.

Wednesday, 12 September 2007

Ramadhan Menuju Taqwa

RAMADAN MENUJU TAQWA

Utama
Bulan Ramadan sekali lagi tiba kepada kita dengan penuh keberkatan, rahmat, keampunan dan ganjaran menuju balasan baik dan keredhaan Tuhan yang menciptakan kita. ISMA mengucapkan kepada sekelian rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam seluruh dunia amnya selamat menjalani ibadah di bulan Ramadan kearah menuju taqwa dan keredhaan Allah swt.

Di dalam bulan ini diwajibkan berpuasa sejak Tahun 2 Hijrah. Ramadan adalah bulan puasa yang merupakan tanda ketaqwaan dan perisai bagi kaum yang beriman. Ia adalah bulan Al-Quran yang merupakan kalam Allah swt yang menerangkan kepada manusia erti petunjuk dan dengannya dibezakan diantara kebenaran dengan kebatilan. Di dalam bulan Ramadan, dilipatgandakan pahala setiap amalan kita, diringankan jiwa dan anggota kita untuk beribadat kepadanya. Kesemua ini adalah ke arah menjadikan kita insan bertaqwa, mengerjakan apa yang diperintahNya dan menjauhi apa yang dilarangNya.

Firman Allah swt. bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa” (surah Al-Baqarah).

Dari Salman Al-Farisi r.a. berkata, “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami di hari akhir dalam bulan Syaaban dengan sabdanya : Wahai manusia! Telah datang kepada kamu bulan yang hebat, bulan yang diberkati, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan, bulan yang Allah wajibkan berpuasa di siang harinya, menjadikan solat Tarawih sebagai sunat di malamnya. Sesiapa yang bertaqarrub (mendekatkan dirinya kepada Allah) dengan mengerjakan salah satu amalan kebaikan yang fardhu maka Allah menggandakan pahalanya sebanyak 70 kali amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang mengerjakan amalan sunat maka pahalanya seperti mengerjakan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain. Ramadan adalah bulan sabar, sedang balasan bagi sabar adalah Syurga. Ramadan adalah bulan muwasaah, bulan yang di dalamnya ditambah rezeki bagi orang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang berbuka puasa, maka amalan itu merupakan pengampunan bagi dosa-dosanya, menyelamatkan dirinya dari api neraka dan baginya sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu. Para Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Tidak semua dari kami mampu untuk memberi orang untuk berbuka puasa”. Rasulullah saw menjawab, “Allah memberi pahala tersebut (walaupun) kepada seseorang yang memberi buka puasa kepada seseorang yang berpuasa (walaupun) dengan sebiji buah kurma, secawan air kosong atau seteguk susu. Sesungguhnya Ramadan adalah bulan dimana awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya selamat dari Neraka. Perbanyakkanlah di dalam bulan Ramadan 4 perkara. Dua perkara darinya menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu. Dua perkara lagi kamu sangat memerlukannya. Dua perkara yang menyebabkan Tuhanmu redha kepada kamu ialah kamu (mengucapkan) mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu meminta keampunan dariNya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya iala kamu memohon Syurga dari Allah dan kamu memohon dariNya supaya dijauhkan dari Neraka” (hadis riwayat Ibnu Khazimah).

Oleh itu bagi orang-orang yang beriman, bulan Ramadan mempunyai pengajaran, pengalaman, keseronokan, suasana dan kenangannya yang tersendiri menguatkan jiwa-jiwa dan menghiasi hati-hati yang benar-benar ikhlas beribadat dan mengharapkan ganjaran dariNya semata-mata.

Sebagai persediaan memasuki Ramadan, kita boleh gariskan beberapa objektif diantaranya adalah seperti berikut:

1. Melipatandakan amal ibadah samada ibadah khusus seperti solat, tilawah Al-Quran, qiyamullail (ibadah malam), puasa dan ibadah umum seperti membuat kebajikan, menyumbang kepada kemajuan umat dan Negara dan sebagainya.
2. Mendapatkan pengajaran dari hikmah puasa seperti mengembalikan kesihatan dan menyembuhkan penyakit-penyakit. Sebaiknya hendaklah direncana pemakanan sepanjang bulan ini.
3. Meningkatkan akhlak yang banyak dibentuk dengan berpuasa seperti akhlak Al-Hilm (sopan santun) dan amanah.
4. Meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang agama dalam dua bidang khusus iaitu fiqh Puasa dan seerah Rasulullah saw. Ini diperolehi dengan membaca buku-buku fekah dan ringkasan sejarah Nabi saw.
5. Belajar berjimat cermat dalam perbelanjaan seharian.
6. Menyemat dan menguatkan rukun Iman dalam diri dengan membaca Al-Quran, tadabbur ayat-ayatnya, berzikir dan menambah ilmu.
7. Menitikberat melakukan ibadat-ibadat dengan kualiti yang tinggi seperti khusyuk di dalam solat, berpuasa anggota dan hati dan sebagainya dan bukan berpada sekadar ibadah melalui aktiviti anggota luaran semata-mata.
8. Melatih melawan jiwa yang telah sebati dengan adat kebiasaan yang melalaikan. Ini boleh dicapai dengan mengerjakan Qiyamullail dan menahan kemarahan.
9. Menjaga waktu, tidak mensia-siakannya di depan televisyen, bersembang kosong dan sebagainya. Sebaiknya di dalam bulan Ramadan ini televisyen ditutup, tidak duduk bersama seseorang tanpa sebarang tujuan atau faedah, membersih rumah dan tidak ke kedai atau pasar setiap hari supaya masa dapat dimaksimakan kearah ibadat.
10. Membiasakan diri dengan kehidupan yang teratur seperti mengambil berat susunan dalam rumah dan menyediakan makanan pada masanya.
11. Menggunakan kesempatan bulan dimana hati-hati manusia terbuka kearah kebaikan dengan cara mengajak masyarakat mentaati Allah swt seperti menutup aurat dan mendirikan solat pada waktunya.

Sebaiknya kita membuat persediaan di bulan Syaaban seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Ini adalah supaya seseorang tidak memasuki bulan Ramadan dalam keadaan sulit. Sekiranya dia telah membiasakan dirinya berpuasa dalam sebahagian bulan Syaaban, maka dia lebih bersedia berpuasa sepenuhnya di bulan Ramadan. Sekiranya dia membiasakan diri membaca Al-Quran di bulan Syaaban, maka lebih mudah dia mengkhatamnya di bulan Ramadan.

Hadis dari Aisyah ra berkata, “Adalah Rasulullah saw berpuasa sehingga kami hendak berkata Baginda tidak berbuka dan Baginda berbuka sehingga kami berkata Baginda tidak berpuasa. Aku tidak melihat Raslullah saw menyempurnakan puasanya dalam satu bulan melainkan dalam bulan Ramadan. Aku tidak melihat banyaknya Baginda berpuasa melainkan dalam bulan Syaaban” (hadis riwayat Al-Bukhari). Dari Usamah bin Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sehebat) engkau berpuasa di bulan Syaaban”. Rasulullah saw menjawab, “Bulan (Syaaban) itu ramai yang kurang memperdulikannya, (terletak) diantara Rejab dan Ramadan, sedang ia adalah bulan yang didalamnya di angkat pahala amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Aku ingin amalan ku diangkat ketika aku sedang berpuasa” (hadis riwayat Imam An-Nasaie).

Anas bin Malik ra berkata, “Dulu orang-orang Islam apabila masuk bulan Syaaban mereka akan sering membaca Al-Quran, mambayar zakat dari harta mereka agar dapat menguatkan orang-orang tua dan miskin untuk berpuasa di bulan Ramadan”.

Ayuh kita contohilah pula doa yang dibaca oleh Rasulullah saw, “Ya Allah, berkatilah untuk kami bulan Rejab dan Syaaban. Berkatilah untuk kami bulan Ramadan”. (hadis riwayat Ahmad dalam musnadnya).

Kita menyeru kepada sekelian pembaca agar mengambil sebaik-baik peluang sepanjang sebulan Ramadan ini untuk meningkatkan taqwa kepada Allah swt. Jadikanlah prestasi kita dibulan Ramadan tahun ini lebih baik dari bulan Ramadan di tahun-tahun sebelum ini. Jika umat kita mencapai taqwa yang sejati, maka akan terbuka pula segala nikmat dan keberkatan dari Allah swt di mana urusan kita menjadi mudah, mendapat kecukupan dari Allah swt, tidak boleh diganggu gugat oleh apa sahaja perancangan musuh kafir dan munafiqin, dicurahkan rezeki dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka dan sebagainya.

Firman Allah swt bermaksud, “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, maka itu sudah cukup baginya. Allah akan mencapai (menyempurnakan) urusanNya. Sungguh Allah menjadikan tiap sesuatu itu dengan kadarnya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, dijadikan mudah setiap urusannya” (Al-Quran). “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, diberi jalan keluar baginya. Allah memberinya rezeki dari sumber yang tidak dia sangka” (Al-Quran). “Jika kamu bersabar dan bertaqwa, perancangan mereka tidak akan memudharatkan kamu sedikit pun” (Al-Quran).

Tuan puan, Saudara saudari sekelian,

Jika nikmat dan anugerah di atas disempurnakan pemberiannya kepada kita, maka bukan sahaja kita hidup dengan sejahtera di dunia dan akhirat, tetapi juga Allah akan mengembalikan kepada kita umat Islam kepimpinan dan contoh tauladan kepada dunia sejagat. Ini tidak mustahil sekiranya umayt Islam bersungguh-sungguh mencapai matlamat beramal ibadah di bulan Ramadan.

Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan.
Ya Allah, terimalah amal ibadah kami di bulan Ramadan.




Di ambil dari Ismaweb.net
Oleh,
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah,

Naib Presiden ISMA.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.