.

Tuesday 28 December 2010

Remaja 14 tahun kahwin: Fokus isu lebih besar


Perkahwinan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Siti Maryam Mahmood dan pasangannya, Abdul Manan Othman, 23, baru-baru ini telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat negara ini. Kisah pasangan ini menjadi perhatian setelah media menyiarkan liputan mengenai penyertaan mereka dalam Majlis Meraikan Pengantin 1Malaysia anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) beberapa minggu yang lepas.

Pelbagai reaksi yang timbul ekoran daripada perkahwinan ini. Ada pihak yang mempersoalkan samada Siti Maryam sudah cukup bersedia untuk melaksanakan tugas sebagai seorang isteri pada usia yang muda. Tidak kurang pula yang cuba mempersalahkan pihak-pihak yang terlibat seperti Abdul Manan dan keluarga pasangan tersebut.
Beberapa pihak pula lantang mempertikaikan kewibawaan Undang-Undang Keluarga Islam dan Mahkamah Syariah yang telah memberi kebenaran kepada Siti Maryam untuk berkahwin dengan suaminya. Mereka ini, sebahagiannya bukan Islam, menuding jari kepada Undang-Undang Keluarga Islam yang dikatakan mempunyai kelompongan sehingga membolehkan ‘perkahwinan bawah umur’ itu terjadi.
Bahkan golongan ini pergi lebih jauh lagi dan mendesak Undang-Undang Keluarga Islam yang dipraktikkan di negara ini dipinda supaya selari dengan Undang-Undang Sivil. Amat dikesali apabila orang Islam sendiri menyokong dan menyuarakan desakan yang sama.
Pada pandangan (dan keyakinan) saya, Undang-Undang Keluarga Islam yang ada sudah cukup sempurna. Berdasarkan peruntukan yang terkandung, usia minima untuk berkahwin ialah 18 bagi lelaki dan 16 bagi perempuan. Namun mereka yang lebih muda boleh berkahwin dengan mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah.
Jadi bukanlah semudah itu untuk para remaja yang belum mencapai umur minima yang telah ditetapkan berkahwin sesuka hati mereka. Tetapi undang-undang yang ada tidak pula menghalang jika mereka benar-benar merasakan sudah bersedia dan setelah Mahkamah Syariah membuat pertimbangan yang sewajarnya. Fleksibiliti ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang tidak diingini seperti seks luar nikah, mengandung luar nikah, buang bayi atau kahwin lari.
Sebagaimana ditegaskan oleh Puan Siti Hawa, ibu kepada Siti Maryam, “Konsep perkahwinan awal ini sebenarnya boleh membendung perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Kita semua sedia maklum tentang permasalahan masyarakat yang berlaku di negara ini sedangkan perkahwinan anak saya adalah satu perkahwinan yang sah.”
Oleh yang demikian usahlah mana-mana pihak mempertikaikan perkahwinan Siti Maryam ini kerana beliau telah mendapat kebenaran Mahkamah Syariah untuk berkahwin. Bahkan kedua-dua keluarga pasangan tersebut merestui dan menyokong penyatuan dua hati ini di atas jalan yang diredhai Allah SWT. Mempersoalkan perkahwinan mereka bermakna memperkecilkan kedudukan serta kewibawaan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam, sekaligus agama Islam itu sendiri.
Kepada pihak-pihak terbabit terutamanya yang mewakili gerakan feminisme, banyak lagi isu lain yang lebih besar dan perlu ditangani segera. Antaranya pergaulan bebas, coupling, seks rambang, sumbang mahram, mengandung luar nikah, buang bayi, lari dari rumah dan pelbagai isu lagi yang juga melibatkan golongan remaja. Semua permasalahan sosial ini kini berada di tahap kritikal dan memerlukan perhatian lebih serius.
“Kenapa perkara yang baik, orang menjadikannya sebagai isu sedangkan banyak perkara lain yang tidak sepatutnya berlaku tidak mendapat perhatian masyarakat. Ia satu perkara yang halal. Jika saya berkahwin dengan Maya (Siti Maryam) yang berusia 14 tahun sedangkan ada yang sebaya dengannya mengandung anak di luar nikah itu lebih penting untuk mendapat perhatian masyarakat daripada isu diri saya dan juga Maya,” jelas Abdul Manan, suami kepada Siti Maryam.
Jadi tak perlulah kisah perkahwinan mereka ini diperpanjangkan dan dijadikan isu lagi. Sama-sama kita doakan semoga ikatan perkahwinan yang terjalin antara Abdul Manan dan Siti Maryam berkekalan sehingga ke akhir hayat, insya Allah.
“Membina Generasi Harapan”
“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.