Kembali kepada fitrah Islam, atau boleh dikatakan bertukar ke suatu kepercayaan agama yang baru bukanlah mudah, mungkin terkecuali kepada beberapa individu yang dipermudahkan urusannya oleh Allah swt. Kebanyakan muallaf berhadapan dengan pelbagai kesukaran.
Ini termasuk disisihkan keluarga dan rakan-rakan. Kalaupun tidak disisihkan, biasanya mereka diberi tekanan untuk kembali kepada kepercayaan agama keluarganya. Ada juga, beberapa kes muallaf yang berhadapan dengan kesusahan dari sudut ekonomi yang serius. Walau sebahagian dari mereka bernasib baik kerana terus dihormati oleh ahli keluarga dan teman-teman, tetapi kebiasaannya akan menghadapi kesusahan. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah ujian yang sangat dasyat terutama dalam tahun-tahun awal beragama Islam.
Tetapi kepayahan yang dialami dan dilalui Amina Assilmi, serta pengorbanan yang terpaksa dilakukan seakan-akan satu kisah baru. Boleh dibilang dengan jari mereka yang bersungguh-sungguh menyandarkan diri kepada Allah swt sebagaimana yang telah dilakukan Amina. Berdiri teguh dan menghadapi cabaran, namun masih mengekalkan pendirian positif dan berupaya menarik simpati mereka di sekelilingnya dengan keindahan yang telah ditemuinya dan diyakininya.
Dia kehilangan kebanyakan rakan-rakannya kerana dia bukan lagi seorang yang “seronok didampingi” apatah Amina juga tidak berminat mencari teman lelaki. Ibunya langsung menolak keIslaman anaknya dan berharap ini hanyalah satu fasa yang sementara dalam hidupnya. Saudara perempuannya yang ‘pakar sakit jiwa’ mengatakan dia telah gila dan nekad memasukkannya ke institut sakit jiwa.
Ayah Amina merupakan seorang lelaki yang tenang dan penuh hikmah. Ramai yang akan mencarinya untuk mendengar nasihat, dan dia juga bijak dalam mententeramkan seorang yang dalam keributan hidup. Tapi, bila mendengar Amina telah masuk Islam, dia telah mengisi peluru ke dalam senapang gajahnya untuk membunuh anaknya. “Lebih baik dia mati dari terseksa dalam neraka yang paling dalam” katanya. Amina sekarang kehilangan kawan-kawan dan ahli keluarga.
Dengan bertambahnya ilmu tentang Islam, perubahan diri Amina nampak lebih terserlah. Tidak sampai setahun setelah melafazan Syahadah, Amina mula memakai tudung. Pada hari dia mula memakai tudung tersebut, Amina dibuang kerja. Sekarang Amina tiada saudara-mara, kawan-kawan dan kerja. Tetapi pengorbanan terbesar Amina bukanlah setakat di situ.
Amina dan suaminya saling mecintai satu sama lain. Namun, dalam proses Amina mengkaji Islam, suaminya telah bersalah anggap dengan perubahan dirinya. Perubahan ini ketara bagi suami Amina dan dia mengesyaki Amina menjalin hubungan curang dengan lelaki lain, yang kerana lelaki itulah isterinya berubah. Amina tidak dapat memberi penjelasan apa yang berlaku pada dirinya. “Tidak ada cara pada ketika itu untuk saya memahamkan dirinya tentang perubahan yang saya alami, kerana saya juga tidak tahu sebabnya.”
Selepas dia secara terbuka menerima Islam, keadaan bertambah buruk kerana perceraian memang tidak dapat dielakkan. Pada tahun-tahun tersebut, Islam masih lagi sesuatu yang sangat asing apatah lagi difahami dengan baik di Amerika. Amina mempunyai dua orang anak kecil yang terlalu disayanginya dan sepatutnya diberikan hak penjagaan anak. Namun, dalam satu perlanggaran sisi keadilan, haknya telah dinafikan kerana dia seorang Muslim. Sebelum keputusan dibacakan mahkamah, Hakim menawarkan satu pilihan yang sukar; kembali kepada agama asal dan hak penjagaan anak akan diberikan kepadanya. Ataupun, kekal beragama Islam dan tinggalkan anak-anaknya. Dia diberi masa 20 minit untuk berfikir dan membuat keputusan.
Amina sangat mengasihi anak-anaknya, mungkin inilah mimpi ngeri bagi seorang ibu; bila mana diminta merelakan anak-anaknya ditinggalkan, bukan sehari, sebulan atau setahun tetapi selama-lamanya. Mengambil jalan alternatif dengan meninggalan Islam – adakah dia dapat hidup secara pura-pura dan menyembunyikan kebenaran Islam daripada anak-anaknya? “Itu adalah 20 minit paling perit dalam hidup saya”, kata Amina dalam satu temuduga.
Bagi seorang ibu atau pun ayah, terutama yang mempunyai anak yang masih kecil, kita tidak perlu berfikir terlalu panjang untuk merasai betapa seksanya jiwa dan perasaan dalam setiap detik 20 minit tersebut. Yang lebih menyedihkan adalah kerana Amina sudah dimakluman doktor sebelum ini dia tidak dapat menerima cahaya mata baru lagi kerana komplikasi kesihatan. “Saya berdoa dengan kesungguhan yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini... Saya tahu tidak ada tempat lain yang lebih selamat untuk anak-anak saya melainkan di bawah naungan Allah. Jika saya menafikanNya, tidak ada apa-apa cara pun lagi untuk saya menunjukkan keindahan hidup bersama Allah kepada mereka di masa hadapan”.
Amina membuat keputusan untuk kekal dalam Islam. Dua anak yang teramat dikasihinya – seorang lelaki dan seorang perempuan – telah diambil dan diletakkan di bawah jagaan bekas suaminya. Bagi seorang ibu, apakah ada sebuah pengorbanan yang lebih tinggi – pengorbanan yang dibuat bukan kerana habuan material, tetapi untuk membenarkan sebuah keyakinan?
“Saya meninggalkan mahkamah, dengan mengetahui kehidupan tanpa anak-anak pasti sangat berat bagi saya. Hati saya bagai terluka berdarah, walaupun saya tahu saya telah mengambil keputusan yang paling betul.”
Amina menemukan ketenangan dalam ayat Qur’an berikut:
Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Yang Maha Hidup, Yang Terus Menerus Mengurus (makhlukNya), tidak mengantuk dan tidak tidur. MilikNya apa yang ada di bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisiNya tanpa izinNya. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmuNya melainkan apa yang Dia kehendaki. KursiNya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi, Maha Besar. (2,255).
Saudara Omar bin Abd Aziz
0 komen:
Post a Comment