.

Saturday 22 January 2011

Pengajaran kejatuhan Zainal Abidin Ali di Tunis



“Syar’iyyah Sya’biah” itu lebih tinggi dari “Syar’iyyah Dusturiah” .
Apa yang telah dan sedang berlaku di Tunis merupakan suatu perkara yang berlaku di alam nyata yang benar-benar difahami oleh pakar undang-undang dan politik. 

Ia merupakan satu “syar’iyyah sya’biah” (legaliti dari umat) yang berada lebih tinggi daripada “syar’iyyah dusturiah” (legaliti dari perlembagaan). Dalam masa yang sama ia adalah satu peringatan yang jelas kepada semua pihak di dalam dan luar negara, tanpa sebarang keraguan lagi bahawa:
  1. Semua rakyat yang ditindas sebenarnya boleh melakukan suatu yang besar dan banyak. Sekiranya mereka bangkit dan bergerak dengan dorongan kepentingan umum menentang kuasa yang zalim, maka pertolongan Allah bersama mereka dan bekerja ke arah mencapai kepentingan mereka.
  2. Kerajaan-kerajaan yang zalim dan rejim-rejim diktator lagi perosak sebenarnya bukan di dalam posisi yang selesa dan aman. Kerana kezaliman dan kerosakan yang mereka lakukan, mereka hidup di atas gunung berapi kemarahan rakyatnya sedang kemurkaan Allah lebih teruk dan dahsyat lagi. Ia boleh meletus pada masa dan bentuk yang tiada siapa dapat menyangka.
  3. Petanda kepada Kuasa-kuasa Besar Dunia yang bermaharajalela yang memiliki senjata dan kapal selam nuklear, wang yang melimpah ruah serta menekan dan memastikan dominasi mereka ke atas Dunia Ketiga, terutamanya Dunia Arab dan Islam, bahawa jelas apa yang berlaku di Tunis menunjukkan bahawa kehendak rakyat itulah yang akhirnya akan menang, apatah lagi sekiranya sesuatu umat itu bangkit dan berjuang dengan dorongan aqidah dan pertolongan dari langit.
  4. Seorang pemuda yang sedar lagi faham akan hakikat pertembungan di antara Dunia Arab dan Islam berdepan dengan Dunia Amerika-Israel, adalah lebih ditakuti oleh musuh-musuh Allah dari sebarang bentuk persenjataan.
  5. Ia adalah mesej yang jelas bahawa umat Islam ini masih hidup, tidak mati dan tidak akan mati insyaAllah, membesar dalam keadaan jerih dan payah, akan mencapai zaman matangnya dan terus menerus bergerak di jalannya menuju ke arah perbaikan dan kestabilan yang hakiki, tidak tunduk kepada sebarang tekanan dan ancaman.
  6. Sebenarnya sebab-sebab dan dorongan-dorongan yang membawa kepada berlakunya kebangkitan rakyat di Tunis terdapat juga di merata-rata negara-negara Arab, khususnya Mesir. Ini adalah kerana faktor-faktornya adalah sama sahaja iaitu penyelewengan, kezaliman, krisis ekonomi yang semakin meruncing dan sistem diktator yang berlarutan.
Mendidik umat menjadi peka dan mementingkan kepentingan umum mengatasi kepentingan diri suatu tugas yang berat tetapi tidak mustahil. Bahkan di antara risalah para Rasul-rasul terdahulu ialah merubah dan memimpin umat ke arah peka, bertanggungjawab dan berkorban demi orang lain.
Dalam kita membentangkan hakikat-hakikat di atas, gerakan Islam yang sahih perjuangannya dalam masa yang sama:
  1. Sangat menjaga kestabilan dan keamanan sosial dalam negara pada setiap ketika dan keadaan.
  2. Meyakini bahawa “Nidhal Dusturi” (pertarungan berperlembagaan) adalah laluan semulajadi yang dipilih ke arah perubahan yang dicita-citakan dalam semua aspek ekonomi, politik dan sosial.
  3. Gerakan Islam seharusnya menjadi sebahagian dari juzuk umat dalam sebuah negara, melihat dan menganalisa pihak-pihak lain khususnya parti pemerintah yang memiliki kemampuan lebih besar dalam membuat perubahan dan pembaikan sekiranya mereka memiliki kehendak dan kemahuan ke arah itu.
Tentera di negara-negara Barat dilatih untuk menyerang umat lain, akan tetapi tentera di banyak negara umat Islam dilatih untuk mengawal dan bertempur dengan kebangkitan rakyat mereka sendiri seperti di Turki, negara-negara Arab dan lain-lain lagi. Betapa banyaknya wang, masa, tenaga dan fikiran dihabiskan ke arah yang tak sepatutnya.
Sayangnya apa yang kita lihat, pihak yang memiliki kemampuan tidak menunjukkan sikap yang bersungguh dan amali dalam mengambil langkah dan usaha yang sebenar ke arah membenteras penyelewengan dan mencapai perbaikan dalam negara. Jika pihak pemerintah tidak bertindak pantas memikul tanggungjawab dan tidak  proaktif melakukan perbaikan yang serius, ketahuilah bahawa kestabilan itu tidak akan berkekalan lebih lama.
Sesungguhnya matlamat Ikhwan Muslimin ialah membina generasi baru dari kalangan orang-orang yang beriman dengan ajaran-ajaran Islam yang sahih. Mereka bekerja mencorak orang ramai dengan corak Islam yang sempurna. Jalan Ikhwan pula ialah merubah suasana umum masyarakat dan mentarbiyah pendokong Dakwah dengan ajaran-ajaran Islam sehingga mereka menjadi teladan kepada orang-orang lain… Ikhwan berjalan menuju matlamat mereka melalui batas-batas jalan mereka di atas. Adapun jalan revolusi, Ikhwan Muslimin tidak memikir dan bergantung kepadanya. Ikhwan tidak meyakini menfaat dan hasilnya. Walaupun begitu Ikhwan berterus-terang kepada pemerintah di Mesir, sekiranya keadaan dalam negara berkekalan seperti ini dan pemerintah tidak mengambil langkah segera membaiki keadaan, pasti ia akan membawa kepada revolusi yang bukan dari perbuatan Ikhwan, akan tetapi dari tekanan suasana, tuntutan keadaan dan cuai terhadap perbaikan-perbaikan dalam masyarakat. [Hasan Al-Banna]
Semoga Allah SWT memelihara kita dari hidup di bawah pemerintah yang zalim, ketidakstabilan dan kacau bilau dalam negara dan kelesuan rakyat yang tidak endah apa yang berlaku di sekelilingnya.“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka (jiwa, sikap, akhlak dsb)” (Al-Quran).
Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.