.

Monday, 3 May 2010

Seminar Keluarga Muslim Ternyata Membantu.

18 April 2010, Johor Bahru - Seminar Keluarga Muslim yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Negeri Johor berjalan dengan jayanya. Sesuai dengan situasi masa kini yang terdapat banyak krisis rumah tangga di sana sini, seminar ini sangat membantu lebih 30 peserta yang hadir untuk lebih bersedia dan bertanggung jawab mendirikan institusi keluarga yang harmoni berlandaskan Islam.

Seminar Keluarga Muslim yang julung kalinya diadakan di Negeri Johor  telah disampaikan oleh penceramah yang amat berpengalaman iaitu Al-Fadhil Ustaz Rushdan Bin Abdul Halim dan isterinya Ustazah Norhayati bte Ahmad Salleh. Pasangan suami isteri ideal yang mempunyai 10 orang cahaya mata ternyata dapat memberikan banyak input yang baru lagi berkesan kepada peserta seminar yang rata-ratanya golongan mahasiswa dan pasangan yang sudah berkahwin.

Program dimulakan pada jam 9 pagi dengan bacaan Al-Quran Surah At-Tahrim yang ada menyentuh hal rumahtangga dan seruan untuk memelihara keluarga dari Api neraka. Kemudian, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Tuan Hj. Tahir, Pengerusi ISMA Johor yang menjelaskan betapa pentingnya seminar ini diadakan dalam membentuk insitusi keluarga muslim.


Seterusnya, Program Seminar diteruskan dengan penyampaian Slot Pertama oleh Al-Fadhil Ustaz Rushdan B. Abdul Halim bertajuk "Keluarga Muslim ".  Ustaz Rushdan yang merupakan YDP ISMA Pahang telah memberikan penyampaian yang cukup jelas dan mudah difahami. Beliau pada awalnya telah menyentuh hal persediaan bagi menghadapi alam perkahwinan. Membina jatidiri dan memilih pasangan yang sekufu menjadi isi penting bagi para peserta seminar yang mendengar.  Ia terbukti benar kerana terdapat banyak krisis rumah tangga berlaku kerana pasangan suami isteri yang tidak sekufu dari segi pemikiran dan ideologi mahupun kondisi diri.

Di samping merujuk pada Al-Quran dan Hadis tentang hal ehwal kekeluargaan, Ustaz Rushdan juga telah menerangkan beberapa tips bagi menjaga keharmonian rumah tangga seperti menjaga hak-hak keluarga di ibubapa perlulah meluangkan masa juga bersama anak-anak dan sentiasa memelihara anak-anak dari perkara yang tidak sepatutnya seperti melayari internet melebihi had sepatutnya. Penyampaian yang berlangsung  selama satu jam setengah seakan-akan tidak mencukupi dan  ternyata memberikan banyak perkara baru dan peringatan buat peserta.

Pada jam 10.30 pagi, program berehat seketika sambil peserta dijamu dengan teh panas dan mee bun goreng beserta kuih muih pelbagai jenis.

Usai sahaja berehat menyegarkan badan, program diteruskan pada jam 11.00 pagi dengan slot kedua yang disampaikan oleh Ustazah Nor Hayati bte. Ahmad Salleh bertajuk "Pendidikan Anak-Anak". Penceramah yang sudah berpengalaman mendidik 10 orang anak ini telah berjaya menarik hati peserta dengan panduan-panduan mendidik anak-anak secara berkesan. Sebagai permulaan, para peserta didedahkan dengan beberapa tips panduan menjaga dan mendidik anak seiring dengan perkembangan umur.

Tambah menarik, penceramah telah memberi penjelasan yang cukup terperinci dalam fasa mendidik anak bermula dari malam pertam perkahwinan hinggalah anak menjadi besar dewasa. Kebanyakan tips panduan yang diberikan adalah dari pengalaman beliau sendiri yang telah membuktikan keberkesanan membina anak yang salah seorangnya sedang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Program Seminar Keluarga berlabuh tirainya pada jam 1.30 petang selepas sesi soal jawab yang rancak dijalankan. Para peserta tampak berpuas hati dengan seminar yang dijalankan selama setengah hari ini dan berharap agar lebih banyak program-program sebegini dapat diadakan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda masyarakat di Malaysia hari ini.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.