.

Wednesday 7 October 2009

Pimpinan ISMA desak tindakan tegas terhadap SIS, JAG, WAO


Ustaz Abdullah Zaik (kanan) dan Ustaz Abdul Halim.

Bandar Baru Bangi, 5 Oktober - Barisan kepimpinan ISMA sebulat suara mendesak agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas Sisters In Islam (SIS), Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) yang mempertikaikan pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini, sekaligus mencabar kedaulatan Islam sebagai agama rasmi menurut perlembagaan Malaysia.

Baru-baru ini, badan-badan itu mengeluarkan kenyataan yang menuntut supaya membatalkan hukuman sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadap Puan Kartika Dewi binti Shukarno dan mendakwa hukuman sebat tersebut sebagai kejam, mencabuli hak asasi manusia dan menjatuhkan maruah seseorang.

SIS, JAG dan WAO juga mengemukakan tuntutan kepada pihak kerajaan agar memansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang berkuat kuasa di negeri-negeri melalui memorandum mereka yang bertajuk Justice For Kartika (Keadilan Untuk Kartika) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Ogos lalu.

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman ketika diminta mengulas isu ini berkata, peristiwa ini berlaku kerana umat Islam sendiri yang tidak mendaulatkan Islam dan menolak hukum Allah SWT. SIS, JAG dan WAO seharusnya berhenti daripada menjadi duri dalam daging kepada umat ini dan perlu bertaubat atas tindakan menghina Islam secara sengaja.

Beliau juga menyeru semua NGO yang berorientasikan Islam untuk berusaha lebih kuat ke arah mendaulatkan Islam di negara ini kerana Islam yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Mereka yang mencabar hukum Islam boleh dikategorikan sebagai mengganggu keamanan awam dan boleh dihukum dibuang negeri, tegas Ustaz Abdullah Zaik.

Naib Presiden 1 ISMA, Ustaz Abdul Halim Abdullah pula berpandangan bahawa tindakan tegas perlu diambil dengan membatalkan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan terbabit selagi mereka masih enggan menarik balik kenyataan melampau mereka dan terus berdegil.

Tambah beliau lagi, NGO-NGO Islam perlu tampil untuk membuat laporan polis dan pihak berkuasa harus memulakan prosiding pendakwaan syariah terhadap mereka. Ustaz Abdul Halim turut mencadangkan supaya ahli-ahli SIS terutamanya para pemimpin badan itu dihantar ke pusat pemulihan aqidah kerana tindakan mereka jelas menolak hukum Allah SWT dan merupakan perbuatan derhaka.

YDP ISMA Pahang, Ustaz Rushdan Abdul Halim berkata, ISMA menganggap kenyataan melampau yang dikeluarkan oleh SIS, JAG dan WAO sebagai satu cabaran dan usaha berterusan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba memperlekehkan perlaksanaan undang-undang syariah Islam di Malaysia.

Menurutnya, ancaman ini hendaklah dipandang serius oleh masyarakat Islam di negara ini terutamanya pihak kerajaan kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti sekaligus bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.