.

Thursday 13 January 2011

Muhasabah


Steven R. Covey mengatakan bahawa manusia sebenarnya boleh berubah melalui perubahan kematangan dalam hidup daripada seorang yang ‘dependant’ kepada seorang yang ‘independent’, daripada cemerlang jika bersendirian kepada lebih cemerlang apabila disinergikan dalam kerja-kerja berpasukan dengan istilahnya ‘interdependent’.

Seseorang yang independent memiliki tiga sikap utama iaitu sentiasa proaktif, setiap kerja berpandukan ‘big dream’ yang telah distrategikan dan sentiasa mendahulukan kerja yang lebih utama. Inilah tiga sikap yang menjadikan seseorang boleh berjaya dalam apa juga bidang. Penemuan Covey telah mengubah masyarakat barat.
Sebenarnya saya tidak perlu membawa pendapat barat ini untuk memantapkan artikel saya ini kerana Islam telah memiliki segala-galanya tetapi saya kemukakan juga sebab orang Melayu sanggup membayar yuran lebih seribu ringgit untuk mendengar idea-ideanya.
Dalam al-Quran Allah menegaskan bahawa; untuk mengubah kelemahan sesuatu kaum hendaklah dengan mengubah kelemahan dalaman mereka.
إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) sehingga mereka mengubah (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) yang ada dalam diri mereka.” Ar-Ra’d [13:11].
Kelemahan dalaman adalah kelemahan tasawwur terhadap asas-asas keimanan, kelemahan akhlak dan kelemahan keazaman. Kelemahan dalaman juga adalah kelemahan matlamat hidup dan pelan pelaksanaannya, kelemahan jatidiri dan kelemahan disiplin dalam kerja-kerja berpasukan. Semuanya ini adalah kelemahan dalaman diri manusia.
Umar al-Khattab meriwayatkan bahawa beliau mendengar nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya setiap kerja bergantung dengan tujuannya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan..”
Niat dan tujuan adalah objektif dan matlamat yang ingin diperolehi daripada kerja-kerja yang dibuat dalam hidup samaada matlamat di dunia maupun di akhirat.
Amat berbeza orang yang meletakkan matlamat mereka untuk berjaya di akhirat dengan orang yang hanya mengejar dunia. Amat berbeza orang yang bercita-cita untuk membawa Rahmat ke seluruh dunia dengan orang yang mementingkan diri sendiri. Amat berbeza orang yang memiliki manhaj yang jelas dalam melahirkan insan yang soleh dengan orang yang menyerahkan urusan pendidikan anak-anaknya kepada pihak lain yang tidak jelas arah tujunya. Amat berbeza orang yang memiliki perniagaan sendiri dan bercita-cita untuk membina emapayar kekayaan untuk ummah dengan mereka yang hanya bekerja membesarkan empayar kekayaan bangsa lain.
Apabila manusia tidak memiliki matlamat hidup yang besar mereka akan bergaduh disebabkan perkara remeh seperti kanak-kanak yang bergaduh kerana berebut barang mainan. Apabila manusia dikuasai oleh tabiat yang buruk seperti malas, menyalahkan orang lain berasaskan sangkaan tanpa bukti, takbur, tidak suka merancang, mementingkan diri, kedekut, tiada semangat juang dan sebagainya mereka tidak akan berubah ke mana-mana.
Lantas Allah mengubah manusia dengan manhaj tersendiri; sentiasa mendengar wahyu-wahyu Allah, sentiasa menyucikan dalaman mereka daripada syirik, khurafat dan sifat-sifat tercela, mempelajari hukum-hukum Allah dan ilmu kebijaksanaan.
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Lihat: Al-Jumu’ah [62:2]
Inilah celupan Allah, inilah acuan Allah dalam mengubah Umar al-Khattab, Uthman Affan, Musab bin Umair dan seluruh generasi sahabat radiallahu ‘anhum. Inilah sibghatullah. Allah Azza wa Jalla telah mengubah generasi sahabat daripada identiti Arab terpencil, tidak dikenali, tidak bertamaddun, berperang sesama sendiri hanya kerana sebab paling leceh menjadi generasi unggul yang telah mengubah sejarah ketamadunan dunia.
صِبْغَةَ اللّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ
Maksudnya: “Acuan Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah acuannya, dan kepadaNyalah kami memperhambakan diri”. Al-Baqarah [2:138]
Sebelum Steven Covey Imam al-Syahid Hassan al-Banna sudah menegaskan bahawa:
انما تنجح الفكرة إذا قوي الإيمان بها، وتوفر الإخلاص في سبيلها، وازدادت الحماسة لها، ووجد الاستعداد الذي يحمل على التضحية والعمل لتحقيقها
Sesuatu fikrah hanya akan berjaya apabila:
Kuat keimanan kepadanya, wujud keikhlasan dalam meperjuangkannya, semangat yang berkobar-kobar dan wujud persedian yang membuahkan pengorbanan dan amal untuk merealisasikannya
Keimanan yang kuat, keikhlasan, semanagat yang berkobar-kobar dan keazaman untuk bekorban adalah kekuatan dalaman yang menjadi asas kejayaan sesuatu kerja.
Keimanan yang kuat adalah keyakinan kepada fikrah, keyakinan kepada manhaj kerja, keyakinan kepada strategi yang digunakan, keyakinan kepada langkah-langkah yang disusun, keyakinan kepada individu yang memimpin, keyakinan kepada jentera kerja yang berjihad di medan dan keyakinan kepada diri sendiri yang mampu melaksanakan semua tanggungjawab dengan dedikasi.
Keyakinan kepada manhaj dan strategi adalah berasaskan ilmu dan kefahaman yang saintifik, berasaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah dan kajian sejarah kebangkitan dan ketamaddunan Islam dan bangsa-bangsa. Keyakinan kepada langkah-langkah perubahan kerana telah terbukti dalam sejarah Allah Azza wa Jalla telah merubah generasi sahabat melalui nas-nas al-Quran dengan pimpinan al-Rasul.
Kejayaan dicapai hanya dengan menduplikasikan aktiviti yang telah berjaya dilakukan oleh generasi terdahulu dan memperbaiki kelemahan mereka jika ada.
Maka untuk memindahkan bangsa Melayu yang lemah, miskin, terpaksa bergantung kepada sokongan bangsa-bangsa lain, dependant adalah dengan kembali kepada acuan Allah.
Sejak penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, sejak penubuhan Penang Free School, sejak penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris barat telah melaksanakan plan strategic berdasarkan ‘big dream’ mereka yang ingin menjadikan bangsa Melayu hanyalah hamba kepada strategi Yahudi. Secara umumnya umat Islam difokuskan agar menjadi umat yang lemah dan tidak mampu mengembalikan kekuatan Khalifah Islam yang telah ditamatkan di tangan Atarturk.
Apakah cita-cita besar umat Islam hari ini? Apakah cita-cita besar bangsa Melayu? Apakah cita-cita besar bangsa Melayu Malaysia?
Saya pernah bertanya kepada seorang pengurus kewangan sebuah syarikat korporat; “Apakah yang encik ingin wariskan kepada anak-anak encik?”
Beliau menjawab: “Saya cuba menyediakan pendidikan terbaik sahaja untuk anak-anak saya manakala duit, pandai-pandailah mereka cari sendiri…  kalau saya tinggalkan harta berjuta kemudian mereka bergaduh kerana merebut harta apa gunanya?”
Inilah kepercayaan majoriti ibubapa hari ini kepada sistem yang mendidik anak-anak mereka. Mereka sendiri sudah tidak yakin terhadap masa depan anak-anak mereka. Mereka tidak yakin kemampuan zuriat mereka untuk mengurus kekayaan atau mereka sebenarnya tidak ada apa-apa agenda?
Saya juga mendengar bahawa majoriti bangsa Cina telah menyediakan insurance untuk diwariskan kepada warisnya apabila dia meninggal dunia supaya anak-anak mereka boleh membina empayar ekonomi dan kesedaran ini telah wujud dan dimulakan lebih 20 tahun lalu.
Kebanyakan ahli masyarakat barat telah mewakafkan insurance nyawa mereka kepada charity dan persatuan-persatuan muballigh yang telah menggaji petugas-petugas sepenuh masa dalam usaha-usaha dakyah mereka. Sekirannya setiap bulan mereka menyumbang dana tetap untuk charity tetapi selepas mereka meninggal dunia pihak charity mendapat dana `lump sum’ seolah-oleh setiap orang daripada mereka hidup lagi 100 tahun dan menyumbang.
Apakah yang dimaksudkan pendidikan terbaik itu? Berapa ramai bangsa Melayu lulus di peringkat ijazah masih belum mendapat kerja? Sudahkah wujud badan-badan dakwah yang mempunyai ribuan tenaga kerja sepenuh masa yang disarahidup oleh dana-dana yang diwakafkan oleh umat Islam dan sebahagiannya daripada dana perlindungan takaful yang diwasiatkan?
Kenapa bangsa kita masih mundur, miskin idea, miskin fikrah, miskin jiwa, tidak berjiwa interdependent sehinggakan rasa kedekut untuk mengkayakan keturunannya sendiri? Malah tidak ada ‘big dream’ dalam perancangan hidup, tiada ‘big dream’ dalam perancangan kewangannya dan apabila mereka tiba usia bersara mereka terus menjadi mayat hidup dan menyangka amal-amal terbaik yang ingin dihabiskan hanyalah berulang alik ke masjid bagi menunaikan solat fardu . Sejak daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun usia dihabiskan dan disia-siakan tanpa agenda.
Puncanya kerana bangsa Melayu tidak mendapat celupan Allah yang sebenar sejak daripada awal-awal kemerdekaan kita. Mereka tidak mempunyai agenda besar yang diperjuangkan sebaliknya hanya dependant kepada agenda yang ditentukan kepada mereka oleh barat sejak merdeka. Apakah bangsa kita akan berubah menjadi lebih baik di masa hadapan jika impian dan sikap mereka tidak berubah?
Bangsa Melayu perlu memiliki ‘big dream’ mereka sendiri berasaskan tuntutan Allah kepada manusia, bangsa Melayu perlu merangka strategi bagi mengembalikan jatidiri Islam sebenar dengan meggunakan manhaj Allah yang telah mengubah generasi sahabat, bangsa Melayu perlu bersikap proaktif dan mempunyai disiplin kerja berorganisasi yang tinggi walaupun ilmu ijtihad mereka sehebat Umar al-Khattab. Semuanya itu hanya akan berjaya melalui perlaksanaan manhaj tarbiyyah yang tersusun mantap dan realistik.
Jika bangsa Melayu berjumlah 14 juta orang, berapa ramaikah daripada jumlah tersebut yang bebas mengatur masanya sendiri setiap detik? Atau majoriti mereka terikat dengan wawasan orang lain sejak jam 8 pagi sehingga 5 petang dan dalam tempoh tersebut mereka hanya menjayakan agenda orang lain yang tidak 100% berasaskan sibghatullah?
Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Yang Dipertua ISMA DHL
Blog: Renungan2u

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.