.

Thursday, 8 April 2010

Dakwah, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)


Islam dan dakwah
Islam adalah Ad-Deen yang bersifat universal dan sejagat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia. Ini bertepatan dengan firman Allah di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107:2. Maksudnya:
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.                                                             
(Surah al-Anbiya’ 21:107)
Berdasarkan kepada ayat di atas iaitu rahmat bagi sekalian alam kesannya ialah keperluan kepada tersebarnya Islam ke seluruh dunia melalui jalan dakwah. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104:3. Maksudnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu sekalian satu umat yang menyeru (manusia) kepada kebaikan dan menyuruh dengan ma’aruf (kebaikan) dan melarang dari mungkar (kejahatan) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.                      
(Surah Ali-Imran 3:104)

Menyebut  tentang dakwah, seringkali aktiviti ini kita kaitkan dengan aktiviti-aktiviti konvensional seperti memberi ceramah, seminar, syarahan dan sebagainya di tempat-tempat yang khusus seperti di masjid-masjid dan surau-surau, yang kebanyakannya berbentuk lisan. Secara tidak langsung, persepsi di atas menyebabkan kepada kita menghadkan jumlah pendakwah kepada hanya segelintir individu-individu tertentu yang mempunyai kepakaran di dalam sesuatu bidang agama seperti Syariah, Usuluddin, Tafsir dan sebagainya, walhal tugas sebagai pendakwah adalah tanggungjawab bersama seluruh umat Islam di muka bumi ini.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 5: 67 maksudnya:
Wahai Rasulullah s.a.w.! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka (bermakna) tidaklah engkau menyampaikan perutusannya-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.                                                                                          
(Surah al-Maidah 5:67)
Berdasarkan ayat di atas, semua umat Islam juga diperintahkan supaya melaksanakan tanggungjawab dakwah tersebut kerana ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara khusus hanya untuk Nabi Muhammad SAW sahaja.
Pendekatan dakwah dan kesesuaiannya di setiap zaman
Apabila kita menyoroti sejarah mengenai bagaimana dakwah Islam mampu tersebar dan disampaikan kepada umat manusia di zaman Nabi Musa a.s., kita akan dapati bahawa baginda menggunakan cara dan pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa pada ketika itu. Pada zaman Nabi Musa a.s, baginda dianugerahkan oleh Allah SWT dengan mukjizat ‘tongkat sakti’ bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh baginda pada zaman tersebut. Ini disebabkan kepakaran di bidang sihir merupakan di antara ciri-ciri kekuatan yang menjadi pelindung kepada kezaliman yang dilakukan oleh penguasa Mesir atau Fir’aun  pada masa tersebut.
Bertitik tolak daripada pengajaran di atas dan melihat kepada realiti era globalisasi pada masa kini, ruang dakwah serta penyebaran maklumat Islam dengan lebih pantas dan berkesan kini terbuka lebih luas melalui penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Namun begitu, di dalam membicarakan tentang kecanggihan dan kepesatan teknologi, khususnya ICT, kita masih tidak dapat menjamin bahawa sesuatu dakwah Islam boleh difahami oleh manusia. Ini kerana kefahaman seseorang individu terhadap sesuatu Islam itu bukan hanya terletak pada kehebatan teknologi tetapi terletak pada mutu kandungan serta cara atau kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan ilmu tersebut masuk ke dalam jiwa manusia.
Hakikatnya, masyarakat kita pada masa kini amat mudah terpengaruh dengan apa jua yang ditayangkan di media massa melalui teknologi maklumat dan komunikasi ICT pada masa sekarang. Justeru, sebagai seorang Muslim yang prihatin, ia membuka peluang kepada para pendakwah teknologi menggunakan kepakaran di dalam bidang masing-masing, bagi memainkan peranan memikul tanggungjawab dakwah. Ruang dan kepakaran itu haruslah dimanfaatkan bagi menakluki hati masyarakat agar terpaut dengan ajaran Islam yang sarat dengan nilai murni yang universal. Antara perkara yang perlu digarapkan adalah penghasilan kandungan, drama, filem, iklan serta kandungan digital atau animasi yang memahami dan mementingkan aspek ajaran Islam di dalam setiap produk.
Disinilah bermulanya pendidikan secara tidak langsung mengenai Islam kepada masyarakat yang kini sebenarnya sedang dahagakan kandungan alternatif bagi mem’variasi’kan tontonan mereka, lebih-lebih lagi kepada anak-anak mereka yang sedang membesar.
 
Peluang berdakwah melalui ICT di Malaysia
Pada 24 Mac 2010 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Negara atau National Broadband Initiative (NBI) serta perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi  atau High Speed Broadband (HSBB) sebagai usaha beliau untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara maju. Dengan adanya perkhidmatan HSBB, pengguna kini boleh mendapat akses kepada Internet dengan kelajuan di antara 5 Megabit setiap saat (Mbps) hingga ke 20 Mbps.
Inisiatif ini dilihat penting bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara, keyakinan pelabur luar untuk melabur di dalam negara serta menggalakkan pemikiran yang lebih inovatif dan kreatif. Bagi kebanyakan negara membangun, capaian kepada sambungan Internet berkelajuan tinggi kini menjadi salah satu daripada kemudahan asas harian sama seperti kemudahan asas air dan elektrik.
Dengan adanya HSBB, maklumat dan kandungan tempatan boleh dicapai dengan lebih mudah dan pantas serta dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Usaha ini sangat bertepatan dengan hasrat negara yang sedang berusaha untuk merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat di Negara ini.  Namun, pada masa yang sama wujud keperluan baru kepada adanya maklumat dan kandungan tempatan yang mencukupi, khususnya maklumat atau kandungan yang dihasilkan dari dalam negara oleh orang tempatan, melalui pelbagai infrastruktur ICT yang dibina.
Setiap orang, dari peminat filem kepada pengguna Internet, pelajar, jurutera serta ahli perniagaan akan terbentuk sebagai di antara beberapa kelompok masyarakat yang menyebabkan wujudnya permintaan kepada maklumat dan kandungan tempatan, merangkumi pelbagai aspek-aspek seperti maklumat, pembelajaran, pembangunan kemahiran, hiburan, telekomunikasi, berita dan sebagainya. Hasilnya, bukan sahaja terdapat permintaan yang tinggi terhadap pelbagai jenis maklumat dan kandungan kreatif tempatan, malah boleh mewujudkan peluang kepada terbentuknya tekno-usahawan di bidang ini yang potensinya bukan hanya di dalam negara tapi juga boleh diekspot ke luar negara.

Pembangunan Industri Kreatif Tempatan sebagai peluang untuk berdakwah melalui ICT
Menyedari kepentingan pembangunan bidang industri kreatif tempatan, Kerajaan, melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang merangka Dasar Industri Kreatif bagi meletakkan asas dan halatuju strategik negara di bidang ini. Pada masa yang sama,  Kerajaan, melalui Perbadanan Kemajuan Multimedia atau Multimedia Development Corporation (MDeC) menjangka pasaran industri kreatif dan kandungan digital tempatan akan berkembang sebanyak 36% pada tahun 2010 ini. Pada tahun lepas sahaja, segmen industri kandungan kreatif multimedia telah menyumbang sebanyak RM3.2 billion dari jumlah keseluruhan pendapatan MSC Malaysia dan sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 syarikat MSC Malaysia yang terlibat di bidang ‘post-production’, animasi, pembangunan ‘games’, e-learning serta kandungan mudah alih dan interaktif. Syarikat-syarikat ini telah berjaya mewujudkan 7,000 pekerjaan dengan pendapatan tahunan melebih RM678 juta.
Ini termasuklah syarikat MSC Malaysia, Les Copaque’ yang terkenal dengan karakter animasinya ‘Upin dan Ipin’ yang telah berjaya melahirkan filem animasi Melayu ‘Geng’ telah berjaya memperoleh RM6 juta dari aspek tayangan filem sahaja (tidak termasuk pendapatan dari hasil-hasil ‘merchandise’ seperti baju, topi dan sebagainya.Adalah dianggarkan nilai Industri Kandungan Digital Kreatif di peringkat global adalah sekitar USD752 bilion pada tahun 2011. Oleh yang demikian, melihat kepada potensi dan peluang yang ada dalam industri ini, Malaysia sedang merancang strategi dan pelan tindakan bagi memenuhi persaingan yang semakin berkembang dan mengenal pasti niche area agar dapat memaksimumkan nilai eksport produk kandungan digital negara ke pasaran global.
Menyedari hakikat ini, Y.A.B. Perdana Menteri telah melancarkan Inisiatif Kandungan Kreatif Multimedia MSC Malaysia  (MSC Malaysia Creative Multimedia Content Initiative – M-CMCI) pada 10 April 2006. Inisiatif ini adalah bagi membangunkan sektor Animasi dan Kandungan Kreatif secara lebih berkesan. Pihak Kerajaan juga telah memperuntukan dana eContent sebanyak lebih kurang RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi membantu industri tempatan di dalam meningkatkan hasil produksi animasi dan kandungan kreatif agar dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM200 juta melalui Bank Simpanan Nasional, khusus untuk syarikat industri kreatif multimedia semasa pembentangan Bajet 2010.
Sebelum ini, bagi merealisasikan peluang ini, Y.A.B. Perdana Menteri, di dalam ucapan Bajet 2008 telah menyatakan tentang penubuhan sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia di Cyberjaya iaitu (Malaysia Animation Creative Content Centre – MaC³) untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut. MaC3 ditubuhkan sebagai anak syarikat milik penuh MDeC dan akan merupakan pusat digital kreatif serenti bagi pembangunan kandungan digital di Malaysia di mana bidang keutamaan (focus area) yang dikenal pasti di bawah MaC³ ini adalah Animation, Games, Visual Effects dan Mobile Content. Penubuhan MaCsebagai satu entiti milik penuh MDeC adalah bagi memastikan fokus terhadap usaha-usaha pembangunan sektor ini dapat dijayakan dan menjadi satu sumber ekonomi negara di masa hadapan.
Bagi menjayakan sektor ini, MaC3 menjalinkan hubungan dengan beberapa pusat-pusat animasi di negara-negara lain serta membuka peluang pasaran bagi syarikat-syarikat animasi tempatan melalui strategi promosi dan co-production dengan syarikat animasi bertaraf dunia, di samping menggiatkan usaha-usaha membangunkan kepakaran tempatan (human capital) di dalam sektor ini.  MaC³ juga berfungsi sebagai satu pusat pembangunan kandungan serenti yang dibangunkan dengan kemudahan-kemudahan seperti Makmal Animasi; Studio Suntingan Bunyi; Pusat Sumber  dan Perpustakaan Animasi; Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi; Pusat Latihan Digital Kreatif; Digital Asset Management Centre; dan Kemudahan Screening dan Presentation. Dengan tertubuhnya MaC³ ini, ia akan dijangka dapat memberi impak yang besar kepada usaha Malaysia bagi menjadikan industri digital kreatif ini sebagai satu industri penyumbang utama kepada ekonomi negara di masa hadapan. Persoalan kini ialah, sejauhmanakah kita semua, serta pertubuhan-pertubuhan Islam atau NGO lain termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cuba memanfaatkan segala ruang dan peluang yang terbuka kini bagi melahirkan para tekno-murabbi dan tekno-usahawan industry kreatif di dalam konteks melaksanakan dakwah serta pembangunan ummah melalui ICT?
Sama-samalah kita renungkan.
Dr Amirudin Wahab
Yang Dipertua
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Cawangan Shah Alam & Klang

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.