.

Wednesday, 9 February 2011

Melayu Sepakat Islam Berdaulat


Tiada siapa akan menyangkal dan menidakkan perjuangan untuk menegakkan deen Islam ini, kecuali mereka yang fanatik dan taksub sehingga tidak betah melihat orang lain berbuat pekerjaan yang sama. Maka, untuk perjuangan ini memerlukan pula orang untuk bekerja menegakkannya. Mustahil deen ini akan tertegak dengan sendirinya tanpa ada pendiri, kerana Islam ini Allah turunkan dengan hujjah bukannya keajaiban dan mukjizat semata-mata.

Di Malaysia, secara umumnya deen ini ditegakkan oleh orang Melayu, atau lebih benar, sewajibnya ditegakkan oleh orang Melayu. Kerana sejarah awalnya dan perkaitan Melayu dengan Islam yang sangat rapat. Apabila ISMA mengambil langkah ke hadapan membawa isu Melayu dan kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka, ada yang mempertikaikan kenapa Melayu, sedangkan Islam itu adalah yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada itu. Tidak kurang ada yang bertanya bagaimana pula dengan mereka yang bukan Melayu tetapi Islam?
Mudah jawabnya, ISMA tidak pernah menafikan peranan bangsa selain Melayu dalam menegakkan Islam di Malaysia. Namun kita lupa berapa porsi Muslim Melayu dan bukan Melayu. Secara statistiknya Muslim selain Melayu tidak sampai pun sejuta orang di Malaysia, sedangkan Melayu Muslim ialah seramai 16 juta orang. Mungkin kita lupa, 300 000 orang di Gaza mengikut tarbiyyah HAMAS barulah boleh mempengaruhi baki rakyat Gaza yang membentuk 1.5 juta orang. Secara kira-kira, amat mencabar untuk porsi Muslim selain Melayu yang berjumlah 700 000 orang banyaknya untuk mempengaruhi baki rakyat Malaysia yang membentuk 27 juta orang. Kerana ini ISMA mahu Melayu dikuatkan agar mereka dapat menguatkan Islam. Realiti!
Masalah sosial remaja masakini yang mencurah-curah membanjiri tanahair sudah jelas bahawa kitalah juaranya, Melayu. Bohsia, bohjan, pelacur, penagih dadah, perbuatan lucah, sumbang mahram, homoseksual, buang bayi, berpeleseran, sebutlah apapun semuanya ada pada bangsa yang kita sayangi ini. Secara logiknya, kenapa ISMA perlu membazir masa untuk selamatkan ummat yang sedang nazak ini? Sudah tentu kerana ISMA tidak melihat bahawa ianya merupakan suatu pembaziran, bahkan suatu pelaburan. Saya secara peribadi, tidak mengatakan bahawa Muslim selain bangsa Melayu tidak terjebak dengan masalah sosial, tetapi kalau kita menghitung nisbah Melayu dan bukan Melayu Muslim yang terlibat dalam masalah sosial, subhanAllah, besar jurangnya. Kalau dahulu bangsa ini dimuliakan dengan Islam, kenapa tidak ianya kembali dimuliakan hari ini? Kalau dahulu bangsa ini kuat dengan Islam, mengapa tidak ianya kembali dikuatkan dengan Islam? ISMA tidak pernah mencela atau mengutuk mana-mana organisasi yang bekerja untuk membantu Cina Muslim mahupun India Muslim, tetapi Melayu kelihatan dipinggirkan, atau mungkin Melayu berasa selesa bahawa mereka ada perlembagaan yang melindungi kedudukan mereka. Maka ISMA mengambil langkah untuk memperkasakan semula bangsa Melayu supaya jatidiri Islam mereka kembali bertakhta. Adakah berbeza apa yang ISMA cuba lakukan dengan apa yang organisasi lain lakukan, tidak! Bahkan, ianya saling tidak berbeza, melainkan kita memfokuskan kepada bangsa yang sudahpun Islam tetapi tidak dimulakan dengannya. Sekali lagi, realiti!
Hakikat yang terakhir, berapa kali kedaulatan Islam selepas PRU 12 cuba untuk digegarkan dan dicabutkan oleh orang kuffar? Kenapa parti-parti politik Melayu dan Islam beriya-iya ingin merebut undi bukan Melayu sedangkan proporsi Melayu masih memenangi majoriti? Di mana kuasa tawar-menawar (bargain power) orang Melayu sedang tanah ini dimiliki oleh orang Melayu? Kerana bahana kelemahan dan kepelikan Melayulah situasi ini menimpa agama Islam yang kita cintai ini. Bukan sekali orang-orang kuffar cuba untuk menempelak rang undang-undang dan perlembagaan yang berkaitan dengan Islam. Kesepakatan Melayu amat signifikan untuk memastikan Islam berdaulat, bukan dari aspek politik semata-mata atau ketuanan Melayu, tetapi ketuanan Islam! Hanya apabila semua Muslim bersatu dan bersepakat baharulah kalian boleh berbicara tentang menegakkan undang-undang Islam. Realiti sekali lagi!
Kepada mereka yang masih mempersoalkan pendirian ISMA dengan pendekatan Melayu Sepakat Islam Berdaulat, selepas entri ini saya amat berharap agar kalian dicerahkan dengan kefahaman yang jelas. ISMA ialah sebuah NGO, bukan parti politik, ISMA mengajak dan menyeru kepada penyatuan Melayu Muslim, dan ianya tiada kaitan dengan politik. Lihatlah perkara-perkara ini dengan jelas dan adil tanpa dipengaruhi dengan ideologi yang telah sedia terpahat di dalam minda kalian. Di akhirnya yang kita ingin tegakkan ialah Islam. Namun, tanpa pendirinya, Islam ini tidak mampu ditegakkan. Keadaan orang Melayu yang parah sekarang akan menyumbang kepada kegagalan aspirasi semua pihak yang memperjuangkan Islam.
Memang bukan Melayu yang datang dahulu, tetapi Islam. Tetapi tanpa bangsa yang kuat menegakkannya, maka Islam ini siapa lagi yang mahu menegakkannya? Kalau mengembalikan Melayu kepada kemuliaannya dengan Islam ialah prasyarat untuk mengembalikan kedaulatan Islam, maka itulah yang akan kami lakukan.
Orang yang melihat dari luar dan hanya mendengar bisikan-bisikan tidak mungkin akan memahami apa yang berlaku di dalam. Berkata benar atau diamlah kata Rasulullah SAW. Sekadar menerka dan berprasangka tidak akan menjadikan anda orang yang benar.
Melayu Sepakat Islam Berdaulat.
Oleh: Mohd Azmir bin Mohd Razli,
Aktivis ISMA
Blog: Kalam Yang Berbicara

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.