Bandar Baru Bangi, 5 Oktober – Satu Wacana Rakyat anjuran Gerak Massa (GESA) dengan kerjasama ISMA, JIM, GAMIS, SMM, PKPIM, ASPIRASI, IPMM dan Pemuda KLSCAH akan berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2010 ini.
Wacana bertajuk ‘Membentuk Sikap dan Dimensi Baru Politik Negara’ ini bakal menampilkan Setiausaha Agung ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya sebagai salah seorang panelis undangan.
Selain beliau, turut diundang ialah Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, Pakar Perlembagaan dari UIAM; Tuan Haji Zaid Kamaruddin, Presiden JIM; Sdr. Mohd Idris Mohd Yussoff, Presiden GAMIS; dan beberapa orang yang lain lagi.
Menurut Sdr. Mohd Rizal Moideen selaku Presiden GESA, Wacana Rakyat ini diadakan dengan hasrat untuk membina kesedaran politik di kalangan masyarakat melalui perkongsian maklumat dan pandangan yang pelbagai berkaitan sikap dan dimensi baru politik negara yang menjadi harapan bersama seluruh rakyat Malaysia.
“GESA juga mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini demi menyampaikan mesej penting berkaitan sikap dan dimensi politik yang menjadi harapan dan aspirasi rakyat kepada semua ahli dan parti politik di Malaysia”.
Sdr. Rizal juga melahirkan harapan agar wacana ini dapat memperkukuh jaringan dan kerjasama di kalangan NGO serta gerakan belia dan mahasiswa yang terlibat di samping dapat menyemai budaya politik yang lebih segar dan matang di kalangan masyarakat.
Wacana Rakyat ini dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari.
Orang ramai yang ingin mendaftar atau mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi sekretariat penganjur di talian 013-9932644, 013-3007425 atau 019-2656595.
sumber : http://www.ismaweb.net
0 komen:
Post a Comment