.

Monday 13 December 2010

Peribadi Muslim : Akhlak yang Mulia

Sesungguhnya telah ada bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat kelak serta ia banyak menyebut dan mengingati Allah .” ( al-Ahzab : 21 )

Akhlak adalah situasi atau keadaan sesuatu yang menetap di dalam jiwa. Dari sudut bahasa, perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri. Dalam al-Quran disebutkan ‘al-khulq’ dalam firmanNya, “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam:4) Manakala dari sudut istilah ulama’ sepertimana yang ditakrifkan oleh imam Al- Ghazali , “Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan.” Maksudnya sesuatu sifat, perbuatan dan tindakan akan terbit dengan mudah dan senang tanpa perlu kepada pemikiran, penelitian dan paksaan.
Oleh itu, akhlak boleh disimpulkan dengan makna ianya sebagai suatu himpunan ma’ani dan sifat-sifat yang bertapak kukuh di dalam diri, dan ia menjadi neraca bagi manusia menilai baik buruk sesuatu amalan dan perbuatan tersebut. Jika ia melahirkan perbuatan yang baik dan terpuji maka situasi tersebut dinamakan akhlak mulia, namun jika ia melahirkan perbuatan yang buruk, ia dinamakan sebagai akhlak keji. ( rujuk mukhtasor Minhajul Qasidin )
Contoh akhlak yang baik ialah berwajah manis, mencurahkan kebaikan dan tidak menyakiti sesiapa, sama ada dengan lisan atau perbuatan. Pembentukan akhlak  penting dalam kehidupan manusia sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Sirah merakamkan bagaimana Nabi saw  mentarbiah para sahabat untuk berakhlak mulia di samping penekanan baginda terhadap sudut aqidah dan keimanan. Bahkan kepentingan ini terbukti berdasarkan sabda baginda saw, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Pernyataan Rasulullah saw  itu menunjukkan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam.
Di samping itu juga, terdapat banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Antaranya, akhlak menentukan kedudukan timbangan amalan seseorang di akhirat nanti.Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam  timbangan amalan seorang hamba pada hari Kiamat  berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.“( HR Tirmidzi). Akhlak yang mulia  juga  dapat menyempurnakan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya.”( HR Muslim) .  Antara lain, sebagaimana dalam sebuah hadith diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : “Wahai Rasulullah, apakah itu agama?” Rasulullah menjawab : “Akhlak yang baik.” Di dalam al-Quran juga Allah swt memuji baginda saw dengan pujian yang cukup agung dan mulia, menyerlahkan lagi keperibadian baginda saw sebagai contoh ikutan yang terbaik untuk umatnya. “Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam:4). Banyak lagi ayat-ayat al-Quran  dan hadith-hadith Rasulullah saw yang menunjukkan ketinggian kedudukan akhlak dan menggalakkan kita supaya berusaha menghiasi jiwa kita dengan akhlak yang mulia.
Cabaran dan realiti kita pada masa kini adalah umat manusia khususnya umat Islam dihidangkan dengan pelbagai propaganda jahiliyah yang kuat mencengkam setiap aspek kehidupan mereka. Akibat daripada lemahnya aspek ‘tarbiah imaniah’ dan kefahaman tentang Islam juga persekitaran atau ‘biah’yang tidak baik, maka majoriti umat terjerat dengan situasi yang menyedihkan ini sehingga berlakulah pelbagai kerosakan dan pergolakan dalaman juga luaran seperti krisis identiti atau nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat yang mundur, serta boleh membawa kepada kehancuran sesebuah bangsa dan negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata, “Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak.” Zina yang membawa kepada pembuangan bayi, hasad dengki sehingga sanggup membunuh dengan kejam, tuduh-menuduh dan aib-mengaibkan antara sesama muslim, pecah amanah, dan pelbagai lagi kerosakan yang sering berlaku di sekeliling kita menunjukkan bukti bahawa umat sedang sakit, sedang parah akhlaknya, sedang lemah imannya.
Justeru, kesemuanya ini amat perlu kepada penyelesaian yang konkrit dan rawatan yang berkesan. Bukan penyelesaian yang bersifat tempelan dan sandaran semata-mata. Bukan juga rawatan yang bersifat sementara kesannya. Oleh kerana akhlak amat terkait dengan iman, maka perubahan mestilah bermula dari dalam diri individu itu sendiri. Di samping perlunya latihan dan mujahadah  untuk menyemai sifat dan akhlak yang mulia dalam diri, memilih dan membina persekitaran yang baik, aspek keimanan juga amat perlu dititikberatkan. Faktor inilah yang mengubah generasi para sahabat r.a menjadi sebaik-baik generasi dalam sejarah peradaban manusia. Generasi yang ditarbiah oleh Rasulullah saw dengan kekuatan iman dan kekebalan jiwa. Keimanan yang mampu merubah dan merombak segala bentuk jahiliyah dalam diri dan masyarakat, sehingga berputik dan bertebaranlah asas-asas akhlak Islamiah pada ketika itu.
Fenomena ini akan menjadi lebih buruk bahkan akan menimbulkan fitnah yang besar sekiranya para pandakwah itu sendiri gagal meleburkan asas-asas akhlak Islamiah ini ke dalam diri dan jiwa mereka! Umat Islam kini perlulah diajak kembali menilai dan menghayati akhlak Islamiah yang sejati. Berusaha menyelamatkannya, memahamkannya dan mencernakannya  dalam setiap tindakan dan tingkah laku diri, keluarga mahupun masyarakat. Seterusnya, akhlak ini disebarkan ke seluruh umat dunia, sehingga terpadamnya fitnah jahiliah dan semuanya kembali kepada pengabdian diri kepada Allah S.W.T. Firman Allah swt, “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan berhikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang (lebih) baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl: 125). Juga sabda Nabi saw, “Takutlah kepada Allah di mana sahaja engkau berada dan ikuitlah sesuatu kejelekan itu dengan kebaikan, maka kebaikan itu dapat menghapuskan kejelekan tadi, juga pergaulilah seluruh manusia dengan budi pekerti yang baik.” (HR Tirmidzi)
Kesimpulannya, antara langkah praktikal yang boleh kita lakukan adalah,
  1. Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa diri kita, keluarga dan masyarakat.
  2. Melatih diri membiasakan dan memperbanyakkan perbuatan-perbuatan baik sama ada dari sudut ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain, mahupun dalam pergaulan harian serta  menjauhkan diri daripada segala perbuatan buruk dan keji seperti hasad dengki, ujub, panas baran dan sebagainya.
  3. Banyakkan bergaul dan bersama dengan mereka  yang berakhlak mulia dalam mewujudkan dan membentuk biah yang solehah kerana ia memberi kesan atau pengaruh dalam pembinaan akhlak seseorang.
  4. Menghayati kehidupan para rasul dan nabi, para sahabat, dan para salaf as-soleh dengan  menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
  5. Sentiasa bermuhasabah diri dalam memastikan segala tindak tanduk kita mengikut pertimbangan iman dan akal fikiran yang waras serta  tidak mengikut hawa nafsu semata.
  6. Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah swt agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindunganNya daripada segala godaan syaitan dan nafsu yang menyesatkan.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.