembuat maksiat itu merasakan dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan, justeru itu dia akan menjauhi pintu taubat. Sebenarnya, mereka terlupa bahawa rahmat Allah lebih luas daripada dosa mereka sendiri.
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar;53)
Sebesar mana dosa seorang hamba, ampunan Allah jauh lebih besar daripada dosa itu. Maka, usahlah berputus asa terhadap rahmat Allah, bersihkan dirimu dengan wudhu’ dan bangunlah menghadap Allah.
5. Buta hakikat kederhakaan
Di antara penghalang taubat ialah buta dari hakikat kederhakaan. Apakah yang dimaksudkan dengan buta hakikat kederhakaan ini?
Ianya bererti orang ini tidak menyedari bahawa perbuatan yang dilakukan itu adalah dosa. Sebagai contoh abid yang ghurur(tertipu) dengan dirinya sendiri dan merasa kagum terhadap amal solehnya, sedangkan hatinya diselubungi perasaan ujub. Serupalah maksiat-maksiat hati yang lain seperti dengki, sombong, bakhil, cintakan dunia, segalanya menjadi perosak kepada ketaatan dan seterusnya menghalang seseorang daripada mempercepatkan taubat.
6. Salah faham kepada takdir
Sesetengah manusia sudah menganggap kemaksiatan hidupnya sebagai takdir dari Allah. Jelas sekali golongan ini adalah mereka yang tidak faham akan qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah. Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya: “Sesungguhnya doa dan musibah saling berlawanan di antara langit dan bumi”.
Inilah beberapa asbab yang menjadi penghalang kepada taubat. Sesungguhnya, taubat adalah rahmat Allah bagi hambanya, maka berusahalah untuk menjadi orang-orang yang melakukan taubat sebagai rutin hariannya, kerana manusia sebenarnya sangat lemah untuk kebal daripada maksiat dan dosa, maka jadilah sebaik-baik si pembuat dosa, iaitu mereka yang cepat bertaubat.

Wallahu’alam
sumber :

2 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.