.

Friday, 4 March 2011

Perjalanan Hidup Aminah Assilmi siri ke - 3



Mungkin suasana di mahkamah Colorado, Amerika Syarikat suram dari pancaran keadilan pada ketika itu apabila hak penjagaan anak-anak Amina Assilmi dirampas. Ataupun sebenarnya mungkin Allah swt ada skema perencanaan yang jauh lebih baik.
Amina meneruskan perjuangan mendapatkan hak penjagaan dengan membawa kesnya ke media. Walaupun tidak berjaya, satu penggubalan kepada undang-undang di Colorado telah dipinda dengan menyatakan seseorang tidak boleh dinafikan hak penjagaan anak hanya berdasarkan kepercayaan agamanya.
Sesungguhnya kasih dan perasaan cinta milik Allah telah menyelubungi Amina seolah-olah dia telah dikurniakan jendela telus jernih kepada Islam. Di mana sahaja dia pergi, ramai yang akan terpegun dengan keindahan kata-kata dan peribadi muslimnya, justeru melafazkan syahadah berikrar menjadi muslim.
Dengan menerima Islam, Amina menjadi seorang yang semakin berubah dan menjadi insan yang bertambah baik. Ahli keluarga, sanak saudara dan orang ramai di sekitarnya mula meletakan penghargaan kepada peribadi dan agama yang dianuti Amina sehingga telah merubahnya. Walaupun dengan reaksi awal familinya, Amina kekal berhubungan dengan mereka dan menyambut mereka dengan penuh rasa hormat dan santun, sebagaimana telah dianjuran dalam al Quran kepada seorang muslim. Dia akan menghantar kad ucapan untuk beberapa hari-hari keraian dan menyelitkan kata-kata indah penuh hikmah daripada al Quran ataupun hadis, tanpa menyatakan sumbernya. Tidak lama daripada itu, pengaruh daripada tindakannya menerima respon yang positif daripada ahli keluarganya.
Orang yang pertama kembali kepada Islam setelah itu adalah neneknya. “Saya selalu tahu dia seorang yang bijaksana”. Dia berumur lebih daripada 100 tahun, dan tidak lama setelah menerima Islam, neneknya kembali ke rahmatullah. “Pada hari dia mengucapkan shahada, segala kesalahannya telah dipadamkan, sedangkan kebaikannya dikekalkan. Dia meninggal dunia terlalu singkat setelah memeluk Islam, sehingga saya yakin “buku amalnya” akan berat pada sisi kebaikan. Ini sangat menggembirakan saya.”
Seterusnya ayah kandung Amina yang sebelum ini pernah bertegas ingin menamatkan riwayat hidup anaknya kembali kepada fitrah Islam. Maka Amina membawakan kisah Umar ibn Khattab. Umar adalah seorang sahabat yang banyak menyeksa golongan Assabiqunal Awwalun sebelum memeluk Islam. Bila mana dia mendengar adik perempuannya telah masuk Islam, dia telah keluar dengan pedang terhunus untuk membunuh adiknya. Namun sebaik sahaja dia mendengar beberapa ayat yang telah dibacakan adik perempuannya, dia kuat meyakini inilah kebenaran dan terus berjalan bertemu nabi dan menerima Islam.
Selang 2 tahun setelah Amina memeluk Islam, ibunya membuat panggilan telefon kepadanya dan menyatakan rasa hormatnya kepada kepercayaan agama Amina dan menyarannya untuk kekal dengannya. Beberapa tahun setelah itu, Ibunya membuat satu panggilan telefon lagi dan bertanya bagaimana caranya seseorang menjadi muslim. Amina menjawab orang tersebut perlu percaya bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa dan nabi Muhammad saw adalah pesuruhNya. “Itu seorang dungu pun tahu, tapi apa yang kita mesti buat sebenarnya?” Ibunya bertanya kembali. Amina menerangkan andaikata itu sudah menjadi keyakinan ibunya, maka dia sudahpun menjadi seorang muslim. Mendengar penjelasan ini, ibunya menjawab “Kalau seperti itu..... OK, tapi biarlah janganlah diberitahu ayah kamu lagi.”
Ibunya tidak tahu suaminya (ayah tiri Amina) telah pun mengadakan perbualan tentang perkara yang sama beberapa minggu sebelumnya dengan Amina, maka mereka berdua hidup sebagai muslim beberapa tahun tanpa mengetahui pasangannya pun telah memeluk Islam. Saudara perempuan Amina yang sebelum ini serius ingin memasukkan Amina ke institut rawatan sakit jiwa, memberitahu saya adalah orang yang paling 'bebas' dia pernah kenali. Itulah pujian paling bermakna yang saya terima kerana ianya datang daripadanya.” Dia juga akhirnya memeluk Islam kerana mungkin dia juga sedar bahawa menjalani kehidupan dengan etika dan peraturan Islam adalah cara hidup yang paling sihat dan positif.  
Setelah mencapai usia dewasa, anak lelakinya juga memeluk Islam ketika berusia 21 tahun. Dia membuat panggilan kepada Amina dan memberitahu dia ingin memeluk Islam. Selepas 16 tahun bercerai, bekas suami Amina pun telah diberi hidayah kepada Islam. Bekas suaminya berkata yang dia sebenarnya selalu memerhatikan Amina sepanjang 16 tahun tersebut dan mahukan anak perempuannya mendapatkan agama yang sama seperti Amina. Dia bertemu dengan Amina dan memohon maaf di atas perilaku kesalahannya sebelum ini. Dia adalah seorang yang baik serta ‘gentleman’ dan Amina telah pun memaafkannya sejak dahulu lagi.
Mungkin hadiah yang terbaik buat Amina bukan sekadar itu sahaja. Amina telah bernikah setelah perceraiannya, dan walaupun telah dimaklumkan doktor bahawa dia tidak mampu untuk mendapatkan anak lagi, Amina telah dikurniakan Allah dengan seorang cahaya mata lelaki. Jika Allah swt ingin mengurniakan sesuatu kepada seseorang, siapakah yang boleh menghalangNya? Itu adalah satu anugerah yang indah dan diberkati dari Allah swt, maka bayi lelaki tersebut dinamakan Barakah.
Pengorbanan yang dilakukan oleh Amina yang hanya tulus kerana Allah swt sangat besar. Maka, Allah pun dengan sifat Maha Pengasihani memberikan kurnia yang besar juga. Ahli keluarga yang pernah menyisihkannya setelah Amina memeluk Islam, kini kebanyakan mereka sudahpun memeluk agama Islam. Amina yang pernah hilang rakan-rakan kerana Islam, kini dia pula dicintai oleh ramai teman-teman baru. Tiba-tiba sahaja muncul kawan-kawan yang saling memberikan kasih sayang” katanya. Keberkatan dari Allah mencurah-curah mendatangi Amina sehingga ke mana sahaja dia pergi, ramai yang akan tersentuh dengan Islam dan menerima kebenarannya. Orang ramai, samada Muslim atau pun tidak, akan berjumpa dengan Amina untuk mendapatkan nasihat dan khidmat kaunseling.
Dia pernah hilang kerjanya kerana memakai tudung, tetapi kini dilantik menjadi Presiden ‘International Union of Muslim Women’. Dia menyampaikan ceramah ke seluruh Amerika Syarikat dan mendapat permintaan yang tinggi untuk menyampaikan ceramah. Kesatuan yang dipimpinnya bahkan telah berjaya melobi Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat untuk mendapatkan setem dengan corak bertemakan Aidilfitri, walaupun usaha tersebut mengambil masa bertahun-tahun. Amina melalui kesatuannya juga sedang berusaha melobi agar hari raya Aidilfitri dijadikan cuti kebangsaan di Amerika Syarikat.


Amina meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap sifat Allah yang Maha Pengasihani, dan tidak pernah hilang keyakinannya kepada Rabbul Jalil. Beberapa tahun lepas, seorang pegawai perubatan telah mendiagnosis Amina dengan penyakit kanser. Doktor memberitahu bahawa penyakitnya sudah di tahap lanjutan yang kritikal dan dia hanya mempunyai tempoh hayat hanya setahun sahaja lagi. Namun kepercayaannya tetap utuh kepada kasih sayang Allah. “Kita semua akan mati. Saya yakin kesakitan yang saya rasai ini mempunyai keberkatannya”. Sebagai sebuah contoh kepada bagaimana seharusnya seseorang menyayangi Allah, Amina menceritakan kisah sahabatnya yang bernama Kareem Al-Misawi, yang juga mati disebabkan penyakit kanser dalam usia 20-an.
“Tidak berapa lama sebelum dia meninggal dunia, dia memberitahu saya bahawa Allah Maha Penyayang. Lelaki ini adalah seorang yang sedang melalui detik-detik kesakitan yang sangat menyeksakan, tetapi bersinar dengan kasih sayang Allah. Dia berkata: ‘Allah inginkan saya memasuki syurga dengan buku amal yang lebih bersih’. Pengalaman melalui saat-saat kematiannya benar-benar membuatkan saya berfikir. Dia mengajar saya tentang kasih sayang Allah.”
Amina Assilmi, seorang tokoh Muslim di Amerika Syarikat, seorang aktivis masyarakat, ilmuwan, dan seorang pemimpin telah meninggal dunia pada 6 Mac 2010 ketika berusia 65 tahun. Beliau terlibat di dalam satu kemalangan kereta berhampiran Newport, Tennessee. Dia baru sahaja pulang bersama anak lelakinya daripada sebuah sesi ceramah di New York. Anak lelakinya telah tercedera dan dimasukkan ke Hospital di Knoxville.
Rujukan:

ddoleh : Saudara Omar Bin Abd Aziz.
 S





0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.