.

Monday, 25 July 2011

Kenyataan Rasmi: Berkaitan Isu Terkini Mahasiswa Malaysia di Mesir

Oleh: Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir 2011/2012

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah s.w.t Tuhan yang ar-Rahman, Tuhan sekalian alam yang kasih-sayangnya meliputi segenap sesuatu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, pembawa berita gembira dan membawa misi kebahagiaan dan kasih sayang kepada dunia. Baginda yang telah menunjukkan kepada kita teladan yang baik dalam berdepan dan menyelesaikan segala jenis permasalahan yang ada di dunia ini. Juga selawat dan salam kepada ahli keluarga baginda, para sahabat dan orang-orang yang mendokong Islam ke hari Kiamat, amma ba’du.


Ini adalah kenyataan rasmi Persatuan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-Mesir) berhubung dengan isu terkini yang berlaku pada sebahagian mahasiswa Malaysia di Mesir.

1. ISMA-Mesir menitik-beratkan pembinaan Generasi Muda

Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat, keikhlasan yang sejati, semangat yang tinggi, kesediaan untuk berkorban dan berusaha dalam merealisasikan gagasan tersebut. Keempat-empat asas ini adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan adalah jiwa yang suci, asas semangat adalah keinginan yang kuat dan asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Islam memandang berat fasa ini dalam kehidupan seorang manusia. Oleh kerana itu, pemuda pada usia begini perlu dihalakan ke tempat yang betul. Allah s.w.t sendiri memuji pemuda:
“Allah menggagumi pemuda yang tiada pada dirinya as-sobwah (penyelewengan).” (Riwayat Imam Ahmad)
Dengan itu, generasi muda adalah aset negara yang perlu dipandu dan dibimbing dengan sebaik-baiknya dalam cita-cita kita membina Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan mendapat keredhaan Allah s.w.t.

2. ISMA-Mesir mengutamakan perpaduan Islam

Islam yang suci ini amat mengambil berat soal perpaduan. Islam meletakkan ia sebagai aspek asasi dalam kehidupan masyarakat Islam. Bagi Islam, aspek ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi Islam meletakkan perpaduan seiring dengan iman:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Al-Hujurat:10)
“Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, dia tidak akan menzaliminya dan tidak akan membiarkannya.” (Riwayat Bukhari)
Atas dasar ini, Islam meletakkan nilai persaudaraan sebagai nilai utama di kalangan mereka yang mengimani Islam dan meyakini Risalah Islam. Pada hari ketika seluruh umat Islam berhadapan dengan dunia dalam satu barisan satu hati, mereka berjaya membina ketamadunan yang agung zaman-berzaman. Namun, pada hari mereka lupa rahsia kekuatan mereka dan tidak lagi berpegang pada pimpinan al-Quran, mereka pun ditimpa sepertimana kita lihat apa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.
“Dan janganlah kamu berpecah-belah, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (al-Anfal: 46)
3. ISMA Mesir prihatin isu hak dan masa depan mahasiswa yang menuntut di Mesir.

Pada pandangan kami, mahasiswa Perlembahan Nil umumnya merupakan harapan agama dan negara di masa hadapan. Majoriti mahasiswa Mesir yang teguh berpegang dengan agama dan mencintai ilmu, merupakan aset yang tiada galang gantinya untuk terus membawa Malaysia menjadi sebuah negara Islam contoh yang unggul. Justeru, hak dan masa depan mereka perlu menjadi perhatian semua pihak demi kebaikan bersama.
“Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan nasib umat Islam, mereka bukanlah di kalangan mereka.” (Riwayat Tabrani)
Dari perspektif Syarak, kita memahami bahawa Islam menekankan keadilan dalam semua aspek. Dan membantu setiap individu mendapatkan hak mereka. Rasulullah berpesan dalam sebuah hadith
“Bantulah saudara kamu yang zalim atau dizalimi.” (Riwayat Bukhari)
Hadith ini menuntut kita menyelesaikan sebarang ketidakadilan yang berlaku dengan penuh hikmah.

Juga di sisi Syarak, sebarang pertuduhan perlu disertakan dengan bukti. Dan yang tertuduh dinilai sebagai tidak bersalah sehinggalah dibicarakan dan terbukti kesalahannya. Tertuduh juga memiliki hak untuk membela dan mempertahankan dirinya. Ini berdasarkan hadith:
“Bukti hendaklah dikemuka oleh pendakwa, dan sumpah hendaklah dilakukan oleh (tertuduh) yang mengingkarinya.” (Riwayat Baihaqi)
Oleh itu, ISMA Mesir berpendirian, semua pihak perlu mengambil pendekatan berbincang dan dialog dalam mendepani isu ini. Pintu perbincangan secara rasional dan penuh ukhuwah Islamiah hendaklah sentiasa terbuka dan jujur.

Berkenaan isu yang menimpa sebahagian mahasiswa Mesir baru-baru ini, pihak ISMA-Mesir telah meyampaikan kepada Pegawai Education Malaysia (EM) menuntut isu ini diselesaikan dengan bijaksana dan penuh hikmah tanpa memberi mudarat kepada mana-mana pihak.

Penutup

ISMA Mesir juga berharap, pihak Kedutaan Besar Malaysia ke Mesir (KBMK) dan Education Malaysia (EM), dapat membantu para pelajar yang menghadapi masalah dengan pengurusan universiti dan memberi ruang kepada mereka menyampaikan hasrat dan permasalahan mereka.

Allah musta’an waAllah waliyu Taufiq

Allah adalah sebaik-baik penolong dan kepada-Nya kita berserah diri.

Ikatan Muslimin Malaysia Mesir
Kaherah, Mesir
23 Syaaban 1432H bersamaan 24 Julai 2011M 

Sumber : ISMA Mesir

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.