.

Tuesday 3 August 2010

KONWANIS 2010


Negeri Sembilan, 24 Julai 2010- Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson telah menjadi saksi berlangsungnya Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) 2010. Bertemakan ‘Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden’,  KONWANIS pada kali ini telah dihadiri oleh lebih daripada 1000 orang peserta dari seluruh Malaysia.


Tiga kertas kerja telah dibentangkan dalam KONWANIS 2010. Kertas kerja yang pertama bertajuk, Identiti dan Jati diri Wanita menurut Perspektif Islam telah disampaikan oleh Ustazah Norakhilah bt Baharin yang merupakan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Perak. Pembentang membahaskan identiti dan jati diri wanita Islam hari ini bagi merealisasikan kehidupan yang sempurna dan diredhai Allah S.W.T di dunia dan akhirat.


Beliau menegaskan bahawa pasak kepada jati diri seseorang wanita Islam itu adalah kefahaman dan penghayatan iman dalam kehidupan seharian, bagaimana ia seterusnya dapat diterjemah melalui aktiviti harian yang dilakukannya, seperti dalam komunikasi, urusan kerjaya, hubungan dengan jiran, jual beli, cara berpakaian dan lain-lain. Wanita juga perlu mengelakkan salah faham dalam mendefinisikan ibadat bukan hanya sebagai aktiviti di masjid atau di atas tikar sembahyang.


Ustazah Norsoleha Mohd. Salleh, Ketua Wanita ISMA Pusat merupakan pembentang Kertas Kerja kedua yang bertajuk  Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden. Pasca moden ditakrifkan sebagai wajah baru, dibawa oleh masyarakat barat untuk menghapuskan semangat bangsa dan rasa izzah sebagai seorang Islam yang menjadikan kebebasan diri sebagai kepentingan bagi menjalani dunia tanpa ikatan kepada sebarang bentuk tradisi  termasuk Tuhan dan agama. Kemuncaknya adalah kesan kepada krisis ekonomi dan akhlak. Hanya dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan menjadikan Islam sebagai matlamat serta cara hidup barulah dapat menyelamatkan wanita khususnya, dan umat Islam umumnya daripada terpengaruh dengan budaya dan fahaman anasir luar.



Kertas Kerja ketiga bertajuk Sumber Pengambilan Sebagai Asas Jati Diri Pasca ModenKajian Ilmiah Buku Teks Sirah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA/KAP) di Negeri Sembilan  disampaikan oleh Ustaz Ahmad Sanusi bin Azmi dari Universiti Sains Islam Malaysia. Antara lain, intipati ceramah tersebut adalah penegasan kepada keperluan untuk mengkaji kesahihan dalil yang diperolehi kerana sesetengah maklumat menggunakan hadis daif sebagai hujah, ada juga hadis yang disalah tafsir atau direka menurut hawa nafsu selain kewujudan buku agama yang menggunakan hadis yang jarang didengar. Selain itu, pembentangan ini turut membahaskan tentang Ajaran Islam Liberal dan Pluralisme yang perlu dijauhi oleh semua pihak. 


Pada sebelah petangnya, forum yang bertajuk Realiti Wanita Pasca Moden membariskan Ustazah Nik Norsaha dan Puan Hjh. Rohani Dato’ Shahir sebagai ahli panel manakala Ustazah Razidah Adam selaku moderator. Forum ini mengupas perkongsian pengalaman wanita Pasca Moden berkerjaya yang turut memegang peranan ibu, isteri dan pemimpin organisasi, bagaimana mereka mampu mengemudi kehidupan dengan baik dengan menjadikan syariat Allah swt sebagai pegangan.

Gerai-gerai jualan, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma, perubatan alternatif, dan lain-lain  yang dibuka sejak pagi menarik para pengunjung untuk meluangkan masa melawat dan membeli produk yang ditawarkan. Manakala pada sebelah malam telah berlangsungnya Malam Kesenian Wanita KONWANIS. Malam Kesenian ini telah dimeriahkan dengan beberapa persembahan termasuklah persembahan sajak daripada penulis sajak dan deklamator terkenal, Puan Nisah Haron, persembahan pentomin daripada pelajar Kolej UNITI Seremban, persembahan Nasyid Kumpulan Hadfina- beliawanis PEMBINA Johor dan lain-lain.

 Barisan AJK Pelaksana KONWANIS 2010

Majlis melabuhkan tirai pada jam sebelas malam dengan seribu satu kenangan. Semoga KONWANIS 2010 memberikan manfaat yang besar kepada wanita Islam di seluruh Malaysia, memberikan kefahaman yang jelas akan ciri-ciri wanita yang mempunyai jati diri serta memberikan panduan untuk wanita mendepani cabaran sosial Pasca Moden. 

Semoga berjumpa lagi dalam KONWANIS 2011!


Lagi gambar : Galeri web KONWANIS





0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TEMPAHAN JAKET "ISMA"

RUANGAN IKLAN ISMA-JOHOR


Bagi saudara/saudari yang ingin menempah Badge ISMA, PEMBINA dan KRIM.
Bolehlah menghantar e-mel pesanan
ke
alamat krimjohor@gmail.com
dan hubungi di talian 019-331 4342.

Keterangan lanjut:-
produkismajohor.blogspot.com

Moderator - Ayuh Gerakkan Jenama ISMA, PEMBINA dan KRIM ke seluruh pelusuk dunia.