ISMA johor - 16 Mac 2011
Revolusi 17 Februari: Rakyat menguasai bandar Tobruk, timur Libya … mungkin buat sementara.
Kali pertama saya berinteraksi dengan orang Libya ialah ketika saya menuntut di Australia (1983-1988). Diantara mereka ada yang menghabiskan Ph.D dibidang kejuruteraan. Sebelu salah seorang dari mereka tamat dan hendak pulang ke Libya, ibu bapanya datang dari Libya untuk menasihatinya akan keselamatan dirinya nanti apabila pulang ke Libya kerana kezaliman Ghadafi tidak ada batasnya. Di antara mereka ada yang menceritakan bagaimana regim Ghadafi menggantung mati seorang mahasiswa di tengah-tengah universiti dihadapan semua mahasiswa, sedang televisyen menyiarkannya secara langsung kepada seluruh rakyat jelata. Sebelum menggantungnya, wanita yang ditugaskan itu melaungkan nama “Ghadafi ..Ghadafi ..Ghadafi”. Apabila saya berkunjung ke Republik Ireland pada tahun-tahun 1990an, saya bertemu dengan ramai pelarian Libya yang menetap di sana. Kebanyakan mereka dari golongan professional. Walaupun agak selamat kerana telah berada di negara Barat, namun mereka masih berhati-hati kerana Ghadafi sering menghantar pasukan khas ke negara-negara luar untuk membunuh mereka yang tidak sehaluan dengannya.
Semalam, Ghadafi mengumumkan dia tidak akan keluar dari Libya dan akan menghapuskan Rakyatnya yang menentang hingga ke titisan darahnya yang terakhir. Ini adalah pengumuman Perang Saudara yang bakal menyaksikan korban yang dahsyat.
“Anak ayah”, kata orang Melayu. Anak harapan Ghadafi bernama Saiful Islam Ghadafi. Dia sedang disediakan oleh Ghadafi untuk menjadi Presiden Libya selepas beliau, sama seperti Mubarak menyediakan Jamal Mubarak, dan Ali Abdullah Saleh (Yaman) menyediakan anaknya juga. Jamal Mubarak cabut lari ke London di hari-hari pertama Revolusi 25 Januari meletus. Presiden Ali Abdullah Saleh telah mengumumkan anaknya tidak akan menjadi presiden selepas beliau. Kesemua mereka cuba mengikut langkah Hafiz Al-Asad (Syria) menyediakan anak sulungnya Baasil Al-Asad (tak sempat kerana mati kemalangan jalanraya) dan Basyar Al-Asad (kini Presiden Syria) menjadi presiden menggantikan si ayah. Sejak beberapa tahun lalu, Saiful Islam sering menyebut tentang “perbaikan”, “perdamaian” (Musolahah) dalam negara seolah-olah berbeza dengan ayahnya yang diktator. Juga beliau mengajak rakyat Libya yang lari ke Negara-negara Barat agar kembali ke Libya bagi membina Libya Baru. Pernah saya sendiri mendengar ucapannya di televisyen. Kerana tertanya mungkin mungkin diambil tindakan oleh ayahnya kerana menyebut tentang “Kebebasan”, “Perdamaian” dan sebagainya, lantas saya bertanya kepada seorang Arab. Dia menjawab, “Huwa mislu abuhu (Dia macam ayahnya)”. Kini, sejak meletus Revolusi Libya 17 Februari, di ayah dan si anak mengarahkan serangan ke atas akyat dari arah darat dan udara menggunakan jet-jet pejuang.
Dua jet pejuang Libya mendarat di Malta, kerana lari dari tugas yang diarahkan oleh Ghadafi. Kedua-dua pilot tersebut diarahkan agar mengebom Rakyat dari arah udara dengan menggunakan jet-jet pejuang. Dalam sejarah manusia, hanya ada dua pemerintah sahaja yang mengebom rakyatnya sendiri dengan jet pejuang, iaitu Ghadafi dan Hafiz Al-Asad, Syria yang mematahkan kebangkitan di bandar Hama, Syria pada tahun 1982, ketika saya di antara tingkatan 5 dan sedang bersiap untuk menyambung pelajaran ke Australia. Puluhan ribu rakyat Hama terkorban, ribuan muslimah Hama di penjara, diperkosa dan melahirkan anak-anak didalam penjara, sehingga mereka menulis surat kepada Mufti Syria meminta fatwa membenarkan mereka membunuh diri di dalam penjara. Kisah yang masih segar dalam ingatan saya hingga ke hari ini, dan menjadi penguat untuk saya belajar di negara Arab apabila tamat pengajian di Australia.
Bilangan mereka yang syahid di Libya ketika posting ini ditulis (Rabu 23 Februari 2011) ialah seramai 958, manakala yang cedera melebihi 6000 orang, suatu angka yang menyayat hati bagi sebuah negara yang mempunyai penduduk hanya 6 juta orang, berbanding bilangan syahid di Mesir seramai 300 orang bagi bilangan penduduk seramai 80 juta orang. Pengumuman Ghadafi semalam mengajak rakyat yang masih setia dengannya agar keluar melawan rakyat yang menentangnya adalah satu pengumuman perang saudara yang bakal menyaksikan bilangan yang akan terbunuh dan cedera akan meningkat dengan mendadak. Ini perang saudara di dalam bandar ibu negara Libya, Tripoli yang menjadi kubu kuat Ghadafi sejak dahulu.
Adapun bahagian timur negara Libya, berpusat di bandar kedua terbesar iaitu bandar Benghazi, kesemua kawasan negara tersebut telah jatuh ketangan Rakyat yang menentang Ghadafi. Pihak polis di sana telah samada turut menyertai Rakyat menentang Ghadafi atau telah cabut lari ke Tripoli di barat Libya. Senjata milik polis telah dibahagi-bahagikan kepada Rakyat untuk bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan. Batalion ke 7 dan ke 8 tentera Libya telah mengisytihar menyertai Rakyat dalam menentang Ghadafi, termasuk pemimpin tentera tersebut, Abdul Fattah Yunus, sahabat karib Ghadafi yang bersamanya menjayakan Revolusi 1969 menggulingkan Sistem Beraja Idris. Abdul Fattah adalah Menteri Dalam Negeri, Ketua Briged Komando Thunderbolt mengumumkan di bandar Benghazi bahawa beliau menyertai Rakyat dan mengajak semua angkatan tentera menyertai beliau mengambil keputusan yang sama.
Ramai orang kanan Ghadafi telah menyertai Rakyat, dan pembunuhan dan kebangkitan yang sedang berlaku didepan mata Rakyat akan terus menyentuh hat-hati mereka yang sedar terutama golongan penting dalam negara bahawa mereka mesti membuat keputusan segera samada terus bersama diktator Ghadafi menekan rakyat atau bersama Rakyat mengejar Kebebasan dan Keagungan dengan mengambil sebarang risiko terhadap nyawa mereka. Ini bermakna Ghadafi berhadapan dengan masa, seperti mana Mubarak, Mesir dan Zainal Abidin, Tunis yang mengambil keputusan menyelamatkan diri mereka sebelum terlambat.
Satu kelainan Ghadafi berbanding dengan Mubarak dan Zainal Abidin ialah beliau memiliki pasukan keselamatan Istana terdiri dari komando rakyat Afrika bukan warganegara Libya. Ini dilaksanakan di beberapa negara. Pada saya ini menunjukkan beberapa perkara :
- Seseorang pemimpin itu tidak menaruh kepercayaan yang tinggi kepada rakyatnya sendiri untuk melindunginya, lalu bertindak menggunakan tentera elit dari rakyat asing untuk keselamatan dirinya.
- Tentera elit seperti ini pula tidak mempunyai perasaan belas yang tinggi kepada rakyat sesebuah negara dan boleh melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh majikan mereka. Ini telah pun berlaku di Libya sejak beberapa hari lalu, dan masing berlaku dan akan semakin memuncak. Pasukan elit ini meronda keliling perumahan dan menembak apa sahaja objek yang bergerak termasuk ambulan. Dilapurkan seorang kanak-kanak berumur 4 tahun dan seorang wanita juga ditempat berasingan ditembak mati oleh Pasukan Elit berkenaan. Kedua-dua mangsa ditembak mati ketika hanya berada dibalkoni rumah mereka, dan bukan di tempat demo.
Bandar Benghazi, tenang sementara setelah berada di bawah penguasaan Rakyat. Nasib Benghazi ditentukan oleh menag atau tidaknya Rakyat melawan Ghadafi di Tripoli. Jika Ghadafi berjaya mematahkan kebangkitan Rakyat di Tripoli, bandar Benghazi akan akan berubah menjadi lautan darah akibat Perang Saudara terbaru Abad 21.
Ini bermakna jika Ghadafi terus bersikap memerangi Rakyatnya yang bangkit :
- Perang saudara akan meletus di bandar Tripoli diantara Pasukan Elitnya yang lengkap bersenjata dengan Rakyat yang tidak bersenjata. Ini berbeza dengan Revolusi 25 Januari di Mesir dimana sifat rakyat Mesir termasuk tenteranya adalah mesra dan berjenaka sesama mereka.
- Jika Rakyat menang di Tripoli, Ghadafi akan diadili sekeras-kerasnya kerana telah menyebabkan kematian 958 orang yang lalu dan ratusan atau ribuan yang akan datang.
- Jika Ghadafi menang di Tripoli, beliau akan menggerakkan tenteranya ke arah timur dan akan meletus perang saudara di antara Libya Barat berpusat di Tripoli melawan Libya Timur yang berpusat di Benghazi. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Yang akan hancur dan terkorban ialah ribuan nyawa umat Islam Libya yang kita kasihi.
<Baca Fatwa Pengerusi Ulamak Islam Se Dunia, Dr Yusof Al-Qardhawy tentang halal bunuh Ghadafi kerana membunuh rakyatnya beramai-ramai dengan menggunakan jet-jet pejuang dan komando-komando bukan warga Libya yang tidak ada rasa belas kasihan terhadap rakyat>.
Moga Allah swt memenangkan Kebebasan dan Keadilan serta mengagungkan SyariatNya dimuka bumi ini. Ameen.
“Katakanlah kamu tidak menunggu kami melainkan (kami mendapat) salah satu dari dua kebaikan (Menang atau Syahid). Dan kami pula menunggu pada kamu, kamu akan dikenakan Allah dengan azab disisiNya, atau (azab) dari kami. Maka kamu tunggulah. Sesungguhnya kami (juga) menunggu bersama-sama kamu”(Surah At-Taubah ; 52).
Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com
0 komen:
Post a Comment