Guru Memimpin Perubahan Menyongsong Kebangkitan
Tanggal 16 Mei setiap tahun, para guru dan warga pendidik akan merayakan hari bertuah ini iaitu Hari Guru. Tidak dinafikan bahawa guru telah memainkan peranan penting di dalam negara dan masyarakat. Guru merupakan agen perubah dan pembangun generasi yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara dan umat melalui wadah pendidikan.
Sumbangan dan jasa guru di pelbagai institusi samada di peringkat tadika, sekolah atau universiti tidak ternilai harganya. Merekalah merupakan tulang belakang kemajuan dan keutuhan negara. Di atas pundak merekalah lahirnya para tokoh, para figur, para teknokrat, para usahawan, pekerja dan rakyat yang berjiwa mulia dan luhur.